Kumat-kamit
bagai ada yang tak kena
membebel
bagai tidak mengira masa
Kenapa tak berdiam
jika bersuara sesuatu yang berdosa
jika berbicara kerap mengguris jiwa
jika berkata sentiasa dusta
Sesuatu yang benar akan terserlah
dek kebenarannya
sesuatu yang batil akan tersingkap
dek kebatilannya
Bila hendak diam
jika berbicara hanya membuka pekung di dada
jika bersuara hanya membina porak-peranda
jika berkata hanya membuktikan kita celaka
Berdiam sahaja
jika berdiam lebih berpahala
jika berdiam lebih bermakna
jika berdiam ubat segala
Mungkin katamu
berani kerana benar
namun di mana kebenaranmu
jika yang terdengar semuanya salah
jika yang terdengar semuanya ralat
Adakah kau terdengar dari khabar angin
adakah kau terdengar dari mulut si fasik
adakah kau terdengar dari bahasa munafik
adakah kau mendengar dari tulisan celaru
adakah kau mendengar dari jiwa berhantu
adakah kau mendengar dari si kepala batu
Mungkin katamu
dengar boleh percaya jangan
tapi kenapakah tidak berdiam sahaja
Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid