Selasa, 7 Oktober 2008

MERINDUI BUKU

Merindui buku - A Samad Said

Inilah denai jejak seni kehati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50

Sajak ini dipaparkan bersempena
KEMBARA BUKU SK BANDAR PUSAT
10 Oktober 2008

SEMALAM

Semalam
aku bermimpi lagi
coretan ngilu menguris hati

Semalam
aku bersua lagi
senyuman kelat hamparan hambar

Semalam
aku mengumpul sisa-sila pedih
aku mengutip reja-reja celaru
aku menyusun perca-perca duka
aku termenggu sendiri

Semalam
semalaman aku tertanya-tanya
siapa aku?

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid