Monday, November 15, 2010

PESTA SUDU

Tang, ting, tung, teng, ...
sudu berpesta
tang, ting, tung, teng, ...
sudu bersenda
tang, ting, tung, teng, ...
sudu bernada.

Kuah menjeleng,
kuah meleceh,
kuah menegur
"Kenapa lebih sudu dari kuah?"
kuah menyindir
"Kalau dah sudu, sudu sajalah."
kuah memerli
"Tak sedar diri, dia tu sudu."

Tang, ting, tung, teng,
sudu terus berpesta
sudu tak hairan sangat dengan kuah
sudu tak kesah pun dengan herdikan kuah
tak ada kuah, sudu tetap sudu.

Kalau tak ada sudu,
kuah berlambak, berlambak-lambak
mungkin, ... basi
bukan macam sudu yang pasti
tetap sudu.

Kuah bukan raja, bukan lagi kalau maharaja
kuah adalah kuah
mungkin kuah kari, pedas
mungkin kuah kicap, hitam, agak masin
mungkin kuah air, tawar
mungkin kuah sup, panas cair, sejuk beku
mungkin kuah apa saja, apa sajalah.

Namun,
kuah kena kompromi
kuah kena toleransi
kuah kena harmoni
kuah kena simpati
kuah kena ada budi
kuah mesti ada hati
kuah pasti dihargai.

Sebelum kuah berlabuh ke longkang
sebelum kuah terus dibuang
sebelum kuah tak dihirup orang
sebelum kuah muak dipandang
Sebelum periuk, mangkuk, pinggan melayang
kuah kena sedar diri
kuah mesti kadar kediri
kuah perlu terbuka hati
mendengar rintihan sudu
yang kemuk,
yang patah,
yang sumbing,
yang sompek,
yang bengkok,
yang penyek.

Tang, ting, tung, teng,
sudu akan terus berpesta
sudu akan terus bermadah
selagi belum habis makan
selagi belum selesai temasya.

Yang pasti setelah dibasuh,
sudu tersenyum, bersih, berseri
menunggu bila akan berbicara lagi
menanti isu semasa tentang kuah bestari
apakah kuah masih tak sedar diri?
atau telah mula menyendiri?
atau kuah memang iri hati?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid
(buat kuah budiman) 15 November 2010

Friday, November 5, 2010

DIAM

Dalam desiran dingin bayu
igauan diulik memori dulu
angan mengimbau cerita lalu
mengikis bicara sepi sang perindu

Dakapan mimpi diiring melodi
impian celaru memimpin diri
antah hampa santapan hati
menghiris luka dambaran sepi

Degupan jantung menjamah minda
insaf akan dosa-dosa kelmarin
ampun dipohon sentiasa
maaf dipinta selalu

Dalam diam
menadah tangan
menghitung apakah salah aku?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid