Sabtu, 14 Mac 2009

HARI PERTAMA SK BANDAR PUSAT 09

MURID, IBU, BAPA, PENJAGA
PADA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 09
SEBAHAGIAN DARIPADA 694 MURID SK BANDAR PUSAT
DI PERHIMPUNAN PERTAMA PERSEKOLAHAN 09

GURU BESAR,
TN. HJ. HAMZAH B. MAT ALI,
DI PERHIMPUNAN PERTAMA 09

KOLEKSI
GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA
SK BANDAR PUSAT 09

Isnin, 2 Mac 2009

KUJEJAKIMU

Pinggiran danau memahat minda
juraian rerumput menyeringai pagi
ufuk timur mega membiru
dedaun tetingkap menyelak senyum

Kujejakimu
waktu-waktu berlalu
detik-detik berliku
saat-saat berderu

Kujejakimu
waktu riuh yang sipu
waktu mesra bersenda
waktu bertafakur seketika
waktu berpesta minda-minda ceria

Kujejakimu
detik-detik celaru
detik hitam menjadi kelabu
detik cerah bertukar putih membiru
detik indah bermandi sendu
detik-detik mimpi berwarna salju

Kujejakimu
saat-saat itu kembali
saat intim menggamit memori
saat-saat dulu menjadi kini

Namun apakah jejakku ini
akan terhenti
atau aku melangkah terus mencari
mengikuti jejakmu lagi
menjadi jejakku kini

Nukilan

MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 17 Februari 2009

AKU KEMBALI SIBUK

Aku kembali sibuk
mengurus dunia harianku
mengatur jadual diriku
membawa jasad dan mindaku

Aku kembali sibuk
memikir harapan anak didikku
menjana idea kecemerlangan mereka
menyusun data menjadi nota-nota ilmu

Aku kembali sibuk
membina tugas harianku
mengelek beban cita-cita ini
mencari gemilang dalam cemerlang

Aku kembali sibuk
mengagih hari-hariku
membulat hati dan perasaanku
membuahkan anak-anak terbilang

Aku kembali sibuk
menjadi aku dalam duniaku
membelai kekasih hatiku dalam mimpiku
memangnya aku tak pernah sepi daripada sibuk

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Jumaat, 9 Januari 2009

PENGHARAPAN

Kukutip sisa sepah harapan
kubelek dan telek tenungan makrifat
kudiagnosis dan analisis data informasi
kubina dapatan, carta dan graf

Fahamkah aku akan dapatan ini
fahamikah kamu akan info terkini

Aku tidak pasti
keluk menjunam itu penanda aras
puncak meninggi itu keluk jaya

Biar sederap aku berderap
apakah ini satu pengharapan
atau dapatan sebenar menanti telahan

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 7 Januari 2009

KU UPAH DIRIKU

Kupintal temali bayu
kukupas helaian salju
kubelai rerambut rindu
kukirai jemari sayu

Kubawa hamparan janji
kukendung bahtera mimpi
kuselami lautan hati
kurendam uncang misteri

Kutatap wajah alfa
kuredah harapan hampa
kusiram bebunga jingga
kukirim watikah duka

Kuhayati puisi biru
kukunjungi lurah berliku
kusingkap jendela kaku
kutemui seribu buku

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 1 Januari 2009

AKU TAKUT HILANG

Aku takut hilang,
kalangan pemimpinku yang adil
para ulamaku yang berani
golongan wanitaku yang pemalu
sifat si miskin yang penyabar
sikap si kaya yang pemurah
tawadhuknya golongan atasan,

Aku takut hilang,
ilmuan alim ibadah
kelembutan dan kebijaksanaan pejuang
kekhusyukanku dalam solat
amanah yang telah dipertanggungjawab.

Kerana kini kita telah banyak kehilangan,
ilmu, akal dan budi pekerti
cemburu terhadap agama dan wanita
perpaduan, ukhwah, persahabatan dan kasih sayang
qanaah, sabar, tolak ansur dan redha
takutkan Tuhan dan cintakan akhirat
ketamadunan Islam yang kubanggakan.

Lantaran aku hanya mampu berasa takut,
demi anak-anakku bertahun-tahun lagi
pada tahun baru hijrah dan masihi ini.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 18 Disember 2008

Semalam

Semalam
aku pulang dari perantauan
meneguk sejuk udara kampung
melahap rindu dakapan ibu

Semalam
aku tinggalkan sejarah suka di rantauan
aku titip bersama setitis harapan
menatap wajah ibu
ubat segala cinta

Semalam
aku berlinang air mata
mengharap penuh pasti
ibuku tetap menanti

Semalam
aku anakmu
pulang untuk berbakti
memulih kembali keringat jasamu
membimbing aku hingga kini

Hari ini
aku akui
ibuku dewi penyeri
ibuku serikandi pertiwi
ibuku harta abadi
ibuku insan kukasihi.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid