Jumaat, 19 September 2008

MASIHKAH INGAT LAGI

Di pinggir kali desaku nun jauh
Kampung Sepinang, Segamat, Johor
meragau-ragau mencari seluang
rimbunan keladi menjanjikan ubi.

Kanak-kanakku berlari ke sekolah
menusuri barisan getah
berkaki ayam .

Kedaifan hidup ke Felda mengikut keluarga
ke Jengka Satu
bertemu kawan baru
di tanah rancangan baru teroka.

Waktu itu belajar kerana ilmu
belajar bersungguh-sungguh
nanti keluarga malu
nanti boleh jadi guru.

Kawan-kawanku gemilang belajar di asrama penuh
aku cuma melangkah ke ABS Temerloh
belajar dan belajar
jauh dari bonda.

Namun lama juga di situ hingga Tingkatan 6 Sains
Konon nak jadi doktor tatkala di SMKT.

Tapi aku tidak terlalu bijak
Aku cuma ke Maktab Perguruan Ipoh
Meneruskan cita-citaku menjadi guru.

MPIP itu maktabku
Usia remaja gelora dengan semangat
Aku berkenalan dengan sidia
Kini isteriku tercinta.

Kami sama-sama guru
dan lewat dekad yang lalu aku ke universiti
UM tempat belajarku
sebagai graduan ijazah ku miliki.

Tetapi aku terus bertanya
masih ingatkah lagi akan aku
kawanmu suatu ketika dulu
sewaktu kecil
sewaktu kanak-kanak
sewaktu remaja
kerana kini aku telah dewasa.

Masih ingatkah lagi siapa aku
terus menanti sapaan darimu
kawan-kawanku.

Nukilan

Muhammad Zahidil Zahid

BUKAN

Engkau bukan bola,
yang bergolek, meleret, melayang,
yang disepak, ditanduk, dilambung, ditendang,
yang terhantuk di simen,
yang bergesel di batu,
yang berlumpur di padang.

Engkau bukan bumi,
yang berpenghuni, melata, kelana,
yang berputar di orbit cakerawala,
yang dilanda malapetaka, bencana, bala,
yang menanti hari kiamat tiba.

Engkau bukan mata,
yang melihat, memerhati, mengintip, mengintai,
yang bercahaya, berwarna,
yang sering ternoda, berzina,
yang belum tentu buta.

Engkau bukan buah,
yang berbagai rasa,
yang maung, manis, pahit, tawar, kelat,
yang menjadi santapan makhluk dunia,
yang terbiar busuk, berulat, berkulat,
yang berharga,
yang adakala tidak berguna.

Engkau bukan roda,
yang berputar,
yang di bawah sekejab, di atas seketika,
yang melanggar debu, najis, lecah, nyawa ....
yang dipandu, diarah, didera,
yang bergerak kerana jentera.

Engkau adalah kata,
engkau adalah hati,
engkau adalah maufakat,
engkau adalah cita-cita,
engkau adalah .... suara ....

Nukilan
Zahid Bakar
Maktab Perguruan Mohd Khalid, JB. 1994.
(Antologi Sajak Perjalanan)

Sifar

Setahuku
engkau tidak berisi,
kontang,
habis,
hampa,
kering,
tiada lagi ....

Engkau bukan sifar,
sifar bukan engkau,
sifar ada,
engkau tiada,
sifar boleh jadi sifar,
sifar boleh jadi puluh .... berpuluh-puluh ....
sifar mungkin juga ratus, ribu, juta dan berjuta-juta ....

Sifar ada nilai,
ada harga,
engkau cuma ruang yang tiada apa-apa,
tapi orang sering menyebutmu daripada sifar,
mereka tidak berkata ....
'poketku sifar'
'jiwaku sifar'
'fikiranku sifar'
'air sifar'
'kertas sifar'
'cakap sifar'
'jawatan sifar'

Sesungguhnya dalam tiada engkau ada
kerana engkau adalah kosong.

Nukilan
Zahid Bakar
Maktab Perguruan Mohd Khalid, JB. 1994.
(Antologi Sajak Perjalanan)

LAMPAU UNGU

Kaca dunia terbolos,
lampau ungu melolos,
ozon tak terurus.

Simposium merata,
seminar tak terkira,
PBB hanya mampu mendengar,
Saintis seakan berseloka.

Udara masih nyaman,
beratus tahun boleh bertahan,
hidup hari ini,
generasi depan apa peduli,
hidup memang sekali.

Biarkan,
buana panas,
manusia pasti cemas,
sakit,
tersoyat kulit,
berbintik-bintik,
merah .... darah .... nanah
barah.

Suara kecil berkata,
CFC bukan KFC,
bahana kemajuan,
bahana tamadun,
dunia beracun.

Negara maju tak mengaku,
yang membangun hanya menjeling,
yang miskin terus membisu,
kata mereka ....
kerana kau lampau ungu.

Nukilan
Zahid Bakar
Maktab Perguruan Mohd Khalid, JB. 1994.
(Antologi Sajak Perjalanan)