Titisan tinta merubah warna bicara
biru bukan bererti biru
hitam tidak bermaksud hitam
warna berbicara tentang rasa dan duga
Kelam kelmarin memekat kini
pudar seketika tapi terhembur jelingan cerca
watak-watak keramat membisu tidak terbela
sesal mendukung biawak hidup tiada makna
melepas anjing tersepit tidak berguna
Benarkanlah air dicincang tidak akan putus
carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua
walau sekadar melepas batok di tangga
menyepak tin kosong gamaknya
menanglah sorak, kampunglah tergadai
Cerita itu memang berwarna
berkembang mekar namun tidak pernah harum
ceria mula tapi membusuk kemudiannya
mengheret segala isi perut yang serabut
membongkar sumpah seranah
mempamer agungnya seorang dia
dan sesedar aku, aku siapa
parut berbekas cuma tapi luka masih terasa
kerana bara masih ada
NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Tiada ulasan:
Catat Ulasan