Rabu, 5 Ogos 2015

TAK HABIS-HABIS

Berbahangnya
membakar hati
membara perasaan
memanggang kesetiaan

Lahar kecelaruan mengalir deras
menghambat perpaduan
menimbus kesantunan
merobek perundangan

Letusan kepalsuan meledak marak
membingitkan luahan dongengan
menyembunyikan kebenaran
menghebah warta dusta
mengukir dosa
mengadu domba
menjaja neraka
tanpa loya meneguk darah perwira
dengan selera memamah daging seagama
hilang malu melondeh maruah sebangsa

Tiada istimewa keemasan Nusantara
kejatuhan Melaka tidak mengajar
dijarah penjajah tidak sedar
si pelahap impikan selesa
si pembelot impikan harta
si celupar impikan kuasa
si pembunuh impikan pingat gagah perkasa

Tak habis-habis
menanti dajal tiba lagaknya
lenyapkah sengketa?
nyenyakkah lena?
bertuahkah si celaka?
menjual apa yang ada
berselindung sepakat penjenayah siber
bangga jiwa hasad dengki bernyawa

Hentikan
Jangan bumi ini diragut bencana
anak cucu cicit bangsaku terbiar merana
berhati-hatilah
ini sahaja negaraku tercinta

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID