Di penghujung Ramadhan ini
berbagai ganjaran telah dijanji
berbagai kerahmatan telah kudengar
berbagai kesukaan telah diperlihat
berbagai kenikmatan telah disaji
Di penghujung Ramadhan ini
namun aku masih mendengar
suara-suara sinis
melemparkan kata-kata nista
mengadu domba sesama manusia
maki hamun dan sumpah seranah
Ke manakah agaknya tasbihmu
mengapa bibir-bibir itu tidak berzikir
Di penghujung Ramadhan ini
namun aku masih melihat
kemungkaran dan kemaksiatan
kedurjanaan hawa nafsu
melanggari iman dan takwa
Ke manakah agaknya Quran dan sajadahmu
ke manakah rehal dan telekungmu
mengapa jiwa-jiwa resah tidak bertaubat
mengapa hamba-hamba Allah engkar bersolat
Di penghujung Ramadhan ini
namun aku masih disajikan dengan sejarah lalu
dendangan Dendang Perantau masih sering dimainkan
anak rantau akan pulang membawa seribu satu berita
menjalar di pinggir laman rumah kereta baru
Di penghujung Ramadhan ini
namun jarang sajian sedekah dan amal jariah
masjid dan surau telah mula surut
mengapa insan-insan mulai alpa
adanya insan-insan daif di ceruk sana
menagih simpati dan tawa mesra
Di penghujung Ramadhan ini
aku menghitung sendiri diriku ini
apakah aku juga seperti mereka
mungkin hanya pandai berseloka
mungkin aku juga serupa
Di penghujung Ramadhan ini
aku memohon maaf zahir dan batin
kepada sesiapa sahaja yang mengenaliku
kerana aku tahu aku juga manusia biasa.
Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan