Sabtu, 30 Julai 2011

ANDAI AKU PEPOHONAN

Andainya aku pepohon
biarlah akarku kuat dan mencengkam
memegang kukuh tanggungjawab dan perasaan
menggenggam erat cita-cita dan harapan
biarlah aku hidup bagai aur dengan tebing
bukan tumbang dibadai bayu

Andainya aku pepohon
biarlah tubuh badanku bermanfaat
berkayu teras tegap dan tampak hebat
mendirikan mahligai dan prasarana
bukan lapuk dek hujan lekang dek panas
bukan makanan anai-anai dan bubuk

Andainya aku pepohon
biarlah aku hidup merimbun
setiap masa menjadi teduhan
bukannya hidup segan mati tak mahu
tidak hidup merangka bak bangkai bernyawa

Andainya aku pepohon
biarlah aku sering berbunga
indah, ceria dan sangat disuka
menyegar udara setiap ketika
bukannya cakap tak serupa bikin
banyaknya bermimpi dan angan-angan belaka

Andainya aku pepohon
biarlah aku kerap berbuah
lebat, harum, manis dan ranum
menjadi makanan dan khasiat kesihatan
bukannya habis manis sepah dibuang
bukan juga hanya menanam tebu di bibir saja

Andainya aku pepohon
biarlah benih bercambah
menerus kelangsungan juang dan perjuangan
memastikan anak-anakku membesar berjaya
biarlah berputih tulang
jangan berputih mata

Tapi adakah aku pepohon?
kerana sehingga kini aku dibiar sendiri
dipetik bila mahu
dikepak sesuka hati
ditetak di sana sini
tidak pernah dibajai
hasil usahaku mungkin masam belaka
tidak dibelai apatah dimanja
tidak dipandang tapi disepak dan dipijak saja

Adakah aku pepohon
yang memang tidak berguna
yang tumbuh di tanah tak sepatutnya
menunjuk lagak semasa muda, hebat dan berguna kononnya
atau aku hanya tunggul tua yang buruk dan hina
yang menanti ditebang
yang menanti dihurung api
yang menanti menjadi debu
yang menanti lenyap di muka dunia

Adakah aku hanya pepohon?
atau
Apakah hanya dia manusia?

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
(Buat kau seorang ketua)

Rabu, 13 Julai 2011

MENYELONGKAR DIRI

Mindaku berlagu keliru
terpalit hati menompok hitam
mengapa mereka bercerita duka yang penuh tipu
mengapa mereka berbicara sayu melinangkan air mata palsu
hambatan suara itu membuak muak
bersama tempelak nada berhantu

Mengapa mereka berdusta
menjaja mamahan daging sebangsa, seagama
apa untungnya kita bersekongkol
melelong maruah negara
merobek Negaraku mengikut suka

Ini negara kita,
jangan jadi bak bawang ditimpa jambaknya,
gah menjulang jaya, konon
pasti ada yang bertepuk tangan, bangga
namun deritanya, tak tercerita

Selongkarlah diri kita
di mana bumi dipijak, junjunglah langit yang ada
ini negara kita
tanah tumpahnya darah kita
di tanah inilah kita akan bersemadi
mengusung segala amalan ke akhirat sebagai ukuran
mengendung seluruh semai bakti, taburan jasa
mengelek semua amanah dan janji-janji
kerana yang pasti kita tetap akan mati

Mengukir cerita dengan menyelongkar diri
hitung-hitung di mana nanti
timbangan dosa, timbangan pahala
memang tidak terlihat masa kini.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 11 Julai 2011

DI SINI LANGITKU

Hari itu
aku memerhati
aku lihat langit kita
langitku juga.

Aku terimbau langit Kaherah
aku terimbas langit Iraq
aku terpilu langit Libya
aku terpanggil langit Afgan
aku terkenang langit Gaza
aku teringat langit Bosnia.

Langit mereka langit cerita luka
langit mereka langit kisah derita
langit mereka langit bicara hampa
langit mereka amannya seketika.

Di sini langitku
di sini langit kita
di sini kita berdiri membina negara
di sini kita berkeringat menunjang bangsa
di sini kita berwawasan menjulang cita-cita
di sini kita harmoni, aman damai dan sentosa
di sini kita kaya-raya, berbudi bahasa dan berpesta
di sini kita bahagia, mewah dan berharta
di sini kita ada harga diri dan maruah terjaga
di sini kita memelihara demokrasi yang ada
di sini kita hidup berpelembagaan dan sejahtera
di sini kita di bawah naungan Seri Paduka Baginda.

Pertahankanlah langitku ini
aku tidak mahu anak-cucuku menderita
aku tidak ingin mereka hidup sengsara
aku tidak sanggup negaraku terjajah semula.

Walau aku bukan pejuang yang perkasa
walau suaraku hanya kalian yang mendengarnya
aku tetap aku
di sini langit Malaysia
di sinilah langitku
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
apakah langitku ini akan cerah selamanya
apakah langitku ini akan membajai bumi dengan harga nyawa
aku benci petualang bangsa
aku jelek keamanan dirobek
aku meluat akan insan tiada pekerti
di manakah hati mereka.

Adakah mereka menyedari
di sini langitku
di sini jugalah langit mereka.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 8 Julai 2011

AKU ANAK PENEROKA

Berpuluh tahun sudah berlalu
tatkala aku masih keanak-anakan
bersama ayah ke tanah FELDA
bersama ibu penerokawati
menarah tanah Jengka
membina masa kini.

Aku masih ingat
sumbu pelita menjelaga dinding
kesunyian malam begitu mengasing
siangnya pula panas kering.

Rumah kayu bertiang dialas batu
satu paip air berkongsi jiran-jiranku
di situlah kami mandi, air masak dan cuci baju.

Hendak ke bandar?
di mana?
Maran, bukannya bandar ketika itu,
Jerantut, barisan kedai dan stesen kereta api menunggu
Temerloh, jauh sekali dari mimpiku
Pekan koboi Tong Kiat (Pekan Sg. Jerik) destinasi laku
semua ada, tak jauh dari Jengka 1.

Kini, hampir setengah abad usiaku,
seorang guru di Bandar Jengka tempat kerjaku
dan kini Bandar Tun Abdul Razak Jengka
aku beli rumahku
tiada lagi jelaga,
tidak pula kesunyian di malam sepi
ada aircond menyegar hari
berumah batu di Taman Jengka Mahkota
sesekali ayah dan ibu di Jengka 1 aku menyapa
berjayanya dia mendidikku hingga dewasa
megah dan bangganya aku menjadi anak peneroka

Terima kasih negarawanku
terima kasih Bapa Pembangunanku
terima kasih anakandanya Perdana Menteriku
kini aku bahagia di abad ke-21.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
(Sempena Hari Peneroka ke-55 pada 7 Julai 2011)