Selasa, 21 Jun 2011

Tahniah Di Graduasi

Letih hari-hari lalu
berbayar kini
menerusi jubah, topi dan kantung ilmu itu

Segala penat lelah
mengalir berlalu
mengumpul keringat baru
bersama skrol ijazahmu

Anak, isteri apatah lagi suami
ibu, bapa turut juga mentua
sedia menanti dengan senyuman berseri beribu erti
memastikan hari mukamu
merangsang anak-anakku, anak-anak didikmu
menggenggam harapan ilmu di dada mencurahkan bakti
sebagai seorang graduan sebuah universiti.

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
(buat isteri dan semua graduan OUM 2011)

MENAGIH SENYUM

Terpinga-pinga aku
diangkatnya alis.

Terkedu aku
dilontar sinis.

Aku tidak sempat berkata-kata
semua tepisan bernada maharaja
segala ulasan dan alasanku remeh
segala teguran dan rugutanku sampah
tutur kataku tiada dalam susur galurnya.

Aku hanya mampu bersenda sendiri
mengatur senyuman manis kelat yang sepi
mendarab taruhanku selama ini
untung ruginya aku di sini
sebagai seorang guru yang menagih senyum bererti.

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 14 Jun 2011

BERSARANYA SEORANG GURU

Semalam aku terdengar berita persaraanmu
di dalam meniti usia, kau menghitung masa
di tengah kegemilangan, kau berhenti berbicara
di atas segala pencapaian kau melangkah sayu
pergi berlalu jiwa seorang guru

Semalam aku menghitung-hitung usiamu
kukira kau banyak menabur jasa
kubaca tinta riwayatmu penuh nostalgia
kutitip keringatmu bukan sekepal cuma
kau mampu mengubah duniamu

Semalam aku mengerti seorang guru kini bersara
mengusung segala suka duka
mengelek segenap kudrat dan tenaga
mengendung seluruh bakti dan setia
memimpin anak-anak didikmu mengejar cita

Hari ini setelah kutelusuri
segalanya pasti bersaranya kau memang dinanti
lagipun aku anak didikmu.


NUKILAN BUAT A. KARIM BIN MANAF (13 JUN 2011) OLEH
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID