Friday, September 16, 2011

MEMALU CANANG RAYA

Gugur dedaun cempaka kering
bersama gugurnya kembang cempaka yang layu
berhembus bayu menyusuri nesan-nesan cinta
semerbak mewangi menusuk jiwa-jiwa alfa
terlena diulit mimpi bercanda dan bercengkerama
tanpa sedar hari muda kian meniti tua
leka tertipu halwa kasih bernada nafsu

Wang ringgit memang boleh dicari
istana-istana batu megah mengapai langit
tanpa peduli nota-nota kerdil yang menagih simpati
bertanya di manakah sisa-sisa dunia
agar boleh mereka bangunkan semula cerita lama

Pak Kaduk yang tertipu dengan junjung kaduknya
Pak Pandir yang kepandiran seloka Mak Andir
Lebai Malang yang bertimpa kekalutan malang
Si Luncai terjun dengan labu-labunya
Mat Jenin merencana masa muka dalam leka
apakah ini paluan canang raya kita
Merdeka, Merdeka, Merdeka
menang sorak, kampung tergadai

Apa perlu pula kita singkap hikayat lalu
Merung Mahawangsa, Hang Tuah, Malim Deman,
atau sekadar membaca Sejarah Melayu sahaja
gah pada ceritanya
tapi
mengapa Melayu mudah lupa
bahawa musuh tidak sesekali mengaku musuh
apatah lagi lawan sudah pasti tidak mengaku seteru
atau musuh masih bersama dalam selimut
menyelongkar almari keramat tinggalan nenek moyang

Tari joget, inang, zapin dan canggung
diperlekeh anak-anak muda
tanda ceteknya kita membina bangsa
tanda jajahan terus melanda negara
dipandang sepi dan sinis sambil berdansa
memalu canang raya bahawa kita bangsa merdeka

Merdekakah kita kalau masih makin buta
mengaji terangkak-rangkak
berzanji marhaban bukan cita rasa
bahulu dan ketupat entah bagaimana membuatnya
berkain sarung cara orang tua-tua sahaja

Merdekakah kita kalau kita masih lena
wawasan digapai masih kabur berjerebu
walau pemalu canang raya menghebah berita
negaraku pasti berjaya, aman, sentosa, maju, kaya-raya

Ingat,
hidup hanya sementara
maruah perlu dijaga
kemerdekaan ini bukan sekadar cerita
kemerdekaan ini hak kita
kemerdekaan ini perlu dijaga
kemerdekaan ini besar maknanya
jangan diratah dalam latah
memalu canang raya kita merdeka
makluman buat perwira yang gugur bersama jasa

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, September 12, 2011

SECEBIS MAKANAN

Bumi mereka kegersangan
gersang secubit makanan
gersang seteguk minuman
gersang setitik manisan

Bumi mereka ketandusan
Tandus keprihatinan
tandus kemanusiaan
tandus kecintaan dan kemaufakatan

Bumi mereka kering kontang
kekontangan keilmuan
kekontangan ketamadunan
kekontangan kesediaan dan kesanggupan

Saban hari jiwa-jiwa kerdil kehilangan nyawa
mati ditembak, mati kelaparan
di bumi bergolak
Somalia

Gantikanlah
butir-butir peluru dengan biji benih
jentera perang dengan pembajak
kem tentera dengan rumah-rumah rakyatmu
askar-askarmu dengan jurutera, doktor dan guru

Agar rakyatmu kembali berseloka
aman di dunia bukan seksaan laksana neraka

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID