Jumaat, 9 Januari 2009

PENGHARAPAN

Kukutip sisa sepah harapan
kubelek dan telek tenungan makrifat
kudiagnosis dan analisis data informasi
kubina dapatan, carta dan graf

Fahamkah aku akan dapatan ini
fahamikah kamu akan info terkini

Aku tidak pasti
keluk menjunam itu penanda aras
puncak meninggi itu keluk jaya

Biar sederap aku berderap
apakah ini satu pengharapan
atau dapatan sebenar menanti telahan

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 7 Januari 2009

KU UPAH DIRIKU

Kupintal temali bayu
kukupas helaian salju
kubelai rerambut rindu
kukirai jemari sayu

Kubawa hamparan janji
kukendung bahtera mimpi
kuselami lautan hati
kurendam uncang misteri

Kutatap wajah alfa
kuredah harapan hampa
kusiram bebunga jingga
kukirim watikah duka

Kuhayati puisi biru
kukunjungi lurah berliku
kusingkap jendela kaku
kutemui seribu buku

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 1 Januari 2009

AKU TAKUT HILANG

Aku takut hilang,
kalangan pemimpinku yang adil
para ulamaku yang berani
golongan wanitaku yang pemalu
sifat si miskin yang penyabar
sikap si kaya yang pemurah
tawadhuknya golongan atasan,

Aku takut hilang,
ilmuan alim ibadah
kelembutan dan kebijaksanaan pejuang
kekhusyukanku dalam solat
amanah yang telah dipertanggungjawab.

Kerana kini kita telah banyak kehilangan,
ilmu, akal dan budi pekerti
cemburu terhadap agama dan wanita
perpaduan, ukhwah, persahabatan dan kasih sayang
qanaah, sabar, tolak ansur dan redha
takutkan Tuhan dan cintakan akhirat
ketamadunan Islam yang kubanggakan.

Lantaran aku hanya mampu berasa takut,
demi anak-anakku bertahun-tahun lagi
pada tahun baru hijrah dan masihi ini.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid