Monday, August 31, 2015

JANGAN MAIN

Balik
angkat kain di ampaian
sudah hampir senja
mandi cepat
tutup pintu tingkap
lepas solat pergi mengaji

Apakah pesan datuk masih terngiang
adakah nenek masih berpesan kini
atau anak-anak terus bermain
walau senja berlabuh Isyak menyinggah
anak-anak masih dengan agenda sendiri
di kaki lima pasar raya
di pasar malam bantu berniaga
atau di mana sahaja dan buat apa
tapi mengapa begitu jadinya
apakah ini kehidupan moden
tanpa menggusar dosa
dikejar, dikejar terus dikejar
kerana kata mereka inilah hambatan dunia

Hidupkan lawannya mati
tembolok perlu diisi
pelbagai benda perlu dibeli
maka duit wajar dicari
cari dan cari
kerana waktu ini sihat
seketika nanti belum ketahui
tentu tidak waras berdiam diri
menanti-nanti sampainya rezeki

Tapi mengapa tidak solat
mengapa tidak mengaji
mengapa anak terbiar
membuat mereka menjamah liar
apakah pasti akan hidup 1000 tahun lagi
mengusung usia menebus dosa

Jangan main
negara kita negara merdeka
di mata dunia kita sama
namun kita ada acuannya
bukan bebas menggila
memberontak tak kira masa
membangkang semua yang ada
memaki hamun semua tak kena
bahkan acuan dicipta diperlekehkan sentiasa

Apa dah jadi bangsaku kini
tersalah cetak atau terlebih pateri
mengigau di siang hari
berlagak bagai harimau
namun nafas harap simpati

Jangan main
apatah lagi bermain api
salah cakap padah menanti
menabur fitnah menempah sengsara
kerana kitakan tahu
syurga neraka memang pasti
namun mengapa terus menabur benih benci
walau bercambah tidak sepasti
tapi peritnya menusuk diri
membakar pemuda
membara serikandi

Jangan main
walau sekadar berdemonstrasi

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
31 Ogos 2015 #sehatisejiwa

Wednesday, August 26, 2015

TERLARATKAH AKU

Usiaku menjangkau setengah abad
walau punya kerja
walau ada harta
walau isteri bersama
namun aku dah tua
pelbagai sakit sudah dirasa
bermacam ubat pembuka selera

Usiaku menjangkau setengah abad
aku tetap seperti aku yang dahulu
walau apa mereka kata aku tetap aku
pagi ke sekolah sebagai guru
anak murid panggilku, cikgu
namun aku sudah tidak mampu
menggaul dasar yang kian berubah
mengikut arus yang pasti tidak mudah
memikul tanggungjawab dan juga amanah

Usiaku menjangkau setengah abad
sudah bisa menimang cucu
sudah lama aku bermenantu
bilakan pencen aku dah tahu
namun  aku masih seorang guru
ke sekolah seperti selalu
tanpa sangsi dan rasa jemu
menghadap murid dan juga buku
mencurah ilham, keringat dan ilmu
walau rasanya, bagaikan aku guru tak laku

Usiaku menjangkau setengah abad
suatu ketika dahulu aku perasan hebat
setiausaha belia dan ketua pemuda
ramai pemimpin aku dekat
mencurah bakti buat masyarakat
berjiwa muda dan bersemangat
kucurahkan bakti sedia berkhidmat
namun kini apakah aku larat
kerana usiaku sudah setengah abad

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID



Tuesday, August 18, 2015

SEHATI SEJIWA


Sungguh gahkau Jalur Gemilangku
melambai putih bersih merah perkasa
bintang dan bulanmu gemerlapan bertahta
bersatu padu dalam empat penjuru biru

Bertahun sudah kau berkibar di serata dunia
berhujan di tropika dan khatulistiwa
berpanas di gurun sekitar benua
dingin membeku di kutub dunia
dihembus bayu di puncak buana
dibadai bila ribut, taufan dan harikan yang sering melanda
bersama senyum membelah angkasa

Kau Jalur Gemilangku
namamu tersemat bukan sekadar di pustaka
maruahmu terjaga di segenap persada
kaulah panji-panji negara
kaulah jiwa bangsa
negaraku Malaysia
kau dan ku
Sehati Sejiwa

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Wednesday, August 5, 2015

TAK HABIS-HABIS

Berbahangnya
membakar hati
membara perasaan
memanggang kesetiaan

Lahar kecelaruan mengalir deras
menghambat perpaduan
menimbus kesantunan
merobek perundangan

Letusan kepalsuan meledak marak
membingitkan luahan dongengan
menyembunyikan kebenaran
menghebah warta dusta
mengukir dosa
mengadu domba
menjaja neraka
tanpa loya meneguk darah perwira
dengan selera memamah daging seagama
hilang malu melondeh maruah sebangsa

Tiada istimewa keemasan Nusantara
kejatuhan Melaka tidak mengajar
dijarah penjajah tidak sedar
si pelahap impikan selesa
si pembelot impikan harta
si celupar impikan kuasa
si pembunuh impikan pingat gagah perkasa

Tak habis-habis
menanti dajal tiba lagaknya
lenyapkah sengketa?
nyenyakkah lena?
bertuahkah si celaka?
menjual apa yang ada
berselindung sepakat penjenayah siber
bangga jiwa hasad dengki bernyawa

Hentikan
Jangan bumi ini diragut bencana
anak cucu cicit bangsaku terbiar merana
berhati-hatilah
ini sahaja negaraku tercinta

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, August 3, 2015

TERUNGKAILAH

Kemelut itu kian bernanah
berpalit kesasauan
dicangkuk fitnah
membina amarah
jangan dibiarkan

Kecelaruan makin memusnah
mengheret kepalsuan
membunuh kesepakatan
memijak kesetiaan
jangan dibiarkan

Merungkailah baris-baris berliku
menggenggam kesepaduan
gaungkan hati berulat
basuh jiwa berkarat
bermulalah perjuangan

Kembalilah membina dari sisa-sisa runtuhan
mengembalikan kegemilangan
menitip bibit cinta
memimpin kejayaan
hingga terungkailah segala kekusutan

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID