Selasa, 18 Disember 2018

DIAKAH AKU


Kukutip sisa semalam
menitis air mata kasihan
lupa aku kini kesepian
tanpa teman dan kenangan

Kuselit cerita semalam
dalam lipatan sejadah di ampaian
dengan titisan dosa tak terlihat
aku panjatkan doa semoga sejahtera

Kuseret perbualan lalu
setahuku fitnah memang berbau
menggonggong minda celaru
moga terbenam dipasak buana

Aku kian keliru
bertongkat paruh berselepang baldu
berderet cacian memukul kalbu
apakah esok duniaku ceria

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
HKL 18/12/2018

Sabtu, 6 Oktober 2018

KUKUMPUL KERINGATKU

Usia menerpa
telah melangkau usiaku kini
beberapa hari yang lalu aku menyambutmu
aku tersenyum pada hari itu
aku kumpul segala kenangan
aku kumpul segala ingatan
aku kumpul segala impian.

Antara nyata dan maya
antara sedar dan lena
antara aku dan usia
kini aku sudah tua.

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Sempena 52 tahun

Khamis, 7 Jun 2018

KAU GUGUR

Bunga,
kuntummu pernah mengharum mekar
kuntummu pernah menyeri menghias laman
kuntummu pernah mengundang kumbang menyinggah
kuntummu pernah disunting nak dara sunti
kuntummu pernah hidup berjiwa besar
kuntummu pernah disanjung tinggi menjulang
kuntummu pernah bernama sang insan persona.

Bunga,
kau pernah gugur
tapi berkuntum kembali
mekar dan kian berseri
mengharum dan terus mewangi
kau terus dijaga dan dibaja
kau terus berjasa dan menguntum bangga
kau disebut-sebut dan hebah diserata dunia. 

Bunga,
tapi kini kau gugur
tiada siapa peduli
ada yang menghinamu
ada juga yang mengeji
ada pula yang menabur cerita-cerita buruk akan dirimu
kata mereka;
kau sampah bersepah setelah gugur
kau kotor hanya layak dipijak
kau tidak berguna langsung dan dibuang saja
kau tidak bernilai layak ditebang dan dicampak ke jurang
kata mereka lagi;
kau memang bunga kotor yang harus binasa
kerana jasamu tak seberapa
kerana kau sudah tidak berguna
kerana kau telah terlalu lama dipuja
kau kini bukan kuntum yang mereka suka.

Bunga,
hujan panas dan cuaca dunia bukan lawanmu
tetapi pahit getir dan duka lara kini beritamu
rupamu tidak seceria dan hebat dulu
parasmu telah sumbing terkoyak dan tersisa
harummu hanya pada pencinta sang bunga sahaja
bersama kuntum-kuntum yang turut layu mengira masa
tetapi mereka pembencimu tetap mengherdik
dan mengungkit setia kamu kepada mereka
kerana kata mereka kau keras kepala
kau tetap mahu bersama dengan segala kenangan
dan mengheret segenap peristiwa tatkala bahagia
tetapi mereka tanpa segan silu
dan tanpa hormat akan siapa kamu
terus membuka cerita dan bercerita
walau tanpa bukti dan palsu belaka
namun kamu hanya membisu tanpa kata-kata membela
kerana kini kau bukan lagi siapa-siapa seperti kau yang dulu.

Bunga,
aku ada mendengar pencintamu kembali bersuara
aku ada melihat di dada akhbar dan di kaca tv mereka berkata
dan sesekali aku terpandang wajahmu yang tenang tanpa curiga
berseri dan tetap bertenaga
menguntum senyum dan mekar mesra
tapi kini kembangmu terpapah dek harapan agar kau tak patah
agar kau tak rebah
agar kau terus dicinta dan dimahkotakan semula oleh semua
agar kau kembali segar dan bersih seperti sedia kala
biarpun ada pohon tua lain yang lebih bermaharaja lela. 

Nukilan :
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 5 Jun 2018

AWAN TERBAKAR

Panas,
rimas,
lemas,
cemas,
awan itu telah terbakar.

Sukar kini cerita berlagu,
sedih dan silu memayung sayu
menggapai cinta dalam bahang
menggenggam ais berbara bisa
melontar suara berasap lara
melempar senyum terasa durja
derhaka.

Kanvas kehidupan pudar,
lakaran masa suram
langkah lesu berbalam
tompok-tompok darah kelam
menitik tiris tidak pasti
bila akan berdendang mati.

Rezeki masih berbicara,
walau awan telah terbakar
walau esok berubah warna
walau ceria berbintik duka
walau indah berbaki alfa
hidup biar terus hidup
hirup keringat seadanya
andai esok masih ada.

Mendung awan menjerit sakit,
hujan tak jadi turun
kerana awan masih terbakar
tak tahu sampai bila.

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 15 Mei 2018

ESOK HARI GURU

Menanti esok,
satu hari dalam lipatan diari
satu cerita dalam juraian berita
satu sinar mentari di balik nyalaan pelita
satu calitan tinta di dada layaran komputer.

Esok Hari Guru,
penantian yang tidak berbunga
sesudah dedaun gugur
setelah reranting patah
setelah dedahannya sekah
adakah esok akan merecup tunas-tunas muda
adakah esok akan lahir ranting dan dahan baharu
menjulang kuntum dan putik
mekar mewangi kembali.

Sesungguhnya 16 Mei tetap Hari Guru.

Nukilan : Muhammad Zahidil Zahid

Isnin, 14 Mei 2018

TERPANGGIL

Guruh itu gemuruh,
Halilintar tidak mendebar
Hujan tiris dijuraian nipis
Namun bayu berganti ribut meranap impi.

Berdekad bakti bersilih ganti,
Disanjung seantero dunia
Gahnya namamu tidak terhingga
Namun tersungkur malu menyembah bumi.

Ranapmu bukan seketika,
Maruah tercalar
Rahsia terbongkar
Keagongan berganti sisa
Dirobek dan dilondeh segala cerita
Dijaja di media massa
Agar semua dengar dan sedar siapa mereka
Namun kau masih terdiam kaku.

Sesekali kau berbicara,
Bila terpanggil akan beratnya beban disandang
Bila telinga dicubit dan hidung ditarik
Dan bila namamu dipanggil seorang demi seorang
Namun kau masih menghitung duka dalam jasa.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid