Tuesday, December 30, 2014

KULIHAT BANJIR INI


Hujan tak berhenti
Air pasang merapati
Alur dan tebing dilimpahi
Mengarus deras menerpa dataran
Naik dan terus meninggi

Hutan dulunya tadahan hujan
Menyerap lebihan air
Mengikat tebing agar tidak runtuh
Tapi mata tertutup
Hati telah terpaut
Harta penyebab leka dan alfa
Balak, teroka dan terus teroka
Sungai-sungai tidak mampu menampung
Banjirpun bertemu
Mengangkut beribu cerita
            Mengheret beribu benda
Menghebah beribu berita
Walau telah mewar-war beribu nasihat
Walau dapat menjana beribu derma

Namun berduka
Terperangkap
Kelaparan
Kesejukan
Kerisauan
Kesedihan
Kebimbangan
Tetapi entah mengapa ada yang mengambil kesempatan
Menyebar cerita palsu
Menghebah fitnah bertalu
Memperlekeh khidmat bantu

Di mana keinsanan
Di mana kemanusiaan
Dalam sukar dia menyukarkan
Dalam sedih dia menyedihkan
Dalam duka dia ketawa

Menghulur tangan sepatutnya
Menyelongkar harta mangsa tergamaknya
Membantu meringan beban selayaknya
Merampas sejahtera jiwa sengsara dilakukannya

Ke mana hilangnya jiwa bernafas insan
Mengapa menyerlah nafsu serakah
Ingatlah kita hanya hamba
Mengumpullah pahala sebanyak mungkin
Mengikislah dosa sehabis boleh
Kita akan ke tanah kubur bersemadi
Ingatlah mati
Tidak tahukah negara kita dilanda bencana
Keranaku lihat banyak cerita dalam banjir ini

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Wednesday, December 24, 2014

AIR NAIK?

Kelam berbaur suram
gerimis berselang hujan
titis-titisan menitis lalu mengalir
mencurah-curah dan kemudian reda

Cerah hanya seketika
bersama dinginnya tengah hari
tanpa birunya langit
tanpa riuh unggas
tanpa bingit deruman jentera
gerimis berselang hujan kembali

Bukannya aku anak sungai
tak kisah pasal air melimpah
tak kisah pasal sudah bah

Dulu, tatkala cuti Disember mengumpul keluarga
meratah apa yang ada
mengisi kebiasaan tengkujuh
rebus ubi kayu
ikan masin
pulut
tapi kini
segalanya berharga
anak-anak bekerja di luar desa
tinggal aku dan isteri berdua
bercerita citra suka dan duka masa bersama
hendak merebus ubi, sudah tidak berselera
makan pun memilih
nanti kembung
bertambah sakit
susah bicara

Hujung tahun lalu
rumahku digenangi paras lutut
apakah kini air akan naik lagi
hanya Allah yang tahu
air naik?

Monday, December 22, 2014

ANAK-ANAKKU

Anak-anakku
jodoh pertemuan
tersurat sudah

17 Ogos 2014
tercatat sejarah dalam perjalanan hidupku
sebagai seorang ayah
anak keduaku, dilamar


13 Disember 2014
sejarah terus tercatat
anak terunaku pula melamar gadis pilihannya



20 Disember 2014
sungguh bersejarah hidupku ini
anak sulungku dilamar


Alhamdulillah
aku senyum melihat anak-anakku
akukan seorang ayah

Friday, October 24, 2014

NAMPAK

Nampak
kau nampak
kau tentu nampak
kau tentu dah nampak

Kau nampak apa yang aku nampak
kau tentu nampak apa yang aku nampak
kau tentu dah nampak apa yang aku nampak

Nukilan buat Cikgu Basri GPK Kokurikulum SKBP 2014
Muhammad Zahidil Zahid

Friday, July 11, 2014

GAZA KEMBALI BERDARAH

Bunga-bunga Gaza berguguran
keharuman berbalas kehanyiran darah
keamanan dirobek kian parah
bergelimpangan nyawa tidak bersalah
harta benda punah dan musnah

Manusiakah mereka itu
tidak berperikemanusiaan
lebih kepada jiwa kebinatangan
meratah tanpa rasa ikhsan
melapah tanpa kasihan

Rintihan disenyapkan dengan dentuman
kesepakatan dipisah dengan pembunuhan
perjanjian dipijak dengan keangkuhan

Ya, Bani Israil
kaulah bangsa durjana
kaulah makhluk celaka
kau dilaknat setiap masa
rakus mengambil nyawa
Gaza kini kembali berdarah

Nukilan
11 Julai 2014
Muhammad Zahidil Zahid

RAMADAN YANG KUNANTI

Berbulan-bulan berlalu
aku menanti hadirnya Ramadan
aku rindui kau Ramadan
aku sepi tanpamu Ramadan

Kini kau kembali
menjengukku
membongkar kerinduanku
memanggilku mengharungimu
mengujiku dengan seuji-ujinya

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Friday, May 23, 2014

LIHATLAH TIPU ITU

Keringat mengalir tidak menanti ternilai bakti
kudrat terdaya adakah tentu mempamer cerita setia
dengar teralun bukan membelai goyahnya jiwa
mata tertumpu tidak kerap menipu leka
mulut mengumit tidak pasti menjampi mentera
hati berdetik belum menjanji suka duka

Lihatlah
ligatnya suara memutar warta
pantasnya penipu-penipu mengatur dusta
tidak kenal erti dosa
tidak takut menyimpang ajaran agama
tidak kisah ada yang merana jadi mangsa
tidak hirau cercaan yang menghina
tidak kekok mengusung malu ke mana-mana
tidak bimbang ke penjara ada peguam membela

Inikah kita bernama manusia
cakap tidak serupa buatnya
tidak mengaku membina celaka
asal nama berjulang biar sebagai petualang
biar harta menggunung si miskin termenung
kocek-kocek pembohong memborong wadah
menghebah kepalsuan
membunuh keesahan

Tangisan kebenaran tenggelam dalam kegamatan
oleh tangan-tangan pengampu 
yang ada kalanya tahu
akan beratnya dosa
akan sakitnya derita
akan hancurnya masa-masa berharga
akan lenyapnya negara bangsa
dek musuh dalam selimut
yang katanya bangga menjadi rakyat Malaysia

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Friday, May 16, 2014

BERGURULAH GURU

Guru itu berguru
guru itu sentiasa berguru
guru itu telah bertahun-tahun berguru

Guru itu belajar
berguru bukan kepalang ajar
berguru bukan untuk sekadar mengajar

Hari ini bukan bertahun-tahun yang lalu
hari ini meniti hari-hari esok
hari ini guru-guru berguru
hari ini hari guru

Guru itu
bukan menanti anak murid dewasa
bukan menghitung juraian jaya
bukan membilang jalinan jasa
bukan mengira bakti dan usia

Guru itu pendokong ilmu
guru itu tempat menuntut ilmu
guru itu pencurah ilmu
guru itu tabung khazanah ilmu
jadilah guru berilmu

Bergurulah guru
demi anak bangsamu
demi anak didikmu
demi anak watanmu
demi ibu pertiwimu

Bergurulah guru
cerahkan dian yang membakar dengan lampu
terangkan kegelapan dengan cabangan ilmu
lontarkan keilmuan tanpa jemu
janganlah segan untuk berguru 
walaupun kau memang seorang guru

Nukilan 
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Sempena Hari Guru 2014

Friday, May 2, 2014

KERJA SI TUKANG KERJA

1 Mei menjadi pencerita si tukang kerja
Katanya, bukan bercuti cuma rehat seketika
Bukan tidak bekerja tapi mengisi kelapangan masa
Kerana sejarah memang mengakui
Bekerjanya kita membangun Negara
Bekerjanya kita membela bangsa
Bekerjanya kita menyara keluarga
Bekerjanya kita sebagai satu jasa
Membina nama sebagai si tukang kerja

Hari ini si tukang kerja tertutup ceritanya
Apabila lambaian tetangga membisik ceria
Kita bukan tidak bekerja kerana usia
Kita bukan tidak bekerja kerana bencana
Kita bukan tidak bekerja kerana terpaksa
Namun, hari ini sememangnya istimewa
Segenap manusia meraikannya
Menjadi lambang menjadi jiwa
Senada satu dunia
Hari ini Hari Pekerja

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Sunday, April 20, 2014

4th INTERNATIONAL JENGKA JAMBOREE & 1st AGOONOREE

IJJA 2014
berkesannya kau mendalami jiwa raga
tawanya kau mengalir air mata
tangisan kau berbaur cerita suka
sepinya kau membelah riuh belantara
gahnya kau mengumpul rakan Nusantara

IJJA 2014
Kau bermula dengan rintangan
kau akhiri tanpa halangan
kau susuri penuh ketabahan
kau gagahi sebuah kejayaan

IJJA 2014
berhimpun anak bangsa
biarpun tak seramai mana
biarpun tak sehebat nama
namun kau telah berjaya
mengumpul mereka dari kepulauan asia tenggara
dari beberapa kepulauan Indonesia
dari pinggiran Indochina
dari Borneo tampil Brunei sebuah negara
dan dari sebahagian semenanjung Malaysia
memateri janji mengikat pasti
berpengakap dengan semangat meninggi
merungkai kusutnya simpulan jambori ini

IJJA 2014 kini berlabuh sudah
Kem Tengku Mahkota mengirim wadah nostalgia
semoga mengembali memori IJJA segar sentiasa
bersama-sama pengakap dan pramuka yang selalu sedia

NUKILAN
Muhammad Zahidil Zahid
Sila ke Blog IJJA 2014





4th INTERNATIONAL JENGKA JAMBOREE & 1st AGOONEREE 
KEM TENGKU MAHKOTA 
15 - 20 APRIL 2014

Sunday, March 23, 2014

WAHAI MH370

Sedari aku, kau dah hilang
setelah membawa impian dua bandar raya
menggendong suka dan cerita
tapi kau membuar duka dan derita
meruntun hati sanak-saudara, rakan, keluarga

Wahai MH370
ke mana kau berkelana?
lari dari penantian nyata
menyeksa yang menanti kau tiba
dengan membiar mereka merana
menemani diri dengan tangisan tanpa berita
mengadu nasib yang kian berputus asa
menyalahkan takdir bukan caranya

Wahai MH370
aku punya hati dan perasaan
aku mengerti erti sebuah kehilangan
aku menanti warta saban tika
aku tertanya engkau entah di mana
walhal kini usaha sejagat
kau masih bersembunyi dari mata dunia

Wahai MH370
di daratan atau lautan kau kini
linangan kasihmu tak sabar menanti
air matanya kini kering sudah
rungutan riuh kini bisikan wadah
menadah tangan menghimpun doa
menyerah dan pasrah

Wahai MH370
kembalilah
walau tidak seperti dulu
agar terubat rindu
agar terjawab segala buntu

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Monday, January 27, 2014

SIDANG KATAK

Menitis-nitis gerimis berderu hujan
Memecah sunyi membelah sepi
Sidang katak berlagu riang
Nyanyian nyaring bernafsu girang  

Rimanya hampir senada
Ada pelambangan nyata
Ada cerita bahagia
Ada peristiwa duka
Ada kisah derita
Ada gurau senda
Ada berita semasa
Ada dongeng dalam teater

Tak perlukan hotel 5 bintang
Tak perlukan tempat seluas padang
Tak perlukan dewan serba indah
Apatah lagi bilik gerakan mengatur wadah
Di pinggiran tasik pun bisa berbicara
Di tepi kolam juga mampu bercerita
Di persisiran lopak sedia berkata-kata
Di alur longkang apatah lagi nyaman berseloka

Bukan hujan yang dipanggil
Nanti banjir satu negeri
Bukan gerimis yang diundang
Nanti banyak kerja tak jadi
Bukan petir ditakuti
Tetapi perancangan mestilah rapi
Susun strategi
Atur gerak balas
Kenal pasti kekurangan
Kenal pasti kekuatan

Katak tidak belajar dari kesilapan
Katak juga tidak belajar dari kebetulan
Katak belajar dari pengalaman
Katak belajar dari keturunan
Katak belajar dari perjuangan
Katak belajar dari pencapaian
Katak belajar dari kecemerlangan

Jangan pula lari tempo bila gendang dipalu
Jangan sampai sumbang nada bila mula berlagu
Jangan tak jadi membacuh riuh rendah
Jangan tak ingat temu janji kita
Berkumpul di pinggir danau 
Bertemasya di tepi kali
Berpesta di dalam telaga

Katak membawa kodok berbendang
Membiar berudu membisu
Sambil disampuk cengkerik
Dengan cerita mati katak

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID