Jumaat, 16 Disember 2011

MERUNGKAI KELIRU

Kekusutan yang berbalam
kecelaruan langsung kian kabur
kekalutan dalam kepekatan gelap
cuba meniti jalur-jalur ceria
sambil menggonggong mimpi-mimpi
walau tanpa bicara bernada sepi
terus menari-nari di pinggir bibir jurang
kerana keliru dengan apa yang berlaku hari ini

Kealfaan bercambah bisu
tumbuh memagari jeriji minda
mencengkam tunjang keinginan
merungkai jutaan keliru

Temali keliru mengikat erat
walau belati merobek takar-takar cerita
namun yang menitis hanya derita dan air mata
bersemadi bersama tanda tanya
apakah terlalu sukar merungkai keliru?

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 21 Oktober 2011

SELIRAT

Kecekalanku bersyarat
kesabaranku berbirat
kesediaanku berselirat
kekalutanku berserat

Aku menyusuri liku-liku hayat
berbekal nafas yang singkat
berdoa yang sarat
cinta yang tersekat

Langkahku berpakat
mengusung nota-nota firasat
mengendung cita-cita taubat
namun aku tak larat
bersuara, mendengar dan melihat
tangan-tangan khianat
jiwa-jiwa berhasad
contengan berwarna jasad
bertopeng watak-watak jahat
sementara menanti kiamat

Sesungguhnya aku tersesat
dari satu sisi bandingan jutaan umat
memikul dosa-dosa dengan tak larat
dipersada munajat

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 14 Oktober 2011

AKU ANAK AYAM HELANG

Dalam bersendirian ini aku mencari kasih
dalam kesedaran ini aku mencari kawan
dalam kekuatan ini aku mencari tuan

Anak ayamkah aku
bertatih di pinggir buku-buku cerita
berlindung dari jerlingan sang helang mengaku tuan
bermata tajam memerhati, mengintai, memantau, meninjau
dengan pandangan lapar yang lahap
mencari-cari siapa mangsa hari ini
apakah aku lauk lunak
yang hanya berlindung di balik-balik cerita
gahnya kokokan bapa
gahnya lindungan ibu

Anak ayamkah aku
dipinggir kawan-kawan sebaya
dalam mencari kasih berkawan dan bertuan

Diakah helang yang lahap melatah
tanpa dengar rintih dan tangis
tanpa senyum yang manis

Apakah aku makanannya kali ini
atau hanya dibiar agak lemakku bertambah
agar lahapnya lebih bermakna
biarpun aku masih anak ayam
yang terpinga-pinga mengapa aku mangsanya

NUKIULAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 16 September 2011

MEMALU CANANG RAYA

Gugur dedaun cempaka kering
bersama gugurnya kembang cempaka yang layu
berhembus bayu menyusuri nesan-nesan cinta
semerbak mewangi menusuk jiwa-jiwa alfa
terlena diulit mimpi bercanda dan bercengkerama
tanpa sedar hari muda kian meniti tua
leka tertipu halwa kasih bernada nafsu

Wang ringgit memang boleh dicari
istana-istana batu megah mengapai langit
tanpa peduli nota-nota kerdil yang menagih simpati
bertanya di manakah sisa-sisa dunia
agar boleh mereka bangunkan semula cerita lama

Pak Kaduk yang tertipu dengan junjung kaduknya
Pak Pandir yang kepandiran seloka Mak Andir
Lebai Malang yang bertimpa kekalutan malang
Si Luncai terjun dengan labu-labunya
Mat Jenin merencana masa muka dalam leka
apakah ini paluan canang raya kita
Merdeka, Merdeka, Merdeka
menang sorak, kampung tergadai

Apa perlu pula kita singkap hikayat lalu
Merung Mahawangsa, Hang Tuah, Malim Deman,
atau sekadar membaca Sejarah Melayu sahaja
gah pada ceritanya
tapi
mengapa Melayu mudah lupa
bahawa musuh tidak sesekali mengaku musuh
apatah lagi lawan sudah pasti tidak mengaku seteru
atau musuh masih bersama dalam selimut
menyelongkar almari keramat tinggalan nenek moyang

Tari joget, inang, zapin dan canggung
diperlekeh anak-anak muda
tanda ceteknya kita membina bangsa
tanda jajahan terus melanda negara
dipandang sepi dan sinis sambil berdansa
memalu canang raya bahawa kita bangsa merdeka

Merdekakah kita kalau masih makin buta
mengaji terangkak-rangkak
berzanji marhaban bukan cita rasa
bahulu dan ketupat entah bagaimana membuatnya
berkain sarung cara orang tua-tua sahaja

Merdekakah kita kalau kita masih lena
wawasan digapai masih kabur berjerebu
walau pemalu canang raya menghebah berita
negaraku pasti berjaya, aman, sentosa, maju, kaya-raya

Ingat,
hidup hanya sementara
maruah perlu dijaga
kemerdekaan ini bukan sekadar cerita
kemerdekaan ini hak kita
kemerdekaan ini perlu dijaga
kemerdekaan ini besar maknanya
jangan diratah dalam latah
memalu canang raya kita merdeka
makluman buat perwira yang gugur bersama jasa

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 12 September 2011

SECEBIS MAKANAN

Bumi mereka kegersangan
gersang secubit makanan
gersang seteguk minuman
gersang setitik manisan

Bumi mereka ketandusan
Tandus keprihatinan
tandus kemanusiaan
tandus kecintaan dan kemaufakatan

Bumi mereka kering kontang
kekontangan keilmuan
kekontangan ketamadunan
kekontangan kesediaan dan kesanggupan

Saban hari jiwa-jiwa kerdil kehilangan nyawa
mati ditembak, mati kelaparan
di bumi bergolak
Somalia

Gantikanlah
butir-butir peluru dengan biji benih
jentera perang dengan pembajak
kem tentera dengan rumah-rumah rakyatmu
askar-askarmu dengan jurutera, doktor dan guru

Agar rakyatmu kembali berseloka
aman di dunia bukan seksaan laksana neraka

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID


Khamis, 25 Ogos 2011

GELANDANGAN

Bersendiri mengerekot berlapik kotak
berselimut perca kain rabak
melabuh malam menanti cerah
menghitung usia senilai sepah
tidak berumah di kota megah

Bergelandangan
mengisi sisa malam ruang lelap
mengusung waktu tua terpinggir
mengumpul nota-nota cerita lalu
diiring lagu nyamuk dan tari tikus
namun manusia hanya memerhati tanpa simpati

Bergelendangan
mereka hidup bergelendangan
terbiar sepi tanpa seri
susah kerana tidak berumah
gerobok tidak berlaci
dapur tidak berapi

Bergelendangan
mengimpi teratak lena
mengimpi tangisan anak dan gurauan isteri
mengisi perut dan mandi pagi
sebelum gelap malam pergi

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Rabu, 24 Ogos 2011

APAKAH ITU PETUNJUK

Getaran ritma tari hati berdetik kini
terngiang bunyi sepi sinis sekali
reflek luar jangka mendahului hari
riak duka raut ceria dicurigai

Apakah itu petunjuk?
kita akan berpesta kelesuan
kita akan bermadah kedukaan
kita akan bertinta lembaran kepalsuan
kita akan bersemuka kepiluan

Apakah itu petunjuk?
doa kami direstui
harapan kami dihajati
urusan kami dirahmati

Apakah itu petunjuk?
kami silap menghitung
kekesalan kian berkunjung

Apakah itu petunjuk?
kami tidak berdendang sendiri
kami akan disimbah sembah tari
dengan mimpi-mimpi yang belum pasti

Ya, Allah
ampunilah dosa-dosa kami

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID