Kembali kita,
mengutip cerita lalu,
tatkala aku dan kalian;
di bawah satu cita-cita,
mendidik anak bangsa,
membina insan berguna.
Di pulau lagenda;
kembali kita berbicara,
mengumpul memori,
merungkai kisah-kisah lama,
menagih nostalgia tak terhingga,
meruntun rindu di Hulu Kinta.
Jendela Julai 1987;
aku dan kalian,
hanya anak-anak muda ke MP Ipoh,
membawa seribu satu azam menggunung,
berbekal butiran ilmu untuk ditanak,
lantas raut wajah ceria meratah lahap,
sajian khazanah Sijil Asas Perguruan.
Tidak kudengar kawan-kawanku;
kita tidak berjaya,
kita tidak berjasa,
kita tidak diterima sebagai insan berguna.
Kerana kutahu MP Ipoh;
bukan sekadar persinggahan seketika,
bukan pembaziran wang negara,
walau hanya untuk tiga tahun bersama,
namun keringatmu curah tidak terniaga.
Kini kuimbau kembali,
bersama kalian kawan-kawanku;
kerana atas namamu MP Ipoh,
telah lahirlah kami guru-guru mulia.
Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
Buat rakan-rakan Reunion Unit E - Langkawi 2008.