Monday, September 11, 2017

DUKAKU

Hari ini,
suram bumi disirami gerimis
kicauan unggas berlagu sepi
menggenggam suara riuh
menjadi senyap dan sunyi
bagai ada duka
suasana begini pernah menghidang sedih
suasana begini pernah menaungi pilu.

Perginya,
kami redha.

Thursday, May 18, 2017

HARI GURU

Tarikh keramat itu datang kembali
Membekal dunia persada guru
Mengendong halwa semanis madu
Mengelek bunga seharum kasturi
Mengalung ilmu khazanah buku

Dalam tawamu ada cetusan rasa
Dalam senyummu ada berita duka
Dalam rintihmu ada banyak suara
Dalam tangismu ada khabar sengsara
Dalam keluhmu ada cerita hampa
Dalam sedihmu ada nada bahagia

Tatkala tarikh keramat itu datang kembali
Kau menyapa sepi
Kau mengumpul keringat lagi
Berdiri dan menyanyi
Lagu seribu rahmat
Lagu tersemat azimat
Lagu janji yang pasti
“Kami Guru Malaysia”
Dengan penuh semangat
Tanpa silap tempo
Tanpa lupa lirik
Jika boleh kau ingin menyanyi lagi

Ketika tarikh keramat itu datang kembali
Sedarilah hari itu hari kamu
Kamu merancang untuk kamu
Kamu gembira kerana kamu
Kamu mengembala hari kamu sendiri

Tarikh keramat itu datang kembali
Pada setiap 16 Mei
Sebagai Hari Guru

SELAMAT HARI GURU
Nukilan : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID




Monday, March 13, 2017

TERASA BERATNYA



Masihku tanggung amanah itu,
Yang terlihat ringan
Yang teranggap mudah
Yang dikata itukan biasa.

Apakah mampu kujawab,
Segala apa yang kutanggung
Gahnya tidak seberapa
Tapi bebannya tidak terkira
Walau aku masih bersuara
Walau aku masih berbicara
Walau aku masih ketawa
Tidak bermakna akukan leka
Mendabik dada dan berseloka
Kerana amanahku adalah manusia
Modal insan sebuah negara.

Perlukah pula kuundur diri,
Letihnya kini mula terasa
Mengheret minda mengejar masa
Akukan kini sudah tua
Atau terus menghitung hari
Memapah amanah yang sendiri kucari
Dengan memeterai aku janji
Berjasa kepada agama, bangsa dan negara
Sebagai seorang Penolong Kanan
Di sebuah sekolah pinggiran Sungai Pahang
Yang menunggu tikanya bersara.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Buat rakan sejawat di SK Paya Pasir.

Friday, February 17, 2017

KEMBALI MENGINGAT

Dua bulan berlaku,
beku aku mencair kini
mengalir mengukir liku-liku
mencanang cerita berdebu
berbicara masa-masa lalu.

Ku curi mimpi-mimpi itu,
mengisi poket-poket kenangan
menitip gambar keliru
agar aku tidak tersipu.


Kembalinya aku,
mencabut paku hantu
mengilai, terkulai
mengumpul emping semalam
agar esok ingatkan aku.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID