Rabu, 11 Ogos 2010

IMPIANA


Di jendela Impiana
aku memfokus imej fajar
aku menyaksi kebesaran Ilahi
aku mengintai tabir pagi

Bayu berpuput lembut
tapi cuma aku di jendela itu
apakah subuh tidak terjaga
apakah malam masih ada
biar benar
kerana mentari menyeringai
kerana unggas riuh mencari rezeki
kerana nelayan telah bangun lebih awal lagi

Impiana
kau ketuklah pintu-pintu hati mereka

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid


MERDEKA

Julangan tangan keramat dengan laungan "MERDEKA"

Menggenggam erat kemerdekaan di bumi bertuah ini
Erti kesejahteraan dari kongkongan penjajahan
Redha akan pencapaian tapi terus gigih berjuang
Dendam kesumat ditelan pembangunan, keamanan dan kekayaan
Erat perpaduan segenap lapisan rakyat bersepakat maju
Kemerdekaan ini amat bernilai biar nyawa taruhannya
Akal dan minda ditajam tanda Malaysia bijaksana

MERDEKA!

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

GAZA

Gaza
engkau disirami kasturi
titisan darah dan nanah
anak peribumi dan insan simpati

Gaza
engkau ditaburi kemboja
berbekal nyawa dan keringat yang ada
biar peluru dan bedil merobek dada

Gaza
engkau direnjis mawar
berperisai iman dan takwa
melempar ketulan batu menuntut bela

Gaza
aku tahu bayumu debu-debu kering
bergaul tulang dan daging garing
membuak hanyir darah dan nanah perwira
mengumpul masa dan menanti ketika
melonjak semangat watan
mengembling putera puterimu bersatu
di bawah panji-panji Gaza.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid