Thursday, July 24, 2008

PANTUN MAJLIS

PANTUN PEMBUKA ACARA

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

PANTUN BACAAN DOA

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi;
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

PANTUN JEMPUT MAKAN

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN

Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

PANTUN JEMPUTAN UCAPAN

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang selisih;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan pengikat kasih.

Besar langit di tepi busut,
Besar tak muat di dalam peti;
Besar hajat kami menjemput,
Besar niat di dalam hati.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Pada mu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Terbang di awan burung jentayu,
Kerana penat gugur ke bumi;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama amanat bekalan kami.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

PANTUN UCAPAN PERASMIAN

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan kata perasmi.

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

Jangan tertawan alpa duniawi,
Hanya indah serupa mimpi;
Duhai pahlawan ksatria pertiwi,
Hulurkan madah kata perasmi.

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

PANTUN DI AKHIR MAJLIS

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

PANTUN BUAT WARGA EMAS

Bulan purnama ke pekan Kuah,
Di tengah hari membeli ragi;
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.

Curah serbat di atas lantai,
Basah tikar lupa disidai;
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.

Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu;
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.

Bukan gua sebarang gua,
Gua penuh pusaka bonda;
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.

Pergi ke Nilai membeli jamu,
Jamu rasa dari tenggara;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.

Tidak goyah pancang seribu,
Tika masih badai menderu;
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.

Pohon beringin tepi keramat,
Dengar siulan diufuk barat;
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.

Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

Pintal kapas menjadi benang,
Tenun benang menjadi sari;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.

Pohon senduduk baru di tanam,
Sayang mati di pijak pak tani;
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.

Apa guna siparang panjang,
Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

Timba suasa ditepi kali,
Buat menyimbah si tuan puteri;
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.

Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa;
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa.

WINNER VS LOSER

The Winner : Is always part of the answer.
The Loser : Is always part of the problem.

The Winner : Always has a programmed.
The Loser : Always has an excuse.

The Winner : Says, “Let me do it for you.”
The Loser : Says, “That’s not my job.”

The Winner : Sees an answer for every problem.
The Loser : Sees a problem for every answer.

The Winner : Sees a green near every sand trap.
The Loser : Sees two or three sand traps near every green.

The Winner : Says, “It may be difficult but it’s possible.
The Loser : Says, “It may be possible but it’s too difficult.


Be a Winner

Anak Didikku

UPSR kian hampir
Ku lihat kau masih leka

UPSR kian hampir
Ku lihat kau masih nganga

UPSR kian hampir
Tiada kerisauan di raut wajahmu

UPSR kian hampir
Hari-hari berlalu bagai tiada makna buatmu

UPSR kian hampir
Aku gelisah
Aku bimbang
Aku kuatir
Segala curahan ilmuku tidak berguna

UPSR kian hampir
Ku nanti bintang bersinar
Ku tunggu dengan tawakal
Ku curah dengan usaha dan doa
Ku simpul ilmu dan minda di dadamu
Wahai anak didikku


Nukilan:

Muhammad Zahidil Zahid
24 Julai 2008, 9.45 pagi
Bilik Guru
SK Bandar Pusat

Friday, July 11, 2008

Apa itu PPBK?

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Kita mungkin tidak sedari bahawa PPBK telah lama diperkenalkan, namun hanya segelintir tenaga pengajar mengaplikasikannya.

Sesungguhnya, Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) ialah pengajaran atau pembelajaran yang dilaksanakan secara terancang dan akan menghasilkan pembelajaran dilakukan dengan menggunakan perisian khusus yang dihasilkan untuk disampaikan melalui komputer. Penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) secara terancang akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan, aktif dan bermutu.

Berdasarkan keberkesanan yang sedia diketahui maka, berikut ialah jenis atau teknik PPBK yang diadaptasi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran:

i. Tutorial
Berguna untuk mempersembahkan bahan pengajaran yang baru dan mempunyai langkah-langkah penerangan yang tersusun (Alessi dan Trollip, 1991) dan bertindak sebagai tutor yang menyampaikan pengajaran. Pelajar boleh belajar mengikut kemampuan dan merekodkan aktiviti pembelajaran mereka jika tutorial dibangunkan dengan baik.

Tutorial turut digunakan dalam latihan (Scheafermeyer, 1990), pengukuhan dan penyelesaian masalah (Alessi & Trollip, 1985) serta untuk mengajar konsep-konsep yang konkrit dan abstrak dengan menggunakan ilustrasi, animasi, soalan serta teks juga video dan audio yang mampu merangsang pelajar.

ii. Latih Tubi
Latih tubi dilaksanakan untuk menilai pemahaman pelajar atau pengukuhan dan dilaksanakan secara kendiri. Pelajar diberi beberapa soalan manakala komputer akan memberi maklum balas berdasarkan jawapan mereka.

Alessi dan Trollip (1991) telah mencadangkan cara pemilihan yang sesuai secara pilihan rawak

iii. Permainan
PPBK yang semakin popular masa kini dengan mengguanakan pendekatan belajar sambil bermain untuk menarik minat pelajar menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan.

Dalam melaksanakan permainan dalam pengajaran, guru perlu berhati-hati agar objektif permainan adalah sesuai dengan objektif pengajaran (MacFarlane & Sparrowhawk, 2002).

iv. Simulasi
Didefinisi sebagai keadaan atau sistem yang dimodelkan melalui komputer yang mengandungi maklumat tentang bagaimana keadaan atau sistem itu berfungsi. Pelajar berpeluang untuk menjalankan aktiviti untuk menguji hipotesis dan memahami kesan sesuatu tindakan terhadap sesuatu sistem atau keadaan sebelum menghadapi sesuatu keadaan sebenar.

Pengunaan simulasi selepas sesuatu pengajaran akan mengukuhkan pemahaman pelajar dan dapat memperbetulkan kesilapan persepsi yang mungkin diperolehi semasa pembelajaran sebenar.

v. Tunjuk Cara
Berguna untuk menunjukkan kepada pelajar sesuatu prosedur. Pelajar boleh memahami sesuatu prosedur sebelum melakukannya dalam keadaan sebenar. Lebih-lebih lagi melibatkan sesuatu proedur yang tidak boleh atau tidak sesuai dilakukan di dalam kelas disebabkan kekurangan peralatan, berbahaya atau terlalu kompleks.

Penggunaan beberapa gambar bersiri, simulasi atau animasi boleh digunakan untuk kaedah ini. Perlakuan secara interaktif, latihan berulang kali sehingga mahir dan lebih yakin diberi kepada pelajar sebelum melaksanakannya sesuatu prosedur dalam keadaan sebenar.

vi. Ujian
Guru boleh mengukur dan menilai pencapaian pelajar dengan semerta. Soalan-soalan jenis objektif, isi tempat kosong, padanan, benar- salah dan sebagainya sesuai digunakan bagi PPBK ini.

Pelajar akan mendapat maklum balas terhadap pencapaian mereka dengan serta merta dalam situasi terkawal. Pencapaian didiagnogsis untuk menilai pencapaian pelajar dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dengan mengesan kelemahan pelajar dan kenal pasti tindakan seterusnya dalam merangka pembelajaran yang sesuai untuk pemulihan.

Dengan ini fikir-fikirkanlah, adakah anda seorang guru yang mengaplikasikan PPBK.

Guru Bahasa Melayu 2008
Kelompok Jengka

Anakku Hypotonea

Nur 'Aisyah Zahraa binti Zahid
Lahir 25 November 2002 (Hospital Kulim, Kedah)
Didiagnosis mengidap hypotonea minggu pertama kelahiran
Mendapat therapi di Hospital Sultan Hj. Ahmad Shah Temerloh (Hospital Pakar)
Kini dalam Tahun 1 Kelas Pendidikan Khas
Masih tidak mahu bercakap tetapi telah boleh berjalan sendiri.
Dialah Anak Manjaku Nur 'Aisyah Zahraa

Pengakap Jengka

PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

Pertubuhan ini akan menjangkau usia 100 tahun pada tahun ini (2008) berdasarkan sejarah penubuhannya di Malaysia. Dalam seabad usianya itu, kedewasaannya tidak disedari oleh kebanyakan pihak bahawa pertubuhan sukarela ini ditubuhkan di bawah Low of Malaysia, Act 409, Scouts Association of Malaysia (Incorporation) Act 1968. Pindaan Akta 143, Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia 1974, akta ini antaranya menyatakan “Penalti. 13A. Seseorang yang melanggar mana-mana daripada peruntukan-peruntukan Akta ini boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada satu bulan.”

Sesungguhnya kegemilangan pengakap suatu masa dahalu, tenggelam diarus zaman disebabkan kelekaan dan tidak kefahaman tentang kepengakapan oleh pelbagai pihak dipelbagai peringkat. Kita sedari bahawa kepimpinan pengakap menyusuri dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, institusi perguruan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan belia, khidmat masyarakat, daerah/bahagian, negeri hingga kepada kerajaan persekutuan. Tiga kementerian memegang tanggungjawab mengenai pengakap iaitu, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Namun pengakap terus dicanang sebagai NGO yang mesti bergerak secara NGO. Siapakah pengakap sebenarnya.

Kini kelahiran Bee Scouts (Pengakap Lebah) yang melibatkan kanak-kanak tadika dan prasekolah hingga berusia 8 tahun dalam proses penubuhan. Usaha ini adalah berikutan matlamat mencapai 2 juta pengakap menjelang 2010. Sesungguhnya Persekutuan Penagakap Malaysia adalah ahli kepada World Scout dan Asian Region.

Namun kita di peringkat sekolah sentiasa berasa gah dengan pencapaian tak ke mana-mana yang ditekankan menerusi perkhemahan Kempori, Kolobori, tetepi tercicir dari penyertaan peringkat antarabangsa seperti persidangan pengakap sedunia, seminar pengakap remaja sedunia, Jambori Pengakap Sedunia dan pelbagai aktiviti diperingkat Rantau Asia mahupun dunia. Kita mungkin hanya pengakap kampung, skim lencana yang dimiliki hanya sekadar lencana keahlian.

Fikir-fikirkanlah ke manakah arah tuju pengakap kita.

Sekali berpengakap, selama-lamanya pengakap. BUAT HABIS BAIK.

Penolong Pesuruhjaya
Persekutuan Pengakap Jengka