Isnin, 13 Julai 2009

Bakawali


Mekarmu hanya di pagi hari
tatkala bersinar sang mentari
jiwamu lemah tiada maya berseri
andai mekarmu baru sehari
esok dan lusa, kau mekar lagi
namun selepas itu kau menunduk mengerti
hidup ini sukar
hidup ini perlukan pengorbanan

Baktimu bukan sekadar penyeri
indahmu suci bermisteri
kerana kau bakawali

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Celaru

Riak sepi membuak gema
melantun tema berbunga sayu
santapan pilu beralun rindu
menyapa seri di bibir mimpi
menelan layu di kaki langit
bertatah cinta berulam lagu

Aku celaru
berbirat diri berbanir sendu
membelek duka berbaki iri
senda beralun tangis
tawa berteman duka
aku kini celaru

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Selasa, 23 Jun 2009

Kisah Benar Seorang Tan Sri

Dalam sebuah majlis, seorang usahawan berbangsa Cina yang juga bergelar Tan Sri sedang ditemu ramah oleh seorang wartawan. Duduk berdekatannya, 2 orang jurutera anak-beranak berketurunan India yang bekerja dengan syarikat Tan Sri tersebut. Berikut adalah perbualan mereka:

Tan Sri :
Kerajaan perlu bertindak adil dalam pengagihan kek ekonomi negara. Tidak boleh ada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Kontrak antara orang Melayu dan bukan Melayu mesti diberi sama rata demi keadilan. Lagipun bangsa kami banyak menyumbang kepada kemajuan negara walaupun kami digelar sebagai kaum pendatang. Setelah bersusah payah semenjak sebelum merdeka, maka wajarkah kami dinafikan hak sebagai warganegara? Orang Melayu perlu lebih berkompromi dengan kaum lain untuk maju. Liberalisasi perlu dilaksanakan dengan meluas dalam semua sektor demi mencapai kesamarataan antara kaum.

Wartawan:
Tan Sri, boleh saya tahu sudah berapa lama 2 orang jurutera ini bekerja dengan Tan Sri?

Tan Sri:
Oh, sudah lama! Praba ni dah bekerja dengan saya hampir 30 tahun sejak syarikat ini ditubuhkan lagi. Malah anaknya pun sekarang bekerja dengan saya lebih 10 tahun. Mereka ini adalah pekerja saya yang paling dedikasi dan banyak menyumbang kepada kemajuan syarikat.

Wartawan:
Kalau begitu, apa kata Tan Sri berikan sebahagian saham syarikat ini kepada mereka berdua. Lagipun mereka sudah lama bekerja dengan Tan Sri, malah banyak menyumbang kepada syarikat sepertimana kata Tan Sri tadi.

Tan Sri:
Eh, mana boleh! Ini syarikat saya. Lagipun saya dah bayar gaji yang mahal kepada mereka berdua dan saya tak pernah halang pun jika mereka nak kumpul harta. Mana boleh senang-senang saya nak bagi saham syarikat saya kepada mereka.

Wartawan:
Macam tu jugalah perasaan Melayu. Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Milik raja-raja Melayu. Lepas tu orang bukan Melayu macam Tan Sri nak minta hak sama rata dengan alasan kerana telah banyak menyumbang. Tan Sri rasa wajar atau tidak permintaan itu?

Tan Sri:
...........

Kisah ini merupakan sedutan daripada kisah benar....
Syabas kepada wartawan tersebut.

Sumbangan: zulkeplee_hamid@yahoo.com

P/S : Belajarlah... Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 20 Mei 2009

Suatu Ketika Dulu

Kenangan terindah, seorang Guru Besar di SK Jengka Pusat 2
Beliau kini bertugas di SK LKTP Ulu Jempol.
Bangunan sementara SK LKTP Jengka 1, mulai 05.08.1970
Pada awal tahun 1972, murid dipindahkan ke lokasi sekolah sekarang

Sabtu, 14 Mac 2009

HARI PERTAMA SK BANDAR PUSAT 09

MURID, IBU, BAPA, PENJAGA
PADA HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 09
SEBAHAGIAN DARIPADA 694 MURID SK BANDAR PUSAT
DI PERHIMPUNAN PERTAMA PERSEKOLAHAN 09

GURU BESAR,
TN. HJ. HAMZAH B. MAT ALI,
DI PERHIMPUNAN PERTAMA 09

KOLEKSI
GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA
SK BANDAR PUSAT 09

Isnin, 2 Mac 2009

KUJEJAKIMU

Pinggiran danau memahat minda
juraian rerumput menyeringai pagi
ufuk timur mega membiru
dedaun tetingkap menyelak senyum

Kujejakimu
waktu-waktu berlalu
detik-detik berliku
saat-saat berderu

Kujejakimu
waktu riuh yang sipu
waktu mesra bersenda
waktu bertafakur seketika
waktu berpesta minda-minda ceria

Kujejakimu
detik-detik celaru
detik hitam menjadi kelabu
detik cerah bertukar putih membiru
detik indah bermandi sendu
detik-detik mimpi berwarna salju

Kujejakimu
saat-saat itu kembali
saat intim menggamit memori
saat-saat dulu menjadi kini

Namun apakah jejakku ini
akan terhenti
atau aku melangkah terus mencari
mengikuti jejakmu lagi
menjadi jejakku kini

Nukilan

MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 17 Februari 2009

AKU KEMBALI SIBUK

Aku kembali sibuk
mengurus dunia harianku
mengatur jadual diriku
membawa jasad dan mindaku

Aku kembali sibuk
memikir harapan anak didikku
menjana idea kecemerlangan mereka
menyusun data menjadi nota-nota ilmu

Aku kembali sibuk
membina tugas harianku
mengelek beban cita-cita ini
mencari gemilang dalam cemerlang

Aku kembali sibuk
mengagih hari-hariku
membulat hati dan perasaanku
membuahkan anak-anak terbilang

Aku kembali sibuk
menjadi aku dalam duniaku
membelai kekasih hatiku dalam mimpiku
memangnya aku tak pernah sepi daripada sibuk

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid