Isnin, 27 April 2015

AKU YANG PINCANG

Kulihat semut lebih pantas
Mengerumuni sisa berharga
Berlari-lari sejak aku mengenali mereka

Kulihat rama-rama itu lebih jelita
Dengan kibasan sayap gemalai
Biarpun rapuh namun penuh makna

Kulihat mereka lebih ceria
Berdialog bukan monolog sebagaimana aku
Ada cerita tentang aku yang hanya mereka tahu

Mana mungkin aku mendabik dada
Mengatakan aku sangat istimewa
Kerana mereka lebih mengenali aku

Apa yang aku tahu
Banyak pincangnya yang aku tidak tahu
Kerana aku tidak tahu apa yang aku tidak tahu
Apakah ada ketikanya, aku juga tidak tahu apa yang aku tahu

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 13 April 2015

MELUKUT

Dipandang sepi
tiada sesiapa peduli

Didengari sayup-sayup
sunyi dibawa bayu

Diperkata kadang-kadang
tanpa makna tiada erti

Didendang lagu sendu
melodi sayu menusuk kalbu

Terbiar melukut
tanpa sesiapa sedari
terpaut pada nasib
antara rezeki dan mati

Melukutnya aku di tepi gantang

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Sabtu, 11 April 2015

MENGAIS SIMPATI

Biar terkais-kais mencari simpati
jelasnya bukan itu yang dikehendaki
siapakah aku itu
hidung tak mancung pipi tersorong-sorong

Biar mengais-ngais mencari simpati
namaku itu telah terkalung calar
yang kian parah menjadi luka bernanah

Biar dikais-kais mencari simpati
telah tercatat siapa aku itu
bukan dalam senarai penerima simpati

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 10 April 2015

MENGEJAR PELANGI

Di sanalah pelangi itu bermula
menebar warna kegirangan
mewar-war berita keriangan
menitip cerita dongengan

Di situlah pelangi itu berakhir
membawa harapan dan cita-cita
menghebahkan nostalgia dahulukala

Jangan ditunjuk, nanti jari kau kudung
kejar sahajalah pelangi itu
pari-pari sedang menanti
mengumpul emas berguni-guni

Siapa kata?
datuk nenek mereka kepadaku
tv dan wayang menayang cerita
kartun dan komik turut melakar

Saintis muda berbicara
Oh, kalian mudah percaya
itu hanya biasan cahaya
berkurun sudah kalian terpedaya

Kejar sajalah
nikmatilah keindahannya
hargailah kekuasaan Tuhan Maha Pencipta
dan ketahui bahawa pelangi itu milik bersama

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 7 April 2015

KEMBALI BERSUARA

Tidak selunak mana
tidak seenak dengar
tidak semerdu bicara
tidak senada kata
tidak berirama ceritera

Aku kembali bersuara
setelah bertapa memikul duka
setelah sepi dilanda hiba
setelah kaku mengaku malu

Kini kukembali bersuara
biar apa kata mereka
biar halilintar membelah bumi
biar sangkakala menjenguk buana
biar tsunami memecah benua
aku tetap kembali bersuara

Berdendang kisah duka
berdebat falsafah dunia
berbicara isu semasa
berleter khabar berita
berlagu romantis cinta
berzikir keesahan pencipta

Aku kembali bersuara
sambil menghitung masa
mengumpul keringat yang ada
menebar seluas petala
segala suara
agar terubat
jiwaku yang kembali bersuara

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID