Khamis, 18 Disember 2008

Soal Jawab Sang Petala Bumi

Bukankah gunung dan bukit
adalah paksi kesejahteraan kau
namun kenapa aku, kau tarah?

Bukankah belantara dan rimba
adalah jiwa raga keharmonian dunia
kenapa aku, kau ratah?

Berapa dalamkah petala bumi ini
akan kau kobek dan robek
mengaut segala isi buana
untuk kekayaan dunia
kesenangan tidak selama mana?

Bila runtuh sana-sini
alam semula jadi adalah mangsa!

Bila bah menenggelami delta jayamu
kau kumpul fakta penyebab bahana!

Bukankah kau telah mengganggu aku
Sang Petala Bumi
tempatmu terpaku
mengukir mahligai
menabur impi palsu?

Ataukah kau sangka aku
menagih janji dan dendam
menghimpun kurban darat lautan
bersemadi di dadaku
sebagai satu hukum alam?

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Thursday, 11 December, 2008
12:16:58 PM

Tiada ulasan: