Friday, May 23, 2014

LIHATLAH TIPU ITU

Keringat mengalir tidak menanti ternilai bakti
kudrat terdaya adakah tentu mempamer cerita setia
dengar teralun bukan membelai goyahnya jiwa
mata tertumpu tidak kerap menipu leka
mulut mengumit tidak pasti menjampi mentera
hati berdetik belum menjanji suka duka

Lihatlah
ligatnya suara memutar warta
pantasnya penipu-penipu mengatur dusta
tidak kenal erti dosa
tidak takut menyimpang ajaran agama
tidak kisah ada yang merana jadi mangsa
tidak hirau cercaan yang menghina
tidak kekok mengusung malu ke mana-mana
tidak bimbang ke penjara ada peguam membela

Inikah kita bernama manusia
cakap tidak serupa buatnya
tidak mengaku membina celaka
asal nama berjulang biar sebagai petualang
biar harta menggunung si miskin termenung
kocek-kocek pembohong memborong wadah
menghebah kepalsuan
membunuh keesahan

Tangisan kebenaran tenggelam dalam kegamatan
oleh tangan-tangan pengampu 
yang ada kalanya tahu
akan beratnya dosa
akan sakitnya derita
akan hancurnya masa-masa berharga
akan lenyapnya negara bangsa
dek musuh dalam selimut
yang katanya bangga menjadi rakyat Malaysia

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Friday, May 16, 2014

BERGURULAH GURU

Guru itu berguru
guru itu sentiasa berguru
guru itu telah bertahun-tahun berguru

Guru itu belajar
berguru bukan kepalang ajar
berguru bukan untuk sekadar mengajar

Hari ini bukan bertahun-tahun yang lalu
hari ini meniti hari-hari esok
hari ini guru-guru berguru
hari ini hari guru

Guru itu
bukan menanti anak murid dewasa
bukan menghitung juraian jaya
bukan membilang jalinan jasa
bukan mengira bakti dan usia

Guru itu pendokong ilmu
guru itu tempat menuntut ilmu
guru itu pencurah ilmu
guru itu tabung khazanah ilmu
jadilah guru berilmu

Bergurulah guru
demi anak bangsamu
demi anak didikmu
demi anak watanmu
demi ibu pertiwimu

Bergurulah guru
cerahkan dian yang membakar dengan lampu
terangkan kegelapan dengan cabangan ilmu
lontarkan keilmuan tanpa jemu
janganlah segan untuk berguru 
walaupun kau memang seorang guru

Nukilan 
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Sempena Hari Guru 2014

Friday, May 2, 2014

KERJA SI TUKANG KERJA

1 Mei menjadi pencerita si tukang kerja
Katanya, bukan bercuti cuma rehat seketika
Bukan tidak bekerja tapi mengisi kelapangan masa
Kerana sejarah memang mengakui
Bekerjanya kita membangun Negara
Bekerjanya kita membela bangsa
Bekerjanya kita menyara keluarga
Bekerjanya kita sebagai satu jasa
Membina nama sebagai si tukang kerja

Hari ini si tukang kerja tertutup ceritanya
Apabila lambaian tetangga membisik ceria
Kita bukan tidak bekerja kerana usia
Kita bukan tidak bekerja kerana bencana
Kita bukan tidak bekerja kerana terpaksa
Namun, hari ini sememangnya istimewa
Segenap manusia meraikannya
Menjadi lambang menjadi jiwa
Senada satu dunia
Hari ini Hari Pekerja

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID