Khamis, 18 Disember 2008

AKU TIDAK SANGGUP LAGI

Kalau hanya anak-anak kayu
kalau sekadar butiran batu
kalau lumut yang lembut memaku
kalau unggas bertenggek tersipu;
aku pasti tersergam indah
biar beribu tahun lagi.

Kalau pendakap aku masih bernyawa
akar berbanir yang bertunjang
berselirat menjaga bagaikan jala
batu pengimbang masih di situ;
aku pasti belum runtuh
aku pasti belum roboh.

Tatkala aku leka menilai usia;
Jentolak berupaya mendaki tebing
mengikis gondol kekuatanku dan benting
kononnya teknologi menghalalkan segala
katanya manusia raja di dunia.

Aku tak sanggup lagi
memikul beban simen dan besi
mendukung jentera
memamah cerucuk-cerucuk baji;
apatah lagi jasad manusia
bersama cita-cita dan kumbahannya.

Aku tak pernah berjanji
menjaga nyawa dan harta;
biar pakar bumi angkuh berkata pasti
namun bukan aku yang telah berjanji
kerana aku tak sanggup lagi.

Walau dititis embun pagi
walau dipuput bayu sepi
walau hanya bulan menyinari
walau dijijak kaki bayi;
aku tak sanggup lagi
menanggung semua ini
menatang beban hebat begini
lantas aku terpaksa
meragut nyawa
meranap harta
meratah segala
namun salahkah aku
seandainya manusia belum sedar?

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
Thursday, 11 December, 2008
12:44:30 PM

Tiada ulasan: