Sunday, November 30, 2008

ESOK

Mengorak langkah mengejar hari
detik-detik berlalu pergi tak kembali
biar berganti saat, minit, jam,
biar berganti hari, minggu, bulan, tahun,
biar berganti dasawarsa, abad dan alaf
kerana menanti esok

Esok tetap akan datang walau dibiar pergi
cuma esok tak akan menjadi hari ini
apatah semalam, kelmarin, tahun lepas
apatah bertahun-tahun, walau berkurun
kerana esok tetap esok
sampai bila-bila

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Friday, November 28, 2008

BUKUKU BUKU

Bukuku buku
menjana ilmu
menyergah minda
merungkai khazanah sarjana
membongkar rahsia semesta

Bukuku buku
di dalam almari tersusun rapi
aku membaca hanya selepas membeli
lantaran di situ kuletak kini
setelah bait-baitmu kujelajahi

Bukuku buku
kudengari ada yang tidak mendampingimu lagi
katanya kau kuno kini
bukan tarafmu dalam era globalisasi
kau melapuk di rak-rak dan di stationary
kau hanya belekan pelajar dan siswa siswi

Bukuku buku
kenapakah minda masyarakatku begitu sekali
apakah kau tak laku kerana kau bukan makanan ruji
atau kau kurang bererti bagi insan-insan muda kini
yang memahami sains dan teknologi
sekadar buku apalah erti

Apakah kau senasib dengan kad-kad ucapan
yang berganti e-mel dan sms sebagai sarapan
atau kau hanya tidak diperlukan
oleh generasi mudaku yang kononnya mampan
yang bernama Melayu pendokong bangsa akhir zaman

Bukuku buku
hargamu tak ternilai
walau titisan lautan dijadikan dakwat
walau kayu-kayan sedunia dijadikan kalam
biar cakerawala dibentang sebagai hamparan tulisanmu
aku pasti terlalu banyak ilmu yang tak tertulis lagi


Bukuku buku
engkaulah buku

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Wednesday, November 26, 2008

DIAKAH ITU

Raut wajahnya ceria
bicara tuturnya sempurna
tingkah lakunya bahagia
idea mindanya cakna

Tapi diakah itu
bila berjamu hanya sendiri
bila bersembang hanya yang sudi
bila berkata ramai tak peduli
bila bekerja banyak tak menjadi

Namun ilhamnya melimpah
kata-katanya sumpah

Tapi diakah itu
cakap tak serupa bikin
janji tak serupa laksana
indah khabar dari rupa

Diakah itu
bersultan di mata beraja di hati

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

TERKEJUT LAGI

Awal-awal pagi
aku terkejut lagi

Awal-awal pagi
rakan-rakan sejawatku
membuatkan aku tertanya lagi

Awal-awal pagi
segalanya kembali riuh penuh misteri

Awal-awal pagi
aku merisik
dan aku mulai tahu apa terjadi

Dulu rakan sejawatku
memberontak jiwa dan hati
menuntut hak saksama dan dikasihi
menuntut budi bicara dan diampuni
menuntut keakraban seorang insani
daripada seorang bapa kepada kami

Tapi mereka memohon tukar
mereka hanya mendengar cerita kami kini

Kisah jiwa-jiwa stress di sini
kisah siapa pula mangsa selepas ini
kisah rumitnya masalah kami
kerana kami mentimun dia durian

Dibiar terluka
terkena terluka
bergolek terluka
dek kerana
durinya yang sangat tajam
berbisa
menusuk emosi

Siapalah kami
adakah esok kami akan
t e r k e j u t . . . l a g i

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
buat Samsudin dan Dayang
7 Ogos 2008

Monday, November 24, 2008

BELAJARLAH DEWASA

Aku menanti pagi bersinarnya mentari,
mendung berarak hujan tak tentu menjadi,
suram dingin bayu mendayu sepi,
unggas berbisik hilang dek gegar kenderaan kini.

Aku terus mengira usia yang kian berkurang,
ilmu tidak terbilang namun tak banyak cemerlang,
apakah hari ini buatku gemilang,
atau detik-detik aku kecundang.

Aku sendirian sendu diulik mimpi,
membina mahligai ditabir hari,
memutikkan restu dan hadiah misteri,
menabur janji-janji bahagia buat anak dan isteri.

Aku harus terus belajar menjadi dewasa,
menilai diri di manakah rohani dan jiwa,
menampung silap dan salah dosa,
menyerah diri ke hadrat yang Esa.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Wednesday, November 12, 2008

BIARKAH?

Apakah akan
senyuman kelat kembali hinggap
tawaan duka menanti di birai telinga
sapaan pilu memalu kalbu
ramahan bingit menanti muka.

Aku, kau dan mereka tahu
manusia hanya mampu merancang
biar air mata mengalir darah
biar keringat mengering raga
biar berbuih bisikan hati
biar lenguh tadahan doa
biar tak cukup masa mengejar waktu
biar kering minda guru
biar semput mengandar ilmu
biar berbalar murid di latu
biar jerih menagih janji
biar jenuh mendukung mimpi
biar pulun saban hari
biar sakan sarat aktiviti
biar yakin bertaut pasti
biar apapun bergalang tawakal
segalanya hanya Allah yang menentukan.

Apakah akan
dikumpul segala dosa-dosa itu
dihisab segala telanjur bicara
dihitung salah dan silap
dipostmortem bertalu-talu
menginsafi diri kerdil
dibina mahligai baru
disusun azam jitu
kerana esok tetap esok
hari ini akan terus berlalu.

Aku pasti dan aku tahu
aku tetap aku.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Tuesday, November 11, 2008

PERGILAH

Sendu itu tak terlerai mudah
rindu itu tak terubat gundah
sepi itu tak terhingar sudah

Pergi kalian kerana pergi
pergi kalian kerana hati
pergi kalian kerana sudi
pergi kalian kerana impi

Tinggal kami tinggal
tinggal di sini dengan beribu erti
tinggal kami di sisi berjuta mimpi
tinggal kami bersabung diri

Menerus cerita lalu bersama dengan cerita baru
menyambung derita lalu dengan tawa sipu
mendakap angan-angan senyuman yang mungkin palsu
membelai rumbaian gemilang yang belum tentu

Memang yang patah katanya tumbuh
memang yang hilang katanya berganti
memang yang tercatat menjadi memori
memang yang tergambar ingatan sendiri

Pergilah pergi
kami merelakan kalian pergi
tinggalkanlah kami
menadah restu ke hadrat Ilahi
esok pastinya suatu realiti.

Nukilan
Muhamad Zahidil Zahid
(Buat rakan sejawat yang bertukar ke sekolah baru)

Wednesday, November 5, 2008

USIA

Aku bukan budak-budak lagi
aku bukan lagi remaja
aku telah lama dewasa

Kebudak-budakan dan keremajaanku telah meniti kedewasaan
kini menghitung sisa-sisa usia
kini membilang masa dan ketika
yang memamah muda dan ceria

Kekuatan yang kukumpul semasa dulu
kini kian lemah kekuasaannya
khudrat yang kumiliki masa itu
kini imaginasi indah yang menostalgiakan

Alamku kini tertumpu bakti dan jasa
dosa dan pahala menghisab muhasabah diri
halal yang kucari
haramku jauhi

Isteri, anak-anak dan teman sejawat tempat kulempar senyum
berkongsi cerita, ilmu dan peristiwa

Dalam kekalutan usiaku ini
aku terus dilanda mimpi
ingin jadi kaya raya
mahu rumah besar dan harta berjuta
isteri yang jelita, anak yang senyum dan tawa
ke Masjidil Haram sekali-sekala

Namun usia
terus menghampiri titik noktahnya
apakah esok masih ada
atau seribu tahun lagi masih bernyawa.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

SALAHKAH AKU

Salahkah aku
jika aku tidak ketahui akan kesilapanku

Salahkah aku
jika kealfaan aku tidak pernah ditegur

Salahkah aku
jika aku yang sering menegur

Jika aku bersalah
maklumlah kepadaku

Jika aku bersalah
Ingat-ingatkanlah aku dengan teguranmu

Jika aku bersalah
Maafkanlah aku

Kita manusia biasa
punya hati dan perasaan

Kita makhluk tuhan
ada pertimbangan dosa dan pahala

Kita sesama insan
tentu masih ada tolak ansur dan kasih sayang

Jika aku masih bersalah
tunjukkanlah yang benar dan maafkanlah aku

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Tuesday, November 4, 2008

KAMI SEKELUARGA 2005

ZAHID BIN BAKAR - 1966
SALMI BINTI SAHROM - 1967
NUR SYAFIQAH BINTI ZAHID - 1991
NUR 'ATIKAH BINTI ZAHID - 1991
MUHAMMAD NAJMUDDIN BIN ZAHID - 1993
NUR 'AISYAH ZAHRAA BINTI ZAHID - 2001

WATAK DAN PERWATAKAN

Diceritakan oleh sarjana alim Islam pada zaman kegemilangan ketamadunan dan sastera keilmuan Islam, ada seorang alim mengheret seekor unta tuanya bersama anak lelaki kesayangan beliau ke dalam sebuah bandar.

Perilaku itu ditontoni oleh segelintir orang, lalu berkata "Kenapa bodohnya si lelaki tua itu? Ada unta tetapi hanya diheretnya sahaja."

Apabila terdengar sahaja teguran tersebut, si bapa lantas segera meletakkan anaknya di atas pedati untanya, sambil terus mengheret untanya melalui lorong-lorong di bandar itu.Pada fikirannya adalah wajar bahawa anaknya yang menunggang unta berkenaan kerana mungkin telah letih bersamanya menghayun langkah, dan untanya tidaklah terasa beban yang terlalu berat kerana hanya seorang budak yang berada di atasnya.

Namun, tidak berapa jauh berjalan terdengar pula leteran orang-orang di jalanan berkata, "Apalah punya anak, bukankah bapanya sudah tua, mengapa dibiarkan mengheret unta. Orang muda sepatutnya menghormati orang tua, inilah yang sering terjadi di akhir zaman ini, ibu bapa melahirkan raja dan pemerintah, bukan seorang anak yang berusaha keras untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhiran ibu bapa mereka."

Mendengar sahaja perbualan tersebut, si anak yang segan dan berasa malu dengan teguran itu segera meminta si bapa menggantikan tempatnya. Mereka meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba terdengar pula kata-kata yang menegur, "Kenapalah orang tua tu, anaknya yang masih kecil disuruhnya mengheret unta? Mengapa kebanyakan kita menggunakan anak sendiri seperti hamba dan tidak mengasihinya. Bukankah anak itu satu amanah bagi ibu bapa menjaganya."

Si alim dan anaknya terpinga-pinga mendengar kata-kata itu. Namun pada hati mereka ada kebenaran akan kata-kata tersebut dalam kehidupan sekarang. Maka, tanpa berfikir panjang kedua-dua anak-beranak itu sama-sama menunggang unta mereka yang keletihan dan agak kurus itu.

Entah kenapa, ada sahaja insan yang ingin menegur tindak tanduk tersebut, kata mereka, "Apalah punya orang, sudah tahu unta itu keletihan dan kurus pula, kenapa sampai dua orang menunggangnya? Tiada sifat kemanusiaan langsung. Nanti bila unta itu uzur dan tidak mampu berkhidmat kepada tuannya, tentu disembelih untuk dijadikan hidangan pula."

Kata-kata setiap orang yang memberi teguran itu membuatkan anak-beranak itu berfikir, di manakah kesilapan yang dilakukannya. Sesungguhnya pandangan orang lain ada kalanya boleh diterima namun adakah setiap teguran boleh diterima?

Apakah tindakan kita salah sekiranya kita memang tidak bersalah, kerana sering kali tindakan yang kita lakukan adalah hasil pertimbangan dan kewajaran yang telah kita fikirkan.

Maka fikirkanlah siapa kita dan apakah perwatakan kita.
Apakah kita sering dipersalahkan atas segala tindakan kita?

Belajarlah ...

Monday, November 3, 2008

MENGAPA MELAYU MAKAN MENGGUNAKAN TANGAN

Dalam buku, ' Chersonese - The Guilding Off ' tulisan Emilly Innes, ada menceritakan tingkah laku Tengku Kudin seorang kerabat raja Kedah yang menetap di Selangor pada akhir abad ke-19. Dicatatkan bahawa beliau telah menjawab persoalan seorang isteri pegawai tinggi British yang berkhidmat di Selangor dalam satu jamuan makan malam jemputan British Resident.

Telatah Tengku Kudin membasuh tangan telah diperhatikan oleh wanita berkenaan yang kebetulan duduk di sisinya kerana tertarik dengan perlakuan tersebut, lantas bertanya, "Mengapa anda makan dengan tangan? Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan sopan?"

Dengan bersahaja Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain, "Saya makan menggunakan tangan saya, sekurang-kurangnya ada tiga sebab :

Pertama : Saya tahu tangan saya lebih bersih daripada sudu dan garfu sebab saya sendiri yang membasuhnya, bukan orang lain. Sudu dan garfu itu dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.

Kedua : Saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya saya seorang sahaja yang menggunakannya, tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya.

Ketiga : Saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah jatuh ke dalam longkang.

Moralnya : Kita jangan lekas menghina atau memandang jijik perlakuan orang lain yang berlainan budaya dengan kita. Masing-masing ada rasionalnya mengapa mereka berbuat demikian.

Belajarlah...

Saturday, November 1, 2008

TUGAS BARU

Menyusuri kelangsungan hari
mengalir lesu dihambat semalam
dalam leka aku mendamba sudi

sapaan itu mengejutkan aku
di balik mahu aku tak rela
di balik sanggup aku tak cakna
di balik mampu aku terpinga-pinga

aku telusuri tanda tanya
mengapa aku mendapat tugas baru

Nukilan

Muhammad Zahidil Zahid

Kaukah itu?

Kaukah itu?
tersipu malu di balik dedaun tingkap bisu
terintai-intai di birai jendela kaku

Kaukah itu?
suatu ketika dahulu seorang insan mulia
sejarah mengajar erti peristiwa
menggamit memori nestapa

Kaukah itu?
menanti disapa teman-teman lama
menunggu derita dijejak ceria

Kaukah itu?
tak sudi memapar raut muka
aib yang lalu menghantui jiwa

Kaukah itu?
telah kukenali siapa aku
telah kujejaki siapa kau itu.

Nukilan

Muhammad Zahidil Zahid