Saturday, December 1, 2012

MEMBARA

Masih kulihat anak bangsaku
meratah masa dengan leka
menjamah dosa tanpa rasa
menjinjing ilmu yang tak seberapa
mahu menang sorak tapi kampung tergadai
lagak hebat tapi punggung tercalit tahi
tingkahnya gemar meludah ke langit
sering mencangkul angin dan menyalak bukit
dengan menjaja pekong di dada
kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar

Masih kudengar anak bangsaku
sudah lupa jati diri
bahasa bukan binaan budi lagi
adat dan adap, sopan bersantun
bagaikan telah pupus ditelan zaman
apakah tidak mahu wujud bersama bangsa ini
atau mahu lari dari Nusantara
membawa watak Si Kitol pengkhianat
bagai gunting dalam lipatan
menjadi musuh dalam selimut
apakah bangga maruah bangsa dinoda

Masih kuterhidu anak bangsaku
yang bernanah bernada busuk
mencela, mencerca, mengherdik mainan lidah
menghimpun nista dan fitnah
memapar cerita-cerita dusta dan lucah
sanggup bersumpah seranah bangsa
iklan percuma cerita tin-tin kosong
di warung, lorong dan serombong
kononnya telah dijanji syurga
kerana memamah daging sesaudara

Namun kutersentuh dengan anak bangsaku
yang menyedari siapa kita
di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
Nusantara hanyalah tinggalan nenek moyang
tiada harta semahal merdeka, aman, damai, sejahtera
jiwa mereka membara
hati mereka besar
inilah tanah tumpah darah kita
akan mereka bangunkan Malaysia
akan mereka pertahankan maruahnya
dengan menyimpul erat kata keramat
'tidak akan Melayu hilang di dunia'

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Tuesday, October 16, 2012

PERSIAKAN

Berhempas pulas membanting keringat
bertungkus lumus membakar semangat
bersungguh-sungguh membina harapan
bertekun tekad menawan impian

Dalam kebiasaan kerap terpanggil
membetul batas-batas bengkok
menarah pinggir-pinggir condong
menebas sisa-sisa duka nestapa
menebus masa yang pergi sekian kali
dengan kuntum-kuntum mimpi semalam
lalu menimbus cerita-cerita alfa

Apakah epilog itu  sia-sia
acap kali bermonolog penuh berita
mengimbau hari-hari berlalu terpaku
keras membeku bersama tugu-tugu lena
rimas mendakap dodoian ibu pertiwi yang leka

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Sunday, October 14, 2012

MENGUMPUL SENYUM

Berbalah hati ini menurut kata-kata itu
ikut atau lupakan saja
biarkan berlalu atau buat saja keranamu
maka aku mengumpul senyum
senyum sendiri tanpa siapa peduli
senyum sendiri sedang hati menyepi

mengukir garis-garis senyum
dari bibir ke pipi
dalam ketidakmahuan aku senyum lagi

Aku membisik hati agar terus senyum
senyum itu penawar hati
senyum itu suka dalam dengki
senyum itu cerita di antara realiti
senyum itu madah-madah bisu mentaliti
senyum itu wajah bicara seribu erti

Akupun mengumpul senyum
agar tiada yang terasa sangsi
agar tiada perasan aku sendiri
agar tiada kata-kata aku sombong dan iri
agar engkau tidak tahu, aku memang benci

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID





Tuesday, October 2, 2012

KE MANA HILANGNYA BUDI

Aku mencari sekelumit budi di ceruk bibir
aku mencari seteguk budi yang mengalir janji
aku mencari secebis budi yang menabur bakti
aku mencari secubit budi yang menyiram murni

Ke mana hilangnya budi
pergi tidak kembali
membawa diri dalam sepi
mematah semangat tidak mengerti
tanpa dipeduli terbiar menyendiri

Ke mana hilangnya budi
jika yang baik hanya janji
tiada sisa-sisa bukti yang terpatri
memagar pahala jangan pergi
membiar dosa menggenggam polisi

Ke mana hilangnya budi
yang dibawa bekal mati
jutaan jiwa pertiwi
menagih simpati
sepotong budi

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

ESOK

Esok yang kunanti
bagai tak kunjung tiba
meratah sinar-sinar mentari hari ini
dalam kesamaran mega senja memburu esok
menyingkap malam untuk pelangi subuh

Esok yang kutunggu
tidak pernah berakhir
saban hari menjelang, esok pasti kembali
apa aku mahu hentikan usia
apa aku mampu menipu waktu
atau aku cuba mengejar masa
namun aku tetap tidak bertemu esok

Esok yang kucari
mengimpi seribu janji
indah dan gembira
senyum dan bahagia
riang dan suka
mewah dan berharta

Esok sesungguhnya kautetap pergi
walau seribu tahun kubertaruh nyawa
menanti dan menanti
esok pasti ada tapi akan ada esok lagi
lagi esok, esok dan esok
tanpa mengira siapa aku
yang hanya menanti hari esok

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Friday, September 21, 2012

MENYAPU AWAN

Terasa semak alam ini
terasa sesak kamarku ini
terasa berasap kepalaku ini
terasa serabut mimpi-mimpiku kini

Apakah aku mampu menyapu awan
yang dulunya biru kini kian kelabu
berarak mendung membawa cerita merapu

Apakah aku bersedia menyapu awan
agar kembali cerah putih membiru
bersama riangnya mentari senyum
menyimpul beribu-ribu cerianya lagu

Nelayan lantas mahu ke laut
penoreh mampu melangkah ke ladang
pesawah tidak perlu risau padi di bendang
anak-anak tidak berpayung ke sekolah

namun siapalah aku
yang mahu menyapu awan
apalah daya aku manusia kerdil
asyik dengan mimpi indah di siang hari

Corong-corong asap hitam
membawa awan baru
yang merimas membelengu panas
yang cairkan ais di kutub dunia
yang menjadi petanda kiamat hampir tiba

Apakah aku masih mahu menyapu awan
dengan berita-berita bencana
dengan nada sinis yang merayu
dengan gurisan tinta, paparan imej dan bentukan arca

Apa yang pasti aku tidak mampu
tangan-tangan kecil mengapai awan
tangan-tangan besar mengejar bintang
inikan pula aku hendak menyapu awan

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
(aku hanya bermimpi)

Sunday, September 2, 2012

JALUR GEMILANG

Kau gah Jalur Gemilang
walau di mana kau dikibar
kau tetap anggun
kau menyerlah perkasa
kau mewarna negara
kau lambang merdeka

Kau sentiasa gah Jalur Gemilang
tiada  kuprasangka terhadapmu
kau milikku
kau milik Malaysia
janganlah ada yang leka
janganlah dicela dan dihina
kau hak utuh jati diri bangsa

Kau Jalur Gemilang
tiada yang serupa
telah diwarta di persada dunia
kau panji maruah bumi bertuah
kau jiwa dan nyawa
kau hak kita

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID


Wednesday, August 29, 2012

MEMERDEKAKAN

Berkurun-kurun sudah mahsyurnya tanah ini
bergemerlapan dengan tamadun dan hasil bumi
emas hartanya dan rempah jiwanya
menjadi taruhan berzaman-zaman
kerajaan demi kerajaan berkuasa silih berganti
Sriwijaya, Majapahit, Kesultanan Melayu Melaka,
Malaya dan kini Malaysia
kerana letaknya terlindung antara dua mata
apatah lagi empayar takluknya maha perkasa
serikandi, hulubalang, para pahlawan membentang nusa
sanggup berputih tulang daripada berputih mata
di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
banyak yang gugur menentang penjajah
biar bersenjatakan keris dan sumpit
peluru meriam dan bedil sanggup ditepis


Bermula rentetan Datuk Maharaja Lela membuka cerita
kerakusan penjarah yang menjajah
bermandi darah, air mata dan derita
mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah tercinta


Kini negaraku bangun bersama warga dunia
berdiri di persada antarabangsa
setelah 55 tahun merdeka
aku hanya anak merdeka yang jauh dari bertaruh nyawa
namun moyangku pernah bercerita tentang siapa kita
sekarang aku menyambung cerita
kepada semua anak cucu supaya membuka mata
bahawa aku tidak mahu dijajah semula
walau oleh jiwa yang mengaku berkuasa
walau oleh bangsa yang menabur harta
walau oleh dajal yang memapar syurga
kerana aku percaya kepada Allah yang Maha Kuasa
Malaysia ini milik kita
di sinilah tanah tumpah darah kita

Terima kasih kepada negarawanku
jasamu tidak terbalas oleh aku
setitik budi jasamu menjadi gunung jayanya
sekerdip matamu amat bernilai daripada tidurku yang lena
kerana kalian telah memerdekakan negara
dan pasti akan aku pertahankan kemerdekaan ini

MERDEKA

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Saturday, July 21, 2012

RAMADAN KALI INI

Aku mengumpul segala impian
aku menghitung segala harapan
aku mengejar Ramadan kali ini
aku bangkit bersamamu Ramadan

Akan aku sembunyikan kerungsingan
akan aku diamkan kepalsuan
akan aku hindari kedurjanaan
akan aku gagahi musibah mendatang

Aku syukuri Ramadan datang lagi
aku sedari akan pahala berlipat ganda
akan aku penuhi kekosongan ini
agar aku tidak menyesal nanti
tatkala Ramadan pergi
tatkala aku tiada lagi.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

1 Ramadan  

Saturday, July 14, 2012

BUKU ITU BUKU

Laksana tersumpah  
buku-buku kandungan ilmu kaku
penuh cerita keliru
terbiar celaru
terpalit noda minda

Memang buku-buku itu buku
senak sesak mengheret kerenahku
rak-rak beku penuh buku-buku membisu
tidak laku-laku
tidak terurus
tidak terjamah untuk beralih
tidak terusik untuk berpindah
tidak terambil untuk kembali bersusun

Buku-buku itu buku
bercerita tentang masa lapuk
berbicara bersama habuk
berbisik balik-balik kulit
berbual di pinggir helaian
mengintai abjad-abjad yang gugur berderai

Tetulang buku itu digigit gegat
halaman demi halaman dirobek
berjangkit penyakit kerekot dan kerepot
bukan terseliuh dek dawai kokot
tetapi tertutup tidak ditatap ulat-ulat buku

Mungkin telah ada pengganti
menyebabkan buku-buku tidak bernilai lagi
atau aku yang tidak tahu mempromosi
kerana kesilapanku
kerana kebodohanku
kerana kealfaanku
kerana kesombonganku
kerana keangkuhanku
kerana aku
buku itu hanya sekadar buku

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
(Cerita di sebalik Guru Perpustakaan dan Media)

Thursday, July 12, 2012

KOSONG

Akan kubangkit
dari kosong


Sesungguhnya, kekosongan itu
pasti terisi
tetapi bukan lagi dengan cerita-cerita kosong

MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
(Buat insan yang membuat kosongnya aku)
Sumber Video : Youtube - Najwa Latif (Kosong)

Thursday, July 5, 2012

AKU KENA LAGI

Hari ini
hadirnya aku dengan senyuman dan tekad
hadirnya aku dengan harapan dan matlamat
hadirnya aku dengan cita-cita maufakat
namun seketika cuma, aku terpaksa berubah
menjadi pendiam membisu tanpa bicara
menjadi perengus tanpa suara
menjadi pesakit tanpa kata

Segalanya apabila dia menuding ke arahku
mengumpul semua saksi dan cerita
menghentam terdiam diri alfa
terpinga-pinga mencari sebab
mengapa

Maka longgokanlah segala kepadaku
aku terima
siapalah aku
hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong
apa yang aku lakukan mungkin retorik dan metos
barang kali baginya indah khabar dari rupa
mungkin aku memang tidak berguna
cuma bentakan tin-tin kosong
katanya aku sering omong tanpa makna

Aku terlihat sinis lemparan senyuman kelatnya
aku tergigit pahitnya hempedu percaturan
aku terpaksa sebarkan berita duka ini
biar semua tahu
biar semua faham
aku tidak mengharapkan tahniah dan terima kasih
aku tidak mengimpi nilai tertinggi julangan prestasi

Aku sedar siapa aku
tidak bertaring untuk menerkam
tiada bertaji untuk menikam
tiada bertanduk untuk membenam
hanya insan tua menanti mati
bertangan tapi bergari
terbelengu kedua-dua kaki
terpasung tengkukku ini
bermulut tapi termateri mati

Segalanya serba tak kena
segalanya berserakan
segalanya kecamukan
segalanya terasing sepi
dek kebodohanku yang sia-sia
menanggung cerca nista seorang master
dek kekokanku bersama seorang ketua
walau aku celik tetapi buta
aku cuma mampu menikus
bak gergagi memakan papan
disorong makan, ditarik pun makan
lukalah aku sendirian
berteman hiba seorang pekerja.

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Wednesday, July 4, 2012

AKAN KUISINYA KALI INI

Telah tersaratnya aku dengan beban
telah tidak terkendung aku akan segala peranan
pasti ada yang tercicir
pasti ada yang terpinggir

Telah bertekad hati dan perasaan
pada pagi ini
pada tarikh ini
akan kuisinya kali ini

Aku bukannya budak-budak lagi
aku juga bukan remaja yang baru bekerja
apatah lagi selaku orang biasa tanpa apa-apa
kerana aku adalah aku
kerana aku ada janji yang belum ditepati
kerana aku ada kerja yang belum terlaksana
kerana aku ada cita-cita yang hanya mimpi

Akan kuisinya kali ini
biar apa kata rakan-rakan
biar apa kata ibu bapa
biar apa kata mereka

Segala titik peluh
segala penat lelah
segala susah payah
segala masalah dan keranah
telah aku harungi walau bertimpa menyiksa diri
telah aku tempuhi walau dilanda bicara nista
telah aku gagahi walau menghentam diri sendiri
telah aku tanggungi walau poketku kosong saban hari

Akan kuisinya kali ini
kalau tidak berjaya bukan kerana aku tidak mencuba
mungkin segalanya akan berubah
mungkin yang malap menjadi cerah
mungkin cara ini cara penyudah
akan kuisinya kali ini

Aku pasti akan ada yang tersenyum
melihat gelagatku kali ini
melihat membebelnya aku dari pagi
kerana akan kuisinya kali ini
borang tukar ke tempat lain pada tahun ini

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Wednesday, June 27, 2012

KITAKAN CIKGU

Kitakan cikgu
awal pagi menjenguk diri
menghambat susah payah di rumah
mengheret lambaian murid
melempar senyuman berseri
menghulur kantung-kantung ilmu
sambil mengalun bicara merdu    
bertintakan dakwat merah dan biru

Kitakan cikgu
saban waktu melangkah pintu-pintu
salam dan selamat pagi, cikgu
menabur cita-cita dan impian bisu
menebar jaringan ilmu tanpa jemu
memerhati dan menguji jiwa-jiwa jitu
memapah semangat membukti maju

Kitakan cikgu
diasak berbagai laku
dari sebagai abang, kakak, ayah, ibu juga nenda
dari selaku petani, tukang kebun, tukang masak dan tentera
dari bak kerani, peguam, jururawat mungkin jurutera
dari umpama bendahari, penglibur lara termasuklah raja
dari seperti amah, tukang kayu, mekanik serta jurukira
dari berbagai wajah, jawatan, tugas dan kerja
dari sebarang masa tak kira cuti atau bencana bahaya

Kitakan cikgu
berjanji mendidik anak bangsa
berjanji membangun negara
berjanji setia kepada raja
berjanji berpandu rukun negara
berjanji tidak mempersiakan setia
berjanji menunaikan janji

Kitakan cikgu
biar siapa kita
entah di mana kita
walau bagaimana kita
yang jerih titisan keringat kita
yang gagal menghambat mimpi kita
yang kecundang cerita hampa kita
yang cemerlang memang milik mereka

Kitakan cikgu
berterima kasih kalau diundang
tersenyum simpul kalau dikenang
oleh mereka anak-anak murid kita
walau mereka kini menteri
walau mereka berpangkat tinggi
walau mereka tidak mengenali kita lagi
tapi kita masih seorang cikgu

Kitakan cikgu
meniti-niti hari sambil mengira usia
mengajar dan berbakti
mencuba berbagai pedagogi
memahami emosi dan psikologi
mengejar teknologi terkini
mengutip wawasan mengendung transformasi

Kitakan cikgu
tidak mengharap balasan
tidak mendambar simpati
tidak menanti kenangan
tidak menagih janji
panggillah kita 'CIKGU'
itu lebih bererti

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, June 25, 2012

KEMBALI KETUK

Titipan aksara kususun kini
agak terlewat kebiasaanku mengatur kata
mengingat akan terlekanya aku
menyepi daripada segenap bucu-bucu bicara
dalam kolong blogku ini

Aku terlena seketika
mengintai tipu muslihat pasrahnya hati
mengukir kepiluan di balik-balik senyum

Aku merajuk memujuk diri
telah kepenatan menyusun keringat mengatur budi
melabur jasa tanpa dipeduli
penat dan lelah melemaskan naluri

Itulah
aku membiar seketika apakan jadi
adakah aku memang tidak dikehendaki
atau sebagai bayang-bayang yang dipijak mati

Tapi aku tetap aku
sampai ketikanya aku kembali
mengatur bicara-bicara baru
mengikat seribu janji dan bukti
lemahnya diri terpedaya
aku kembali mengetuk papan kekunci

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Monday, February 27, 2012

MATINYA SUNGAI ITU

Kejernihan cerita dulu telah bertukar keruh
Kenyamanan angin itu menghangat sinis
kesegaran arus berlalu kian resah

Ikan-ikan tidak lagi bermain
anak-anak udang tidak lagi bersaing
pepatung dan semut merah jarang sekali bertemu
batu-batu kecil hanya kaku membeku
anak-anak sendayan hidup segan mati tak mahu

Ke mana nyawa sungai ini pergi
meninggalkan segalanya tidak bermaya
memaparkan segenap lengkaran sungai akan derita
membawa muak, darah, nanah dan bau-bau busuk
menghanyutkan racun-racun berbisa tersisa
menjengkel sesiapa sahaja singgah membungkus lena
membunuh erti cantik, indah dan ceria

Sudah mati sungai ini
tersandung dan tersungkur di tanah sendiri
tersipu dek slogan 'Cintai Sungai Kita'
sambil mengusung jenazah berlabel
sebagai sungai tercemar negara

Apakah ubat hidup ada bagi si mati ini
adakah sejarah lampau mampu bergemerlap lagi
atau terus terkubur bersendikan risau dan rimas
atau akan hilang di muka-muka peta

Nukilan MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID


Tuesday, February 21, 2012

PERGILAH KAWAN

Lemparan senyum penuh warna manis
teguran sapa yang selunak puitis
menggamit cerianya pengatur langkah
menghulur secangkir teh tanda mesra
tatkala menanti perginya seorang rakan

Dari raut rupa terbayang cerita-cerita lalu
akan tinggallah memori dalam saku-saku
akan berpindahlah cerita baru dari laci buku
membuka diari dengan menyusun tinta lucu, sinis dan berliku
menginggalkan kawan-kawan dan aku
kepingaan, kealfaan, terkial-kial menyusun silu sipu

Pergi sajalah kawan
atur langkah bukan hanya berbicara
pikullah beban yang baru-baru itu
amanah yang tidak terusung bersama
kerana kini kita sangat berbeza
kekananan posisi kau melangit
kami orang biasa yang hanya pandai bercita-cita

Pergilah kawan
namun jangan lupa coretan-coretan kita
menggunung harapan mendukung wadah
bahawa hidup ini tidak senang dan bukannya mudah
bahawa hidup ini tidak selalunya indah
bahawa perjuangan bukan sekadar penyudah
mungkin bukan percuma apatah bukannya sia-sia
kerana biasanya pengiktirafan seiring harapan
tapi kami hanya mampu berkata-kata
bersendirian dengan nota terseksa
berjejari kaku mengaduh gerimis menjelang senja
sambil menyelak tabir kelam berbalam malam
berselimut perilaku hari-hari berlalu
menunggu cerahnya esok
menanti cerita-cerita biasa kami di sini
siapa pula bakal menjadi mangsa hari ini?

Maka pergilah kawan
biar kami mengendong segala sumpah
biar kami mengusung segala penyudah

Buat Seorang GPK dari SKBP ke SKJ1
Nukilan Muhammad Zahidil Zahid



Thursday, February 9, 2012

MENGAKU KALAH

Berhempas pulas mengembleng keringat
memerah otak yang makin benak
memecah tembok-tembok sindiran
memungut cita-cita gemilang
sambil mengintai kejayaan teman
aku akui cemburi gahnya rakan
lalu mengumpul langkah bestari
berbekal azam cuba berlari
mencurah was-was mengejar cerianya seri

Aku akur dan mengakui
aku bukan aku yang dulu lagi
aku telah terseliuh di arena ini
aku tidak terubat oleh janji-janji pasti

Aku mengakui aku yang kalah
walau bukannya aku yang parah
tapi aku kecundang sudah
tanpa hebat dan tiada helah
memikul pengandar yang kian patah
membuat aku meredah lemah dan rebah

Mungkin aku hanya berpegang janji-janji mudah
tidak segagah dulu membawa wanginya wadah
menjaja misi dan visi mengelek pelbagai wajah
bahawa sebenarnya aku yang bersalah
kerana aku sememangnya telah kalah

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Friday, February 3, 2012

BERSAMA ORANG MUDA

Kekekokan aku di kalangan mereka mula nyata
kegelinciran menilai usia meresahkan
ketelusan menambat jiwa berderai lalu
kerana aku telah jauh menerawang
sedang keliru membelek sejarah

Aku bukan tidak cuba mengejar pelangi
tepi biasannya hanya saksi-saksi lama
berbicara tentang masa-masa kini
ruang lingkup anak-anak muda
yang memang melolos diri dari duniaku sendiri

Aku akui aku tidak mampu berlari lagi
walau mereka hanya berjalan kaki
atau bertatih di persada suria
yang terang benderang dan ceria
kerana warna yang menempelku suram dan berbalam

Aku sering mengalah bersandar firasat dan taubat
bahawa aku hanya orang tua
yang ingin bersama orang muda
walau cerita kita tidak pernah serupa
apatah lagi seiras ataupun sama

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

KALAU BUKAN KERANA HUJAN

Ke mana aku hendak pergi
air melimpahi tebing
air mencurahi benteng
air membasahi keting
air mula menembusi dinding

Pangkin dah lama tenggelam
para di dapur menanti terbenam
perahu tidak ada yang kumiliki
apakah batang-batang pisang mampu dibuat rakit
atau aku karam bersama teratak usang
hanyut diheret musibah ini

Ayah tidak akan meninggalkanku sendirian begini
yang pasti aku didukung, dijulang tunggi-tinggi
biar diri tenggelam mendukung aku dek derasnya arus
tapi aku dilindungi, dijagai, disayangi, dikasihi
begitulah tatkala bah besar melanda negara

Kalau bukan kerana hujan
apakah aku meniti hari-hari kini
mampukah menanam memori-memori lalu
buat anak cucu
kerana aku kini tinggal di rumah sendiri
rumah batu berjeriji besi
di kaki bukit bukan dipinggir kali

Cuma kalau bukan kerana hujan
apakah bahana lain akan kembali
mengheret aku ke lurang sepi
memikul amanah sebelum mati

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Thursday, February 2, 2012

MENCARI MAKNA MIMPI

Telah kembali Februari
mengheret mimpi-mimpi Januari
dengan mengusung tinta tanpa bicara dan cerita
sambil mengatur aksara-aksara binari sepi
lalu menggoncang bait-bait simbol tiada makna
terus menghempap memori lalu yang sinis menari-nari

Dalam mencari makna mimpi itu
terkial menggamit nada-nada bisu
terkedu mendengar gurisan-gurisan ngilu
membelit kudis yang masih bernanah
walau senyumnya cuba berperisa manis
tapi hambar, tawar hanya warna menipu rasa

Apakah semua mimpi itu bermakna
atau cuma mainan-mainan lena
atau gambaran masa tua yang entah bila
atau makna tersirat tanpa serlahan jangkauan minda
atau aku yang berkira tentang mimpi yang tanpa makna

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID