Khamis, 9 Disember 2010

MENYIMPUL SENYUM

Aku yang tersipu di birai tabir
aku yang tertipu di muka pintu
aku yang terkedu menyapa waktu

Dalam kesyahduan aku melangkah
dalam kepiluan aku menadah
dalam keharuan aku bermadah

Kepahitan lalu telah melekat dikalbu
kehitaman itu membayangi mindaku
kepekatan kelabu menghantui jiwaku
kegagalan lalu menoda mimpiku

Apakah aku sedia mengusung malu
adakah aku sudi memimpin rindu
wajarkah aku membelai sayu
bila pula aku akan menyimpul senyum

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Jumaat, 3 Disember 2010

MENGGAMIT AZAM

Keperhatinan itu menggamit azamku
kepayahan terdahulu menggamit aku
kesukaran kini menggamit azamku lagi
kepatuhan lalu memang menggamit aku
Kesyukuran ini menggamit azamku

Azamku kini menggamit usiaku
azamku kini menggamit keringatku
azamku kini menggamit masa terluangku
azamku kini manggamit azam-azamku berlalu

Muharam datang dahulu Disember ini
keazaman menggamit memori lalu
keazaman lalu menggamit azam baru
keazaman kini mengumpul salasilah keazaman itu
bersama Januari yang setia menunggu

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Isnin, 15 November 2010

PESTA SUDU

Tang, ting, tung, teng, ...
sudu berpesta
tang, ting, tung, teng, ...
sudu bersenda
tang, ting, tung, teng, ...
sudu bernada.

Kuah menjeleng,
kuah meleceh,
kuah menegur
"Kenapa lebih sudu dari kuah?"
kuah menyindir
"Kalau dah sudu, sudu sajalah."
kuah memerli
"Tak sedar diri, dia tu sudu."

Tang, ting, tung, teng,
sudu terus berpesta
sudu tak hairan sangat dengan kuah
sudu tak kesah pun dengan herdikan kuah
tak ada kuah, sudu tetap sudu.

Kalau tak ada sudu,
kuah berlambak, berlambak-lambak
mungkin, ... basi
bukan macam sudu yang pasti
tetap sudu.

Kuah bukan raja, bukan lagi kalau maharaja
kuah adalah kuah
mungkin kuah kari, pedas
mungkin kuah kicap, hitam, agak masin
mungkin kuah air, tawar
mungkin kuah sup, panas cair, sejuk beku
mungkin kuah apa saja, apa sajalah.

Namun,
kuah kena kompromi
kuah kena toleransi
kuah kena harmoni
kuah kena simpati
kuah kena ada budi
kuah mesti ada hati
kuah pasti dihargai.

Sebelum kuah berlabuh ke longkang
sebelum kuah terus dibuang
sebelum kuah tak dihirup orang
sebelum kuah muak dipandang
Sebelum periuk, mangkuk, pinggan melayang
kuah kena sedar diri
kuah mesti kadar kediri
kuah perlu terbuka hati
mendengar rintihan sudu
yang kemuk,
yang patah,
yang sumbing,
yang sompek,
yang bengkok,
yang penyek.

Tang, ting, tung, teng,
sudu akan terus berpesta
sudu akan terus bermadah
selagi belum habis makan
selagi belum selesai temasya.

Yang pasti setelah dibasuh,
sudu tersenyum, bersih, berseri
menunggu bila akan berbicara lagi
menanti isu semasa tentang kuah bestari
apakah kuah masih tak sedar diri?
atau telah mula menyendiri?
atau kuah memang iri hati?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid
(buat kuah budiman) 15 November 2010

Jumaat, 5 November 2010

DIAM

Dalam desiran dingin bayu
igauan diulik memori dulu
angan mengimbau cerita lalu
mengikis bicara sepi sang perindu

Dakapan mimpi diiring melodi
impian celaru memimpin diri
antah hampa santapan hati
menghiris luka dambaran sepi

Degupan jantung menjamah minda
insaf akan dosa-dosa kelmarin
ampun dipohon sentiasa
maaf dipinta selalu

Dalam diam
menadah tangan
menghitung apakah salah aku?

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Jumaat, 8 Oktober 2010

MENCARI KASIH DI HUJUNG SYAWAL

Syawal mula langkah berlalu
menapak pantas dan terus pergi
meninggal serdak-serdak raya
mencubit kulapuk-kulapuk di balik upih penganan
manalah tahu masih ada cinta Syawal membelai masa
menempel diri mencuri hari
walau di hujung Syawal ini
namun masihku cari kekasih hati
Ramadhan yang telah lama pergi.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Sabtu, 2 Oktober 2010

AISYAH

Nur 'Aisyah Zahraa
anak kecil dan selalu menangis
anak kecil di kelas pendidikan khas
anak kecil selalu cemas
anak kecil warisku

Lahirmu hypotonea
hanya "abah" dan "abah" kata-kata mu
kau tidak boleh berbicara sehingga kini
walau usiamu menjangkau sedekad
namun tiada nada bermakna kau tuturkan untukku

Nur 'Aisyah Zahraa
secerah namamu Nur
sesuci namamu 'Aisyah
seharum namamu Zahraa
apakah kau akan sezuhud namaku Zahid
Nur 'Aisyah Zahraa Zahid

Nukulan Muhammad Zahidil Zahid




EMPAT PULUH EMPAT

30 September 2010
empat puluh empat tahun sudah usiaku
hitungan usia yang mengingat akan tuanya aku
bilangan masa yang tak terkira sejak aku mengenali dunia
kiraan detik berlalu akan mencukupkan umurku di alam fana
kerana hidup dan matiku siapa yang tahu

30 September 2010
diiring senyuman dan gurau senda
diucap panjang umur, murah rezeki dan selamat sejahtera
dibicarakan akan usiaku yang masih bertenaga
diperkatakan jasa-jasa dan kenangan muda
aku berterima kasih atas usiaku ini

30 September 2010
Alhamdulillah
InsyaAllah
aku tetap aku
aku masih seperti dulu
cuma wajahku sahaja mungkin berubah
uban telah mula menjurai di kepala
rabunku pula menambah kuasa kanta
gigi banyak yang tidak boleh diguna
kerana kusedar aku bukan kembali muda
kerana kuyakini aku semakin tua
pada usia empat puluh empat

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid