Sabtu, 2 Februari 2013

MENGERTILAH

Kusut dan serabut benakku kini
berbaur hanyirnya bicara paksa
memunggah segenap telahan
memagar selimut kesian
menelan aku sedalam malam

Mengertilah akan silaunya aku
berbirat cita-cita terpikul
sesak dada menghimpun makna
dalam nyanyuk aku terleka
mengumpul erti-erti kata tidak pasti
kerana aku memang tidak mengerti

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 25 Januari 2013

TERTIPU

Dek lunak bicara
dek nada bermentera
dek jeda bermakrifat
dek kata berfirasat
aku tertipu

Terkulai dipersada nyata
terpetik mimpi bahagia
terminum bayu salju
termakan nur yang biru
dari cangkir-cangkir kosong

Meruntun jiwa aku tertipu
berkata-kata dalam lena
memapah harapan palsu
esok belum menjanji apa-apa

Segala keringatku tertipu
dipersenda membuatkan aku dungu
mengendung kantung cerita menipu
memukau dalam jaga
namun aku tetap tertipu
dek liciknya penipu


NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID


Sabtu, 1 Disember 2012

MEMBARA

Masih kulihat anak bangsaku
meratah masa dengan leka
menjamah dosa tanpa rasa
menjinjing ilmu yang tak seberapa
mahu menang sorak tapi kampung tergadai
lagak hebat tapi punggung tercalit tahi
tingkahnya gemar meludah ke langit
sering mencangkul angin dan menyalak bukit
dengan menjaja pekong di dada
kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar

Masih kudengar anak bangsaku
sudah lupa jati diri
bahasa bukan binaan budi lagi
adat dan adap, sopan bersantun
bagaikan telah pupus ditelan zaman
apakah tidak mahu wujud bersama bangsa ini
atau mahu lari dari Nusantara
membawa watak Si Kitol pengkhianat
bagai gunting dalam lipatan
menjadi musuh dalam selimut
apakah bangga maruah bangsa dinoda

Masih kuterhidu anak bangsaku
yang bernanah bernada busuk
mencela, mencerca, mengherdik mainan lidah
menghimpun nista dan fitnah
memapar cerita-cerita dusta dan lucah
sanggup bersumpah seranah bangsa
iklan percuma cerita tin-tin kosong
di warung, lorong dan serombong
kononnya telah dijanji syurga
kerana memamah daging sesaudara

Namun kutersentuh dengan anak bangsaku
yang menyedari siapa kita
di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
Nusantara hanyalah tinggalan nenek moyang
tiada harta semahal merdeka, aman, damai, sejahtera
jiwa mereka membara
hati mereka besar
inilah tanah tumpah darah kita
akan mereka bangunkan Malaysia
akan mereka pertahankan maruahnya
dengan menyimpul erat kata keramat
'tidak akan Melayu hilang di dunia'

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 16 Oktober 2012

PERSIAKAN

Berhempas pulas membanting keringat
bertungkus lumus membakar semangat
bersungguh-sungguh membina harapan
bertekun tekad menawan impian

Dalam kebiasaan kerap terpanggil
membetul batas-batas bengkok
menarah pinggir-pinggir condong
menebas sisa-sisa duka nestapa
menebus masa yang pergi sekian kali
dengan kuntum-kuntum mimpi semalam
lalu menimbus cerita-cerita alfa

Apakah epilog itu  sia-sia
acap kali bermonolog penuh berita
mengimbau hari-hari berlalu terpaku
keras membeku bersama tugu-tugu lena
rimas mendakap dodoian ibu pertiwi yang leka

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Ahad, 14 Oktober 2012

MENGUMPUL SENYUM

Berbalah hati ini menurut kata-kata itu
ikut atau lupakan saja
biarkan berlalu atau buat saja keranamu
maka aku mengumpul senyum
senyum sendiri tanpa siapa peduli
senyum sendiri sedang hati menyepi

mengukir garis-garis senyum
dari bibir ke pipi
dalam ketidakmahuan aku senyum lagi

Aku membisik hati agar terus senyum
senyum itu penawar hati
senyum itu suka dalam dengki
senyum itu cerita di antara realiti
senyum itu madah-madah bisu mentaliti
senyum itu wajah bicara seribu erti

Akupun mengumpul senyum
agar tiada yang terasa sangsi
agar tiada perasan aku sendiri
agar tiada kata-kata aku sombong dan iri
agar engkau tidak tahu, aku memang benci

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID





Selasa, 2 Oktober 2012

KE MANA HILANGNYA BUDI

Aku mencari sekelumit budi di ceruk bibir
aku mencari seteguk budi yang mengalir janji
aku mencari secebis budi yang menabur bakti
aku mencari secubit budi yang menyiram murni

Ke mana hilangnya budi
pergi tidak kembali
membawa diri dalam sepi
mematah semangat tidak mengerti
tanpa dipeduli terbiar menyendiri

Ke mana hilangnya budi
jika yang baik hanya janji
tiada sisa-sisa bukti yang terpatri
memagar pahala jangan pergi
membiar dosa menggenggam polisi

Ke mana hilangnya budi
yang dibawa bekal mati
jutaan jiwa pertiwi
menagih simpati
sepotong budi

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

ESOK

Esok yang kunanti
bagai tak kunjung tiba
meratah sinar-sinar mentari hari ini
dalam kesamaran mega senja memburu esok
menyingkap malam untuk pelangi subuh

Esok yang kutunggu
tidak pernah berakhir
saban hari menjelang, esok pasti kembali
apa aku mahu hentikan usia
apa aku mampu menipu waktu
atau aku cuba mengejar masa
namun aku tetap tidak bertemu esok

Esok yang kucari
mengimpi seribu janji
indah dan gembira
senyum dan bahagia
riang dan suka
mewah dan berharta

Esok sesungguhnya kautetap pergi
walau seribu tahun kubertaruh nyawa
menanti dan menanti
esok pasti ada tapi akan ada esok lagi
lagi esok, esok dan esok
tanpa mengira siapa aku
yang hanya menanti hari esok

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID