Sabtu, 2 Oktober 2010

AISYAH

Nur 'Aisyah Zahraa
anak kecil dan selalu menangis
anak kecil di kelas pendidikan khas
anak kecil selalu cemas
anak kecil warisku

Lahirmu hypotonea
hanya "abah" dan "abah" kata-kata mu
kau tidak boleh berbicara sehingga kini
walau usiamu menjangkau sedekad
namun tiada nada bermakna kau tuturkan untukku

Nur 'Aisyah Zahraa
secerah namamu Nur
sesuci namamu 'Aisyah
seharum namamu Zahraa
apakah kau akan sezuhud namaku Zahid
Nur 'Aisyah Zahraa Zahid

Nukulan Muhammad Zahidil Zahid




EMPAT PULUH EMPAT

30 September 2010
empat puluh empat tahun sudah usiaku
hitungan usia yang mengingat akan tuanya aku
bilangan masa yang tak terkira sejak aku mengenali dunia
kiraan detik berlalu akan mencukupkan umurku di alam fana
kerana hidup dan matiku siapa yang tahu

30 September 2010
diiring senyuman dan gurau senda
diucap panjang umur, murah rezeki dan selamat sejahtera
dibicarakan akan usiaku yang masih bertenaga
diperkatakan jasa-jasa dan kenangan muda
aku berterima kasih atas usiaku ini

30 September 2010
Alhamdulillah
InsyaAllah
aku tetap aku
aku masih seperti dulu
cuma wajahku sahaja mungkin berubah
uban telah mula menjurai di kepala
rabunku pula menambah kuasa kanta
gigi banyak yang tidak boleh diguna
kerana kusedar aku bukan kembali muda
kerana kuyakini aku semakin tua
pada usia empat puluh empat

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid


Sabtu, 4 September 2010

SEPTEMBER

Seri sinar September menyelak tabir hidup
mendetik masa lahir menapak dewasa
mengetuk pintu hati membilang usia
mengingatkan akan uban di kepala
aku sudah tua.

Ramadhan kian menghujung
Syawal menanti di muka masa
September baru berlabuh
senyum bertasbih menatap wajah
aku semakin tua.

Anak-anak sudah dara dan teruna
dada ilmu menampi taburan jasa
menadah redha seorang bapa
menatang telahan remajanya mereka
sedarlah aku berusia tua.

September ini menguji
September ini menggamit
September ini mengimbau
September ini mengharap
Mimpi seorang tua.

Nukilan:
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 11 Ogos 2010

IMPIANA


Di jendela Impiana
aku memfokus imej fajar
aku menyaksi kebesaran Ilahi
aku mengintai tabir pagi

Bayu berpuput lembut
tapi cuma aku di jendela itu
apakah subuh tidak terjaga
apakah malam masih ada
biar benar
kerana mentari menyeringai
kerana unggas riuh mencari rezeki
kerana nelayan telah bangun lebih awal lagi

Impiana
kau ketuklah pintu-pintu hati mereka

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid


MERDEKA

Julangan tangan keramat dengan laungan "MERDEKA"

Menggenggam erat kemerdekaan di bumi bertuah ini
Erti kesejahteraan dari kongkongan penjajahan
Redha akan pencapaian tapi terus gigih berjuang
Dendam kesumat ditelan pembangunan, keamanan dan kekayaan
Erat perpaduan segenap lapisan rakyat bersepakat maju
Kemerdekaan ini amat bernilai biar nyawa taruhannya
Akal dan minda ditajam tanda Malaysia bijaksana

MERDEKA!

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

GAZA

Gaza
engkau disirami kasturi
titisan darah dan nanah
anak peribumi dan insan simpati

Gaza
engkau ditaburi kemboja
berbekal nyawa dan keringat yang ada
biar peluru dan bedil merobek dada

Gaza
engkau direnjis mawar
berperisai iman dan takwa
melempar ketulan batu menuntut bela

Gaza
aku tahu bayumu debu-debu kering
bergaul tulang dan daging garing
membuak hanyir darah dan nanah perwira
mengumpul masa dan menanti ketika
melonjak semangat watan
mengembling putera puterimu bersatu
di bawah panji-panji Gaza.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 1 Julai 2010

GARAP

Mekar kuntuman senyuman pagi
menyeringai lembut sinar mentari
berpuput bayu menyergah seri
mengalun dendang irama mimpi
gah sungguh putera puteri
gerak tangkas menyusun tari
tempo dipatuh susuran melodi
seni kata diakur untuk menyanyi

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid