Rabu, 5 November 2008

USIA

Aku bukan budak-budak lagi
aku bukan lagi remaja
aku telah lama dewasa

Kebudak-budakan dan keremajaanku telah meniti kedewasaan
kini menghitung sisa-sisa usia
kini membilang masa dan ketika
yang memamah muda dan ceria

Kekuatan yang kukumpul semasa dulu
kini kian lemah kekuasaannya
khudrat yang kumiliki masa itu
kini imaginasi indah yang menostalgiakan

Alamku kini tertumpu bakti dan jasa
dosa dan pahala menghisab muhasabah diri
halal yang kucari
haramku jauhi

Isteri, anak-anak dan teman sejawat tempat kulempar senyum
berkongsi cerita, ilmu dan peristiwa

Dalam kekalutan usiaku ini
aku terus dilanda mimpi
ingin jadi kaya raya
mahu rumah besar dan harta berjuta
isteri yang jelita, anak yang senyum dan tawa
ke Masjidil Haram sekali-sekala

Namun usia
terus menghampiri titik noktahnya
apakah esok masih ada
atau seribu tahun lagi masih bernyawa.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Tiada ulasan: