Khamis, 16 Mei 2013

AKU SEORANG GURU


Bangunan keramat ini menjadi saksi
Berdirinya aku
Bersedianya aku
sebagai seorang guru

Bilik-bilik darjah itu menjadi bukti
Berbicaranya aku
Berleternya aku
sebagai seorang guru

Papan-papan tulis itu menabur bakti
Berbatang-batang pena
Berjela-jela tercatat nota aku
sebagai seorang guru

Ya, Allah
Rahmati segala usahaku
Ya, Allah
Berkatilah segala usaha guru-guru
Mendidik anak-anak bangsa
Mendidik anak-anak muda
Agar menjadi dewasa
Kenal erti hidup di muka dunia
Sedar erti balasan akhirat nanti

Aku tahu riak-riak anak didikku
Aku hambat segala kelesuan
Aku bentak segala kemalasan
Namun banyak yang tersenyum sipu

Bangkitlah
Kamu bukan lagi bertatih jatuh bangun
Kamu bukan lagi merangkak mengapai mimpi
Tapi kamu berlari mengejar pelangi
Mencapai bintang dan semat di hati

Wahai anak didikku
Belajar itu hukumnya wajib
                Demi agama
                Demi bangsa
                Demi Negara
Belajarlah bersungguh-sungguh

Apakah bila kamu besar nanti bakal menjadi
                Seorang doktor buat gurumu ini yang sakit-sakit
Apakah bila kamu besar nanti bakal menjadi
                Seorang jurutera buat membina rumah guru-guru tua
Apakah bila kamu besar nanti bakal menjadi
                Seorang menteri yang mampu membela gurumu ini
Apakah bila kamu besar nanti hanya sekadar seorang suri
                Yang mengasuh dan menghantar anak ke sekolah seperti hari ini

Namun kalian pasti berjaya mengharung liku-liku hidup ini
Tapi aku, ketika itu hanya seorang guru tua
Sudah bersara
                Mungkin ada yang bertanya, 
                                Siapa orang tua itu?
                Mana mungkin aku berkata,
                                Akulah suatu ketika dahulu, gurumu
                Mana mungkin aku mengaku,
                                Berjayanya kamu kerana aku
                Mana mungkin aku boleh mendabik dada
                                Aku telah berjaya membina bangsa

Aku sedari siapa aku
Maka ampunilah salah silap aku
Maafkanlah keterlanjuran aku
Fahamilah akan kekuranganku
Doa-doakanlah aku selepas solatmu
Kerana  aku hanya seorang guru
           Cuma pintaku
bila kita bertemu,
panggillah kata hikmat buatku, C I K G U

Sekian, Selamat Hari Guru

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Tiada ulasan: