Selasa, 29 September 2009

Coretan Syawal Kawanku

Daripada Faridatul
Aidilfitri akan muncul
keberkatan Ramadhan akan berlalu
sinar Syawal menjelang pasti
di atas kesempatan yang diberi
keampunan yang dinanti
dengan rasa rendah hati
andai ada tutur kata menyinggung hati
mahupun perbuatan yang menyakiti
apatah lagi dosa yang tak pasti
dari hujung rambut hingga hujung kaki
harap diampuni

daripada Salehudin Mat Rasad
1 Syawal kini tiba
takbir bergema syahdunya jiwa
sekiranya ada yang salah dan dosa
ampun dipinta di hari mulia.

Daripada Tajri, Zulkarnaen, Masrina
Biar kulit segelap Almond London
asal hati sesuci kuih bangkit
Biar iman sekental dodol
jangan senipis rempeyek
Biar jiwa selembut baulu
asalkan akhlak secantik biskut dahlia
Senyumlah semanis wajik
agar lembaran disambut lebih bermakna

daripada Azli
Indahnya dunia hanya sementara
indahnya cinta hanya seketika
tapi indahnya persahabatan sukar dicari ganti

Daripada Yusraini
.. sebening air wuduk
sesuci al-Quran
semerdu alunan zikir
seindah solat 5 waktu
setenang hati yang tiada dendam
jika tangan tak sempat berjabat
jika wajah tak sempat bertatap
bukalah pintu kemaafan
halalkan makan dan minum

Daripada Jamris
Anak dara membeli timba
beli timba free pelita
dihadiah kepada mak Mah
Aidilfitri menjelang tiba
maaf-bermaaf sesama kita
sila berkunjung ke rumah

Daripada Zulrahman
Tinggi-tinggi si matahari
anak bulan berlindung malu
budi baik semai di hati
budi buruk biar berlalu

Terbang ketitir semakin tinggi
berjalan merbah di tanah rata
semoga berbahagia di aidilfitri
ampun kemaafan yang saya pinta

Daripada Zamri, Azizah
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi
dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa
dalam kelembutan lidah ada ketelanjuran kata
dalam gurau senda tentu ada khilaf dan dosa
mohon maaf di atas segalanya

Daripada Nora
Jauh mana
jarak kita
lama mana
pun tak jumpa
kita tetap
pandang anak bulan yang sama

Daripada Acik Zul
Ya Allah
di bulan yang penuh
barakah, rahmat dan magrifah ini
Kau berkati dan limpahkan rezekiMu kepadanya
bahagiakan ia dan keluarganya
terimalah ibadahnya
serta ampunilah dosanya

Daripada Intan
Melawak tak selalu tapi mesra
kasih tak dalam tapi kekal
senyum tak manis tapi ikhlas
hati tak cinta tapi rindu
mesej tak kerap tapi ingat

Dipilih daripada SMS rakan sempena Syawal

KULIHAT DIRIKU

Kulihat diriku
pada usia sebegini
masih tercatuk-catuk menaip aksara di papan kekunci
masih terpinga-pinga mengira ralat yang entah berapa
masih tercari-cari tasbih semalam yang aku hitung
masih ternganga menonton tv lewat semalam
masih tertanya-tanya nama orang yang menegurku
masih tergiang-ngiang nostalgia silam yang celaru.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
bukannya muda lagi
bukannya mengapai mimpi-mimpi
bukannya mengelamun meniti misteri
bukannya hanya menyara diri sendiri.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
anak-anakku kian dewasa
anak-anak didikku ada yang remaja
anak-anak muridku banyak yang berjaya
anak-anak buahku ada yang tidak menyapa.

Kulihat diriku
pada usia sebegini
terfikir hari mendatang
tertoleh hari yang berlalu
tertanya hari ini adakah hariku
kerana 30 September hari lahirku.


Nukilan Muhammad Zahidil Zahid