Selasa, 30 Disember 2014

KULIHAT BANJIR INI


Hujan tak berhenti
Air pasang merapati
Alur dan tebing dilimpahi
Mengarus deras menerpa dataran
Naik dan terus meninggi

Hutan dulunya tadahan hujan
Menyerap lebihan air
Mengikat tebing agar tidak runtuh
Tapi mata tertutup
Hati telah terpaut
Harta penyebab leka dan alfa
Balak, teroka dan terus teroka
Sungai-sungai tidak mampu menampung
Banjirpun bertemu
Mengangkut beribu cerita
            Mengheret beribu benda
Menghebah beribu berita
Walau telah mewar-war beribu nasihat
Walau dapat menjana beribu derma

Namun berduka
Terperangkap
Kelaparan
Kesejukan
Kerisauan
Kesedihan
Kebimbangan
Tetapi entah mengapa ada yang mengambil kesempatan
Menyebar cerita palsu
Menghebah fitnah bertalu
Memperlekeh khidmat bantu

Di mana keinsanan
Di mana kemanusiaan
Dalam sukar dia menyukarkan
Dalam sedih dia menyedihkan
Dalam duka dia ketawa

Menghulur tangan sepatutnya
Menyelongkar harta mangsa tergamaknya
Membantu meringan beban selayaknya
Merampas sejahtera jiwa sengsara dilakukannya

Ke mana hilangnya jiwa bernafas insan
Mengapa menyerlah nafsu serakah
Ingatlah kita hanya hamba
Mengumpullah pahala sebanyak mungkin
Mengikislah dosa sehabis boleh
Kita akan ke tanah kubur bersemadi
Ingatlah mati
Tidak tahukah negara kita dilanda bencana
Keranaku lihat banyak cerita dalam banjir ini

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid