Rabu, 23 Jun 2010

Teman

Teman
sudikah kiranya
kau mendengar bicaraku
bicara sepi seorang perindu
bicara hati gamitan kalbu
bicara cerita lalu
bicara senada
bicara-bicaraku

Teman
apakah aku kau kenali lagi
apakah aku hanya cebisan memori
apakah aku begitu sayu di sanubari

Teman
gamitlah aku sebagai kawanmu

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 9 Jun 2010

Kubertemumu

Kubertemumu
di pinggir pekan muda
di lembah Gunung Ledang
tatkala petang menjelang
dan hari semakin senja

Kubertemumu
mengimbau cerita lama
sewaktu kau, aku, dia dan mereka bersama
sewaktu hanya tawa mesra
sewaktu baru meningkat dewasa

Kubertemumu
bertanya khabar berita
siapa yang masih ada
siapa meninggalkan kita selamanya
siapa telah berjaya
siapa sukar dicerita kisah mereka

Kubertemumu
hanya seketika
cuma secangkir kopi garam
pengubat jangan jalanku lena
namun aku bangga
kau, aku dan dia senyum ceria
persinggahanku tidak sia-sia
kerana aku bertemu kamu.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid
(Buat Din dan Ana di Tangkak Johor)

Rabu, 26 Mei 2010

TEGUR

Sapa
siapa
aku disapa siapa
aku menyapa siapa
siapa dia menyapa aku
aku dan dia bersapa-siapa

Sapaan itu
sapaan mengimbau
sapaan itu menggamit cerita lalu
sapaan itu mengulit memori pembuka suara
sapaan itu memanggil aku berbicara
sapaan itu membawaku menerobos nostalgia

Aku tersenyum dengan sapaan itu
terima kasih kerana menyapa
terima kasih sesiapa itu
terima kasih siapa
kerana aku
ditegur
sapa

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 19 Mei 2010

Dalam

Kucurah segala keinginan
kukutip segala keikhlasan
kutabur segala kemahuan
kutebar segala kehendak

Namun aku masih sepi
sayu ditelan mimpi
sendu diulik mentari
berbalam di dalam kelam

Tusukan semalam sungguh berbisa
firasat hatiku tidak terlena
di pinggiran danau aku menjelma
mengusung nota-nota nista
menjulang noda-noda masa
mengiringi deruan bayu timur selatan
menjenguk kalimah-kalimah azimat
dan bertanya
aku di dalam apa?

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Aku tidak seperti dahulu

Apakah erti jika usahaku dibazirkan mereka
apakah segalanya tidak bermakna kini
apakah aku tidak seperti dahulu lagi
atau aku bukan aku lagi

Dahulu aku disanjung
dahulu aku dijunjung
dahulu aku dicari

Mungkin itu dahulu
hari ini bukan dahulu lagi
aku sudah tua
tidak bermaya
idea kolot saja yang mungkin mampu kutitipkan
manakan sama dengan realiti dunia fana ini
zaman teknologi dan informasi

Mungkin pada mereka aku cuma penghabis masa
mungkin aku cuma seteru meniti usia
mungkin aku hanya menanti redha
mungkin aku dipinggir tanpa sedar
mungkin kini bukan tika aku pula
mungkin juga aku tidak seperti dahulu.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Kucari

Kucari
dibelekan gerobok lama
terkebil-kebil menatap kitab
terkial-kial mencari makna
terpinga-pinga mengapai realiti
tersedu di bibir rehal
termenggu tanpa sepi

Aku terus mencari
makna kerjaku ini
maksud gerak hatiku ini
erti perilakuku yang entah apa ini

tapi sehingga kini masih kucari

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Kawanku

Kawanku
Kawan-kawanku
kau guru di sekolah itu
kau berbakti tanpa jemu
kau rela dirimu dibelengu

Kawanku
guru-guru itu
mengatur hari-hari mendatang
menyusun masa akan datang
memimpin generasi bakal matang

Kawanku
bergurukah kita lagi
meningkatkan mutu ilmu
menjamin anak didik terpapar pendidikannya
menitik keringat bangga mendidik bangsa

Kawanku
yang masih bergelar guru
selamat hari guru
biar siapa kita
biar di mana
biarkan
kita hamba
kepada Maha Esa
kita pemimpin kepada semua
kita pelahir nusa gah di persada dunia
walaupun kita hanya seorang guru biasa

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid