Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.
Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengikat tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
Buat meniaga di kedai Cina,
Timun bali dimakan pahit;
Biar miskin bertambah hina,
Budi bahasa mau yang baik.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Berbelok di Tanjung Beringin,
Kemudi Patah dilentur;
Elok orang hati tak ingin,
Budi bahasa hatiku hancur.
Bunga raya kembang tak jadi,
Sebab musabab hairan sekali;
Hidup kita hanya sekali,
Budi bahasa tak jaul beli.
Teritip tiram tergantung,
Limau manis banyak bijinya;
Pilih-pilih muda sekampung,
Hitam manis baik budinya.
Sarat perahu muat pisang,
Singgah berlabuh di Kuala Daik;
Budi jahat lagi dikenang,
Inikan pula budi yang baik.
Gunung Daik timang-timangan,
Tempat kera berulang alik;
Budi yang baik kenang-kenangan,
Budi yang jahat buang sekali.
Pada ikan baiklah udang,
Sedikit tak takut kena tulang;
Jahat dan baik semua ditimbang,
Seumpama rambut budi tak hilang.
Hari ujan naik sampan,
Dari kuala patah kemudi;
Mati ikan kerana umpan,
Mati saya kerana budi.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Burung empat disangka enam,
Ibunya lari membawa sarang;
Sakit diubat mati ditanam,
Itu budi dikenang orang.
Ikan berenag di dalam lubuk,
Ikan belida datangnya panjang;
Adat pinang pulang ke tampuk,
Adat sirih pulang ke gangang.
Makan manggis dengan bijinya,
Daun miana di atas loyang;
Kerana manis hati budinya,
Bagaimana hati takkan sayang.
Jika belayar ke tanah Acheh,
Singgah dulu di Kota Deli;
Jika hendak orang mengasih,
Hendaklah baik bicara budi.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Sangkut sedikit tali di kaki;
Darah bukan daging pun bukan,
Sangkut sedikit kerana budi.
Ramai orang di Kuala Sawah,
Masak nasi jangan hangit;
Sedikit budi bukannya mudah,
Seberat bumi di antara langit.
Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.
Anak itik berenang balik,
Menyelam takut akan lemas;
Kalau ada budi yang baik,
Saya tidak memandang emas.
Ada seekor burung serindit,
Terbang ke paya makan padi;
Kepada orang tamakkan ringgit,
Kepada saya kenangkan budi.
Baju bercorak tiada benia,
Pakaian anak Panglima Garang;
Emas dan perak pengaruh dunia,
Budi yang baik dijunjung orang.
Pisang emas bawa belayar,
Masa sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Dari Bintung ke Besiangkit,
Anak udang patah kepala;
Langit tergantung bumi tersenget,
Budi tuan ditimbang juga.
Pada berlari baik melompat,
Barang dicari segera dapat;
Sudah berbudi jangan diumpat,
Balasan baik syurga dapat.
Payah kami bertanam padi,
Nanas juga ditanam orang,
Payah kami menabur budi,
Emas juga dipandang orang.
Semenjak kentang menjadi gulai,
Ubi tidak bersama lagi;
Semenjak wang jadi pemakai,
Budi tidak berguna lagi.
Angin barat gelombang utara,
Tinggi petak dari ruang;
Jangan harap semacam saya,
Budi tiada bahasa pun kurang.
Kain cukin carik sebelah,
Buat mari basahan mandi;
Miskin kita serba salah,
Harapkan budi satu tak jadi.
Kenapa tuan suka membeli,
Buah peria memangnya pahit;
Memang dia tak mengenang budi,
Bagai kacang lupakan kulit.
Rosak pandan kerana padi,
Rosak padi kerana bunganya;
Rosak badan kerana budi,
Rosak budi kerana orangnya.
Pohon pandan pohon berduri,
Dipandang amat sedap;
Hidup di dunia bahasa dan budi,
Serta juga tertib dan adab.
Di sana padi di sini padi,
Itulah nama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Barulah sempurna bernama orang.
Anak haruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.
Koleksi Pantun Budi Khazanah Budaya Melayu
oleh Muhammad Zahidil Zahid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan