Masih aku terasa
kata-kata berbisa
bicara berbahaya
nada bernoda
Masih aku terasa
senyuman kelat
bisikan pedas
laungan keras
Masih aku terasa
sentuhan kematu
belaian gerutu
jelingan bisu
Masih aku terasa
dibera minda
didera jiwa
didera rasa
Masih aku terasa
tiada sudahnya bicara sedih
tiada selesainya tangisan kasih
tiada surutnya tawa rintih
Masih aku terasa
siapa kawan siapa lawan
siapa rakan siapa bukan
siapa aku siapa dia
Kerana aku masih aku
tetapi entah siapa dia kini
tiada lagi kehebatan di dirinya
tiada lagi karisma diraut wajahnya
tiada lagi ketokohan peribadi dijiwanya
Kerana aku makin mengetahui
keangkuhan membunuh perasaan
keegoan membunuh persahabatan
kebongkakkan membunuh minda
Aku harap dia mengerti
terguris dulunya
kini menjadi calar
kini menjadi kudis
kini menjadi barah
Sebelum parah
berubahlah
bertaubatlah
kerana kita masih hidup
kerana kita manusia
siapa kita di sisi yang Maha Esa.
Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
15 Ogos 2008