Isnin, 3 November 2008

MENGAPA MELAYU MAKAN MENGGUNAKAN TANGAN

Dalam buku, ' Chersonese - The Guilding Off ' tulisan Emilly Innes, ada menceritakan tingkah laku Tengku Kudin seorang kerabat raja Kedah yang menetap di Selangor pada akhir abad ke-19. Dicatatkan bahawa beliau telah menjawab persoalan seorang isteri pegawai tinggi British yang berkhidmat di Selangor dalam satu jamuan makan malam jemputan British Resident.

Telatah Tengku Kudin membasuh tangan telah diperhatikan oleh wanita berkenaan yang kebetulan duduk di sisinya kerana tertarik dengan perlakuan tersebut, lantas bertanya, "Mengapa anda makan dengan tangan? Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan sopan?"

Dengan bersahaja Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain, "Saya makan menggunakan tangan saya, sekurang-kurangnya ada tiga sebab :

Pertama : Saya tahu tangan saya lebih bersih daripada sudu dan garfu sebab saya sendiri yang membasuhnya, bukan orang lain. Sudu dan garfu itu dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.

Kedua : Saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya saya seorang sahaja yang menggunakannya, tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya.

Ketiga : Saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah jatuh ke dalam longkang.

Moralnya : Kita jangan lekas menghina atau memandang jijik perlakuan orang lain yang berlainan budaya dengan kita. Masing-masing ada rasionalnya mengapa mereka berbuat demikian.

Belajarlah...