Rabu, 23 Jun 2010

MALAM DI BATU HITAM

Malam di Batu Hitam
malamnya seperti malam-malam yang lalu
malamnya dihiasi kupu-kupu
malamnya ditari kumbang bisu

Malam di Batu Hitam
bertudung dan pasti berbaju
berpimpin disiram warna kelabu
terpelosok sepi menghias nafsu
berbual dengan bisikan bayu

Malam di Batu Hitam
hendak kutegur siapalah aku
hendak dibiar bukannya kayu
hendak disepak bukannya lembu
kerana kutahu kalian insan berilmu
namun dungu ditusuk cinta
walaupun hanya sekadar si kera

Malam di Batu Hitam
jiwa dan raga mendidih menagih mesra
biar bergelomang curahan dosa
biar bermandi noda dan nista
biar diseranah tidak tertanggung maruah
namun kerana namanya cinta

Malam di Batu Hitam
apakah khabar menanti berita
anak dibuang bukan terbuang
apakah manusia kini raksasa
nyawa mainan insan hina

Malam di Batu Hitam
melekatkan bintik-bintik hitam
di malam yang kelam di batu-batu hitam

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Tiada ulasan: