Jumaat, 5 Februari 2010

Membisu

Terpinga-pinga di nada minda

tertanya-tanya di bibir citra

tersipu-sipu di birai ceria

tersedan-sendu di kalam bicara.


Diakah yang menongkat cokma

diakah yang bermadah darma

diakah bercelana perca

diakah yang penimbang neraca.


Disanggah dihunus senjata

dilawan dihamun didera

dilihat dipapar derita

dibiar dipinggir sengketa.


Apakah membisu satu pilihan

atau meratah harapan dan fikiran

lantas berbicara dusta dan nista

menanti kiamat yang belum tiba.


Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Isnin, 18 Januari 2010

Laranya aku

Di kejauhan ini
aku dihambat libur semalam
menitis sutradara cinta
mengikis sari kata nista
menghurai juraian citra.

Di kesepian ini
kutitip cerita lalu
kukutip memori pilu
kukarang bait-bait baru.

Di keheningan ini
terbisik dosa lalu
tergamit sisa-sisa luka
terguris hati ceria.

Aku termenggu menilai erti usia
aku tawa dalam sendu
aku tangis dalam suka.

Ya, Allah
ampunkanlah segala dosa-dosaku
berkatilah segala amalanku
limpahilah aku dengan rahmat dan hidayah-Mu.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Jumaat, 8 Januari 2010

Datang Lagi

Embun menitis ke dinihari
Jalak menyapa menjelang fajar
Unggas menyayap mengintai seri
Aku menguap memula pagi

Datang lagi tahun ini
datang lagi Januari
datang lagi

Aku kini menjinjing kembali buku-buku
kerana aku seorang guru

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Isnin, 21 Disember 2009

DI MANA ANAK KITA

Anak-anak kita
anak kita
kita.

Di mana anak kita?
di muka senja
di tirai subuh

Di mana anak kita?
tatkala berkumandang azan
masih berpesta di padang?
masih berleka menjamu mata?
masih terpinga apa nak dibaca?

Di mana anak kita ketika ini?
mungkin mengemis senyum bapa
mungkin merintih sayu ibu
mungkin merindui tawa semua.

Di manakah kita bersama anak kita ketika ini?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 12 November 2009

JADI APA DIHARAP

Berarak mendung hujan tak jadi
berhembus bayu bukan bererti ribut
Jadi apa diharap

Yang dikejar tak dapat, dikendung berciciran
anak di rumah mati tak makan
dek kera di hutan disusukan
jadi apa diharap

Berbuih dibicara disangka sengketa
letih mencari dipandang gila
jenuh berlari ditegur kenapa
pulun mengaji disangka hujung nyawa

Kita bersusah
orang lain merasa
kita dikerah
orang lain bermaharaja lela
kita menyampah
orang lain senyum sahaja

Apa diharap padi seberang
entahkan jadi entahkan tidak

Nukilan : Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 4 November 2009

RAPUH

Menyinari suria saban hari
menitis gerimis di kala sore
berpuput bayu menyeringai senja
berlabuh malam berselang gempita

Tidur tidak berapa lena
menanti subuh menyelak cahaya
embun jantan hilang bisa
berbalam kokokan jalak suram
senyuman kuntum-kuntum layu
seri wangi hambar tanpa berbau

Rapuh kini hari-hari berlalu
rapuh begitu meratah hari ini
rapuh melepuh hari mendatang
sisa-sisa nyawa membilang usia
susuk tulang kering memapah derita
gelak tanpa tawa beriring tangis tanpa sendu

Rapuh meratah jiwa
rapuh melatah sandiwara buana
rapuh melahap memori
rapuh tersungkur di dada mimpi

Sejadah itu turut rapuh
bersandar iman dan amal rapuh
menadah rahmat berbekal doa yang rapuh

Apakah dosa-dosa kian merapuh
berganti pahala di tempat bersimpuh
jika bekalan sehingga kini semuanya rapuh.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Selasa, 27 Oktober 2009

Dibuang

Malam kelam
embun mengiringi sejuk pagi
nyamuk bernyanyi menari
mentari belum terbit lagi
tapi kau telah dibuang

Sendiri menunggu pagi
sendiri berselimut sepi
sendiri menghitung diri
sendiri tidak dipeduli
sendiri menanti apa akan jadi

Mana ibumu
kucing pun mengiau menangisi anaknya
mana ayahmu
.... mungkin kau tidak berbapa
.... mungkin kau dari anak derhaka
.... mungkin kau tidak diterima mereka
.... mungkin kau entah siapa-siapa

Tapi ...
kau anak manusia
kenapa ibu bapamu durjana
pandai melahir tak mahu membela
habis madu sepah dibuang
kau bukan sampah
kau bernyawa

Tak berhati perut
mengandungmu mahu
mengaku kamu anaknya malu
hukum Tuhan apa bicara
dosa atau pahala
syurga atau neraka

Maka
mungkin itu kau dibuang
atau
aku tersalah tafsir.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid
(Terkenang nasib bayi yang dibuang)