Rabu, 27 Jun 2012

KITAKAN CIKGU

Kitakan cikgu
awal pagi menjenguk diri
menghambat susah payah di rumah
mengheret lambaian murid
melempar senyuman berseri
menghulur kantung-kantung ilmu
sambil mengalun bicara merdu    
bertintakan dakwat merah dan biru

Kitakan cikgu
saban waktu melangkah pintu-pintu
salam dan selamat pagi, cikgu
menabur cita-cita dan impian bisu
menebar jaringan ilmu tanpa jemu
memerhati dan menguji jiwa-jiwa jitu
memapah semangat membukti maju

Kitakan cikgu
diasak berbagai laku
dari sebagai abang, kakak, ayah, ibu juga nenda
dari selaku petani, tukang kebun, tukang masak dan tentera
dari bak kerani, peguam, jururawat mungkin jurutera
dari umpama bendahari, penglibur lara termasuklah raja
dari seperti amah, tukang kayu, mekanik serta jurukira
dari berbagai wajah, jawatan, tugas dan kerja
dari sebarang masa tak kira cuti atau bencana bahaya

Kitakan cikgu
berjanji mendidik anak bangsa
berjanji membangun negara
berjanji setia kepada raja
berjanji berpandu rukun negara
berjanji tidak mempersiakan setia
berjanji menunaikan janji

Kitakan cikgu
biar siapa kita
entah di mana kita
walau bagaimana kita
yang jerih titisan keringat kita
yang gagal menghambat mimpi kita
yang kecundang cerita hampa kita
yang cemerlang memang milik mereka

Kitakan cikgu
berterima kasih kalau diundang
tersenyum simpul kalau dikenang
oleh mereka anak-anak murid kita
walau mereka kini menteri
walau mereka berpangkat tinggi
walau mereka tidak mengenali kita lagi
tapi kita masih seorang cikgu

Kitakan cikgu
meniti-niti hari sambil mengira usia
mengajar dan berbakti
mencuba berbagai pedagogi
memahami emosi dan psikologi
mengejar teknologi terkini
mengutip wawasan mengendung transformasi

Kitakan cikgu
tidak mengharap balasan
tidak mendambar simpati
tidak menanti kenangan
tidak menagih janji
panggillah kita 'CIKGU'
itu lebih bererti

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 25 Jun 2012

KEMBALI KETUK

Titipan aksara kususun kini
agak terlewat kebiasaanku mengatur kata
mengingat akan terlekanya aku
menyepi daripada segenap bucu-bucu bicara
dalam kolong blogku ini

Aku terlena seketika
mengintai tipu muslihat pasrahnya hati
mengukir kepiluan di balik-balik senyum

Aku merajuk memujuk diri
telah kepenatan menyusun keringat mengatur budi
melabur jasa tanpa dipeduli
penat dan lelah melemaskan naluri

Itulah
aku membiar seketika apakan jadi
adakah aku memang tidak dikehendaki
atau sebagai bayang-bayang yang dipijak mati

Tapi aku tetap aku
sampai ketikanya aku kembali
mengatur bicara-bicara baru
mengikat seribu janji dan bukti
lemahnya diri terpedaya
aku kembali mengetuk papan kekunci

NUKILAN : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 27 Februari 2012

MATINYA SUNGAI ITU

Kejernihan cerita dulu telah bertukar keruh
Kenyamanan angin itu menghangat sinis
kesegaran arus berlalu kian resah

Ikan-ikan tidak lagi bermain
anak-anak udang tidak lagi bersaing
pepatung dan semut merah jarang sekali bertemu
batu-batu kecil hanya kaku membeku
anak-anak sendayan hidup segan mati tak mahu

Ke mana nyawa sungai ini pergi
meninggalkan segalanya tidak bermaya
memaparkan segenap lengkaran sungai akan derita
membawa muak, darah, nanah dan bau-bau busuk
menghanyutkan racun-racun berbisa tersisa
menjengkel sesiapa sahaja singgah membungkus lena
membunuh erti cantik, indah dan ceria

Sudah mati sungai ini
tersandung dan tersungkur di tanah sendiri
tersipu dek slogan 'Cintai Sungai Kita'
sambil mengusung jenazah berlabel
sebagai sungai tercemar negara

Apakah ubat hidup ada bagi si mati ini
adakah sejarah lampau mampu bergemerlap lagi
atau terus terkubur bersendikan risau dan rimas
atau akan hilang di muka-muka peta

Nukilan MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID


Selasa, 21 Februari 2012

PERGILAH KAWAN

Lemparan senyum penuh warna manis
teguran sapa yang selunak puitis
menggamit cerianya pengatur langkah
menghulur secangkir teh tanda mesra
tatkala menanti perginya seorang rakan

Dari raut rupa terbayang cerita-cerita lalu
akan tinggallah memori dalam saku-saku
akan berpindahlah cerita baru dari laci buku
membuka diari dengan menyusun tinta lucu, sinis dan berliku
menginggalkan kawan-kawan dan aku
kepingaan, kealfaan, terkial-kial menyusun silu sipu

Pergi sajalah kawan
atur langkah bukan hanya berbicara
pikullah beban yang baru-baru itu
amanah yang tidak terusung bersama
kerana kini kita sangat berbeza
kekananan posisi kau melangit
kami orang biasa yang hanya pandai bercita-cita

Pergilah kawan
namun jangan lupa coretan-coretan kita
menggunung harapan mendukung wadah
bahawa hidup ini tidak senang dan bukannya mudah
bahawa hidup ini tidak selalunya indah
bahawa perjuangan bukan sekadar penyudah
mungkin bukan percuma apatah bukannya sia-sia
kerana biasanya pengiktirafan seiring harapan
tapi kami hanya mampu berkata-kata
bersendirian dengan nota terseksa
berjejari kaku mengaduh gerimis menjelang senja
sambil menyelak tabir kelam berbalam malam
berselimut perilaku hari-hari berlalu
menunggu cerahnya esok
menanti cerita-cerita biasa kami di sini
siapa pula bakal menjadi mangsa hari ini?

Maka pergilah kawan
biar kami mengendong segala sumpah
biar kami mengusung segala penyudah

Buat Seorang GPK dari SKBP ke SKJ1
Nukilan Muhammad Zahidil Zahid



Khamis, 9 Februari 2012

MENGAKU KALAH

Berhempas pulas mengembleng keringat
memerah otak yang makin benak
memecah tembok-tembok sindiran
memungut cita-cita gemilang
sambil mengintai kejayaan teman
aku akui cemburi gahnya rakan
lalu mengumpul langkah bestari
berbekal azam cuba berlari
mencurah was-was mengejar cerianya seri

Aku akur dan mengakui
aku bukan aku yang dulu lagi
aku telah terseliuh di arena ini
aku tidak terubat oleh janji-janji pasti

Aku mengakui aku yang kalah
walau bukannya aku yang parah
tapi aku kecundang sudah
tanpa hebat dan tiada helah
memikul pengandar yang kian patah
membuat aku meredah lemah dan rebah

Mungkin aku hanya berpegang janji-janji mudah
tidak segagah dulu membawa wanginya wadah
menjaja misi dan visi mengelek pelbagai wajah
bahawa sebenarnya aku yang bersalah
kerana aku sememangnya telah kalah

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Jumaat, 3 Februari 2012

BERSAMA ORANG MUDA

Kekekokan aku di kalangan mereka mula nyata
kegelinciran menilai usia meresahkan
ketelusan menambat jiwa berderai lalu
kerana aku telah jauh menerawang
sedang keliru membelek sejarah

Aku bukan tidak cuba mengejar pelangi
tepi biasannya hanya saksi-saksi lama
berbicara tentang masa-masa kini
ruang lingkup anak-anak muda
yang memang melolos diri dari duniaku sendiri

Aku akui aku tidak mampu berlari lagi
walau mereka hanya berjalan kaki
atau bertatih di persada suria
yang terang benderang dan ceria
kerana warna yang menempelku suram dan berbalam

Aku sering mengalah bersandar firasat dan taubat
bahawa aku hanya orang tua
yang ingin bersama orang muda
walau cerita kita tidak pernah serupa
apatah lagi seiras ataupun sama

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

KALAU BUKAN KERANA HUJAN

Ke mana aku hendak pergi
air melimpahi tebing
air mencurahi benteng
air membasahi keting
air mula menembusi dinding

Pangkin dah lama tenggelam
para di dapur menanti terbenam
perahu tidak ada yang kumiliki
apakah batang-batang pisang mampu dibuat rakit
atau aku karam bersama teratak usang
hanyut diheret musibah ini

Ayah tidak akan meninggalkanku sendirian begini
yang pasti aku didukung, dijulang tunggi-tinggi
biar diri tenggelam mendukung aku dek derasnya arus
tapi aku dilindungi, dijagai, disayangi, dikasihi
begitulah tatkala bah besar melanda negara

Kalau bukan kerana hujan
apakah aku meniti hari-hari kini
mampukah menanam memori-memori lalu
buat anak cucu
kerana aku kini tinggal di rumah sendiri
rumah batu berjeriji besi
di kaki bukit bukan dipinggir kali

Cuma kalau bukan kerana hujan
apakah bahana lain akan kembali
mengheret aku ke lurang sepi
memikul amanah sebelum mati

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID