Wednesday, March 10, 2010

TUNAAKSARA

Bercerita tentang hari berlalu
mengikir batu-batu jalanan menjadi pengasah akal
memalu cemeti ilmu membongkar minda
memaku jiwa-jiwa kelu mengangguk mahu
mengutip kata-kata imlak seorang guru
mengukir impak di dada buku

Namun tunaaksara batu penghalang
bukannya dungu menghambat selera membaca
tapi tunaaksara

Tunaaksara
keliru dalam faham
mengeja dalam usia mendewasa
bukan tak tahu tapi sukar mengenal
kekadang alfa di cadar remaja
mengheret kekalutan keluarga
mengatakan gen-gen itu puncanya
tunaaksara buta huruf maknanya

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Tuesday, March 2, 2010

JASAMU JAKSA

Di pinggiran Tanah Rancangan FELDA
berbicara sendiri seorang guru tua
melihat anak-anak didiknya menjadi dewasa
mengimbau wajah-wajah keanakan di kala muda
mengira detik-detik mendatang bersama usia
mengumpul segala kudrat sebelum ajal menjelma.

Di sekolah yang tersergam itu
dulunya hanya bagaikan bangsal usang
tapi kini laksana universiti di desa
anak-anak bergembira mengatur citra
ceria, mesra, senyum, tawa tanpa tangis gulana.

Jasa-jasa yang ditabur
bercambah menjanjikan syurga-syurga
air mata menitis di kedutan pipi guru tua
"Alhamdullah, ada anak didikku berjaya."

Namun mengapa
ada yang tersungkur mengusung dosa
mengheret diri ke neraca hina
membuai kalbu cerita nista dan adu domba
mengurung diri di pasungan penjara.

Adakah jasa-jasa guru itu penuh bangga
mengiring alfa, lalai dan leka
yang berjaya tidak sebanyak mana
tapi
kegagalan menghambat ribuan anak muda.

Guru tua terus mengelamun menghitung usia
apakah gagal atau berjasa taruhan jiwa
kerana
jasamu satu jaksa sahaja.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

KE MANA PERGINYA MENTARI?

Kekalutan memanggil sepi
kecelaruan mengimbau sunyi
kekecohan mengeloi sayu
kealfaan menduga aku

Dalam diam aku terpinga-pinga
mencari sudut-sudut bicara
meniti waktu membisu
mengacah masa berlalu

Ke mana perginya mentari
apakah hari ini masih semalam
atau esok telah menjelang datang
meratah hari-hari kini
membiarkan aku sepi berdiri sendiri
menghitung dan menjumlah hari demi hari

Bulan turut senyap ditelan mimpi
mengaku akan mentari sembunyi
di juraian aurora hamparan janji
menggamit suram-suram sinar mentari
di sebalik kepanasan globalisasi
tatkala ditanya, ke manakah perginya mentari?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid