Selasa, 2 Mac 2010

JASAMU JAKSA

Di pinggiran Tanah Rancangan FELDA
berbicara sendiri seorang guru tua
melihat anak-anak didiknya menjadi dewasa
mengimbau wajah-wajah keanakan di kala muda
mengira detik-detik mendatang bersama usia
mengumpul segala kudrat sebelum ajal menjelma.

Di sekolah yang tersergam itu
dulunya hanya bagaikan bangsal usang
tapi kini laksana universiti di desa
anak-anak bergembira mengatur citra
ceria, mesra, senyum, tawa tanpa tangis gulana.

Jasa-jasa yang ditabur
bercambah menjanjikan syurga-syurga
air mata menitis di kedutan pipi guru tua
"Alhamdullah, ada anak didikku berjaya."

Namun mengapa
ada yang tersungkur mengusung dosa
mengheret diri ke neraca hina
membuai kalbu cerita nista dan adu domba
mengurung diri di pasungan penjara.

Adakah jasa-jasa guru itu penuh bangga
mengiring alfa, lalai dan leka
yang berjaya tidak sebanyak mana
tapi
kegagalan menghambat ribuan anak muda.

Guru tua terus mengelamun menghitung usia
apakah gagal atau berjasa taruhan jiwa
kerana
jasamu satu jaksa sahaja.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Tiada ulasan: