Monday, December 19, 2016

MENGUKIR SABAR

Gugurnya dedaun November,
Merentang awan petang gerimis
Menyeringai bayu timur melambai monson
Sesekali halilintar bertanya khabar
Merenjis daratan dan segala isi alam
Bermandi sejuk di bulan Disember.

Segera segalanya dinanti,
Apa esok akan datang lagi
Berita tahun-tahun lalu di Paya Pasir
“Air naik, air naik”
“Sekolah cikgu tenggelam”.

Benarnya cerita itu bukan mimpi
Terukir di tembok, di bibir-bibir dan PPD
Walaupun tidak sehebat puluhan tahun yang lalu
Namun Sungai Pahang hanya di pinggir
Redhalah kami menempuh banjir.

“Cikgu, persiapan telah dibuat”,
Segala perabot telah dipindah
Kami tidak mahu peristiwa lalu
Mengumpul kerusi meja yang hanyut
Mencuci sepanjang Januari
Maka
Di sini aku belajar mengukir sabar.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Buat SK Paya Pasir yang menempuh banjir Disember 2014

Tuesday, December 13, 2016

TANGISAN ANAKKU

Wajah keceriaan telah lama hilang,
sedih dan sayu berlagu rindu
melambai senyum yang pahit dan kelat
anak kecilku kini menangis lagi.

Menghantuk di mana-mana dengan tidak semena-mena,
membengkak dahi dan membiru pipi
matanya juga kian merah
menangislah anakku berlagu sendu.

Akukan seorang bapa,
tapi tak terpikul sakitnya anak kecilku
kutahu si comel istimewaku ini tabah
aku hanya pasrah mengukir pilu.

Sawan itu menggigit otaknya,
bukan sesekali tapi kini kian kerap berkali-kali
berkerut dahi dan menunduk-nundukkan muka
bagai tidak ada aku di sisi
dan sesekali menangis dan menangis lagi.

Yang kusedari,
sakit itu tidak aku rasai
walau kejang segala urat dan sendi
aku hanya mampu perhati
membelai kasih sambil mengungkap cerita suka
agar riang biarpun sementara.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
buat anakku Nur 'Aisyah Zahraa yang kini menerima
rawatan di HoSHAS Temerloh
Wad Melor 1

Monday, November 21, 2016

SINGGAH SENYUM

Kekusutan itu terlerai,
selirat serabut terungkai
pikulan beban meringan
asak telahan berkesudahan
kini aku singgah senyum di persada sendiri.

Gambaran girang bukan cerita palsu,
tawa riang kerap berlagu
kini aku membuka lembaran baru
setelah semua kepedihan dulu hanyut 
bersama mimpi-mimpi usang celaru.

Tinta merah bertukar biru,
keringat lelah payah turut tenggelam 
membina titik-titik sejarah
memeterai senyuman
di singgahsana hatiku.

NUKILAN 
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID 

Monday, November 7, 2016

BERUBAH ARAH

Aku melihat jujukan haluan itu kian kelabu,
mendung-mendung kelmarin semakin memekat
menitis titisan hujan lebat yang mengecewakan
bersama gumpalan bayu yang menggoncang pendirian
sambil mengetuk dentuman senja berlagu gempita.

Aku menerpa perubahan masa,
meniti laluan baru yang lurus lebar dan tidak berliku
memancing kekuatan agar kealpaan kecundang
menjerat senyuman agar kesedihan terbuang
memikul harapan dan citi-cita yang terjulang
esok menjanji perbezaan yang pasti.

Semalam bukan hari ini,
hari-hari berlalu hanya menceritakan pengalaman
mendatang senyuman yang berbuah kemanisan
kegembiraan mencurah mesra
dalamnya dakapan indah luahan rasa
aku kini merubah arah.

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, September 26, 2016

MENGHERET DIRI

Sukarnya kini,
mengheret diri saban hari
dalam usia sebegini
tertanya-tanya sendiri
sampai bila?

Senyum kelat mengiringi,
meniti tawa nipis yang tawar
dek jelingan liar yang sinis
membawa tamparan menimpa citra
sekilas bisikan duka berlagu
tanda parahnya usia itu.

Tidak terpanggu lagi,
raga yang bolos berminda tua
setelah sekian lama mengusung memori
adanya bagaikan tiada
tiadanya pula tidak perlu ditanya
berdetik masa mengira tempoh
atur langkah dan hayunan hayat
mengering tatkala senja menjelma.

Mengheret diri yang dilupai
bukan kerana nama
bukan kerana harta
bukan kerana jasa
tapi kerana tidak terbawa lagi luka ini.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

26 September 2016 menjelang 50.

Monday, August 8, 2016

LAGU MERDEKA

Berbisik terngiang di telinga laungan agung itu,
walau masa telah berlalu
suaranya masih ketara
lantangnya Bapa Kemerdekaan
menggenggam dan melepaskan genggamannya
berwajah ceria, bersemangat dan gembira
dengan nada bergema sebuah negara terbina
M E R D E K A.

Jiwa-jiwa yang pasrah dengar rintihan,
wira-wira yang yang gugur bermandi cahaya
anak-anak muda bangun bangga membina negara
titis-titis darah terus menitis dan menenggelamkan keriuhan
muka-muka keliru menadah syukur
apakah esok akan kembali gembira
setelah kita laungkan
M E R D E K A.

Ya, sudah kian ramai bapa kita peroleh
negaraku terbentuk menjadi kelopak mutiara
disegani di mata dunia
dengan khazanah bumi yang terus memuntahkan harta
membina dan membina negara tercinta
dalam laungan keramat yang tidak berbeza
M E R D E K A.

Gusarnya aku kalau generasi ini tersungkur,
muda belia tapi telekan durja dan jasa luar dipinta
mengadu domba akan segala yang ada
konon ini dan itu, lebih maya dari nyata
apakah laungan itu telah tidak berlagu lagi
atau sekadar telahan di kaca tv
dan kita terus mati, kaku tidak perduli
bahawa cinta kita cinta abadi
ini negara kita, sehati sejiwa
halilintarkanlah suara-suara
M E R D E K A.


NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Thursday, July 28, 2016

SESEKALI USIA

Sesekali tertitip di selakan minda,
memori silam mengatur sejarah
memapar seribu satu cerita dan peristiwa
suka mainan duka
sedih, pilu mainan tawa, riang
bosan dihambat celaru dan hambar.

Sesekali tersentak aku dari lamunan,
seorang rakan telah pergi tanpa kembali
meninggalkan segala yang ada di muka dunia
mengusung segala yang terbawa
dari sekelumit dosa
dari sekelumit pahala
dan pastinya tidak terselindung walau sedikit cuma
apatah lagi terlalu besar untuk timbangan neraca.

Sesekali umur mengingatkan,
bukan tua jadi taruhan
bukan usia penentu kematian
masa yang terus berjalan
dan masa juga ada ketentuan.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, June 20, 2016

ABAH

Akulah abah kepada anak-anakku
aku juga abah kepada menantu-menantuku
aku bangga, akulah abah

Aku senyum
aku resah
aku tenang
aku riang
aku sedih
aku gembira
aku suka
aku bahagia
aku risau
aku ceria

Susah senangku, aku seorang abah
dalam setiap kelahiran ada rezeki
dalam sakitku ada penawar
dalam sempitku ada kelapangan
dalam sindirku ada kejelasan
dalam gundahku ada keyakinan

Aku berdoa dan doakanlah untukku
aku menyendiri dan tegurlah aku
aku meniti masa berlalu
melihat anak-anakku
merubah masa kecil
merubah corak hidup
membina rumah tangga
dan aku sentiasa bersedia sebagai abah

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Tuesday, April 26, 2016

MENGETUK PINTU 21

Aku seorang guru
aku seorang guru tua
aku seorang guru tua baru
aku seorang guru tua baru mengetuk
aku seorang guru tua baru mengetuk pintu
aku seorang guru tua baru mengetuk pintu 21

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Buat Guru Baru di SK LKTP Jengka 21
dalam menghadapi Pembelajaran Abad Ke-21

Tuesday, April 5, 2016

BERPALING

Berdosakah aku berpaling muka dari melihatnya
menatap wajah insan berhati batu
merenung rupa manusia hilang budi bicara
memandangnya dengan sinis tanpa tutur kata
mungkin jasadnya tidak bersalah
tetapi jiwanya yang penuh tanda-tanda keliru
dek riak dan ujub bermain dibibirnya selalu

Aku pernah cuba menabur gula agar manis cerita
tapi disimbah bisa semoga semua berputih mata
aku juga pernah cuba menguntum senyum agar ceria dunia
tapi dilempar berita duka semoga aku terpinga-pinga
maka aku cuba berseloka agar tiada lagi gurauan hampa
tapi dijaja kepalsuan agar aku derita sepanjang masa

Siapakah dia ini
bila bercakap beralas surah berlapik hadis
bersongkok sambil berbicara cerita haji
lagak lebih khalifah di muka bumi
mengherdik, mencerca bualan biasa
tanpa bersalah melutu aku sampai terkedu
aku yang tersipu-sipu
maka aku terpaksa menarik diri dan pergi
membawa hati yang berbuku sumpah kesumat
akanku bawa walau sampai kiamat

NUKILAN
Muhammad Zahidil Zahid

Monday, March 14, 2016

MIMPIKAH AKU

Kini usia bukan ukuran
aku sudah setengah abad
aku sudah mengira tarikh bersara
aku sudah merancang apa nak buat

Anak-anakku telah dewasa
mereka telah berkeluarga
memiliki masa muda dan dewasa mereka sendiri
aku hanya memerhati dan bantu jika mampu

Anak-anak muridku
ada yang sangat berjaya
semalam aku ke majlis kahwin seorang daripada mereka
seorang lulusan master luar negara
tidak kurang yang bergelar doktor dan jurutera

Di suatu ketika aku bagai bermimpi
apabila jejaka tampan menegurku
"Cikgu masih kenal saya."
dikucupnya tanganku dan berkata
"Saya anak murid cikgu."

Apa yang aku pasti
sudah berkahwin anak-anakku
aku bakal memiliki cucu
masih mimpikah aku

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Sunday, January 17, 2016

KEMBALI TERATUR

Langkah demi langkah yang pernah kuatur
kini kembali teratur
setelah aku tertipu dengan diriku
setelah aku terbelengu dalam kebebasan

Kembali kuatur langkah baru
meninggalkan langkah lama yang celaru
walau terpaksa memaksa diri
walau aku bukan aku yang dahulu
namun aku mampu senyum selalu
tiada rasa mengganggu perisa
tiada sembilu menghiris pilu
tiada duka dijanji bertemu

Langkahku kini menyusun erti
esok, esok dan esok lagi
aku akan memaku janji-janji
di sinilah aku akan mengatur langkah baru
membawa diriku untuk semua
yang ingin melihat aku kembali berlagu suka

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID