Selasa, 29 September 2009

KULIHAT DIRIKU

Kulihat diriku
pada usia sebegini
masih tercatuk-catuk menaip aksara di papan kekunci
masih terpinga-pinga mengira ralat yang entah berapa
masih tercari-cari tasbih semalam yang aku hitung
masih ternganga menonton tv lewat semalam
masih tertanya-tanya nama orang yang menegurku
masih tergiang-ngiang nostalgia silam yang celaru.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
bukannya muda lagi
bukannya mengapai mimpi-mimpi
bukannya mengelamun meniti misteri
bukannya hanya menyara diri sendiri.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
anak-anakku kian dewasa
anak-anak didikku ada yang remaja
anak-anak muridku banyak yang berjaya
anak-anak buahku ada yang tidak menyapa.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
terfikir hari mendatang
tertoleh hari yang berlalu
tertanya hari ini adakah hariku
kerana 30 September hari lahirku.


Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Tiada ulasan: