Ahad, 25 Oktober 2015

AKU SEORANG GURU (2)

Aku seorang guru
namun aku tahu siapa kau
kerana tanpa jasa si pendeta
tiada raja bijak di singgahsana
tiada menteri membangun negara
tiada usahawan hitungan berjuta

walau kau seorang jurutera berjaya
walau kau seorang laksamana satu armada
walau kau seorang doktor penyelamat nyawa
walau kau seorang pencari rotan di hutan rimba
walau kau penjual nasi lemak di kaki lima
apatah lagi hanya seorang pelajar istimewa
aku pernah mengajarmu menyayangi harta
aku pernah mengingatkanmu mengasihi manusia
aku pernah memberitahumu hargailah guru berjasa

Waktu kecilmu dahulu
kau bertatih jatuh bangun
kau mula mengenal aksara
A, B, C, 1, 2, 3, dan Alif, Ba, Ta
takkan kau lupa siapa mereka
kau takkan boleh terus membaca
apatah lagi menulis, mengira
tanpa hadirnya seorang guru mendayung di belantara
tanpa jasa seorang guru tua yang dahulunya muda
tanpa keringat guru yang tidak mengenal erti masa

Aku tahu guru kini bukan guru-guru yang lalu
PhD, Master dan Ijazah Sarjana Muda milik mereka
cuma guru kaka meneruskan usia sebelum pencen menjelma
Maktab Perguruan mengganti Pusat Latihan
kini semuanya Institusi Pendidikan Perguruan
ada juga lulusan luar negara dengan pelbagai jurusan
jadi aku bangga merupakan seorang guru sebuah negara

Sesungguhnya bukan harta menjadi taruhan
tetapi ilmu dan masa depan merupakan harapan
inikan negara kita tempat kami menabur jasa
namun aku sangat kecewa
ada insan mendabik dada
memperlekeh para guru
mempersenda ilmu seadanya
tanpa memahami jiwa dan budi seorang cikgu
kerana aku seorang guru.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Khamis, 22 Oktober 2015

JEREBU DATANG LAGI

Sehingga ke hari ini
Negaraku kelabu
Langit bukan lagi biru
Awan tak seputih dahulu
Berdebu dek jerebu

Puncanya semua tahu
Negara jiranku sudah tidak mampu
Membendung asap dari bencana
Dek tangan-tangan manusia
Mengimpi cara mudah untuk berjaya
Mengumpul harta
Meratah belantara
Mengganti baja

Sekolah diarah bercuti
Murid belajar kendiri
Cikgu termenggu sendiri
Bila kertas ujian hendak diuji
Bila markah hendak diisi
Bila hadiah hendak diberi
Kan cuti penggal tak lama lagi

Ibu bapa mengeluh anaknya cuti
Siapa nak jaga nanti
Kami nak cari rezeki
Anak yang kecil di nuseri
Anak yang besar ikut kami
Ini tak boleh jadi

Aku dengar kata pemimpin bestari
Kita tidak boleh terus menuding jari
Bangkitlah bersama menabur bakti
Menghulur bantu menangani isu ini.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID