Rabu, 23 Jun 2010

MALAM DI BATU HITAM

Malam di Batu Hitam
malamnya seperti malam-malam yang lalu
malamnya dihiasi kupu-kupu
malamnya ditari kumbang bisu

Malam di Batu Hitam
bertudung dan pasti berbaju
berpimpin disiram warna kelabu
terpelosok sepi menghias nafsu
berbual dengan bisikan bayu

Malam di Batu Hitam
hendak kutegur siapalah aku
hendak dibiar bukannya kayu
hendak disepak bukannya lembu
kerana kutahu kalian insan berilmu
namun dungu ditusuk cinta
walaupun hanya sekadar si kera

Malam di Batu Hitam
jiwa dan raga mendidih menagih mesra
biar bergelomang curahan dosa
biar bermandi noda dan nista
biar diseranah tidak tertanggung maruah
namun kerana namanya cinta

Malam di Batu Hitam
apakah khabar menanti berita
anak dibuang bukan terbuang
apakah manusia kini raksasa
nyawa mainan insan hina

Malam di Batu Hitam
melekatkan bintik-bintik hitam
di malam yang kelam di batu-batu hitam

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Teman

Teman
sudikah kiranya
kau mendengar bicaraku
bicara sepi seorang perindu
bicara hati gamitan kalbu
bicara cerita lalu
bicara senada
bicara-bicaraku

Teman
apakah aku kau kenali lagi
apakah aku hanya cebisan memori
apakah aku begitu sayu di sanubari

Teman
gamitlah aku sebagai kawanmu

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 9 Jun 2010

Kubertemumu

Kubertemumu
di pinggir pekan muda
di lembah Gunung Ledang
tatkala petang menjelang
dan hari semakin senja

Kubertemumu
mengimbau cerita lama
sewaktu kau, aku, dia dan mereka bersama
sewaktu hanya tawa mesra
sewaktu baru meningkat dewasa

Kubertemumu
bertanya khabar berita
siapa yang masih ada
siapa meninggalkan kita selamanya
siapa telah berjaya
siapa sukar dicerita kisah mereka

Kubertemumu
hanya seketika
cuma secangkir kopi garam
pengubat jangan jalanku lena
namun aku bangga
kau, aku dan dia senyum ceria
persinggahanku tidak sia-sia
kerana aku bertemu kamu.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
(Buat Din dan Ana di Tangkak Johor)

Rabu, 26 Mei 2010

TEGUR

Sapa
siapa
aku disapa siapa
aku menyapa siapa
siapa dia menyapa aku
aku dan dia bersapa-siapa

Sapaan itu
sapaan mengimbau
sapaan itu menggamit cerita lalu
sapaan itu mengulit memori pembuka suara
sapaan itu memanggil aku berbicara
sapaan itu membawaku menerobos nostalgia

Aku tersenyum dengan sapaan itu
terima kasih kerana menyapa
terima kasih sesiapa itu
terima kasih siapa
kerana aku
ditegur
sapa

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 19 Mei 2010

Dalam

Kucurah segala keinginan
kukutip segala keikhlasan
kutabur segala kemahuan
kutebar segala kehendak

Namun aku masih sepi
sayu ditelan mimpi
sendu diulik mentari
berbalam di dalam kelam

Tusukan semalam sungguh berbisa
firasat hatiku tidak terlena
di pinggiran danau aku menjelma
mengusung nota-nota nista
menjulang noda-noda masa
mengiringi deruan bayu timur selatan
menjenguk kalimah-kalimah azimat
dan bertanya
aku di dalam apa?

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Aku tidak seperti dahulu

Apakah erti jika usahaku dibazirkan mereka
apakah segalanya tidak bermakna kini
apakah aku tidak seperti dahulu lagi
atau aku bukan aku lagi

Dahulu aku disanjung
dahulu aku dijunjung
dahulu aku dicari

Mungkin itu dahulu
hari ini bukan dahulu lagi
aku sudah tua
tidak bermaya
idea kolot saja yang mungkin mampu kutitipkan
manakan sama dengan realiti dunia fana ini
zaman teknologi dan informasi

Mungkin pada mereka aku cuma penghabis masa
mungkin aku cuma seteru meniti usia
mungkin aku hanya menanti redha
mungkin aku dipinggir tanpa sedar
mungkin kini bukan tika aku pula
mungkin juga aku tidak seperti dahulu.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Kucari

Kucari
dibelekan gerobok lama
terkebil-kebil menatap kitab
terkial-kial mencari makna
terpinga-pinga mengapai realiti
tersedu di bibir rehal
termenggu tanpa sepi

Aku terus mencari
makna kerjaku ini
maksud gerak hatiku ini
erti perilakuku yang entah apa ini

tapi sehingga kini masih kucari

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid