Rabu, 3 Julai 2024

AKU DAH BERSARA

28 Jun 2024
hari-hari terakhir aku bergelar guru
hari terakhir aku menatap wajah-wajah comot, comel dan ceria
hari terakhir aku bersama rakan sejawat.

Aku merenung kenangan-kenangan lalu di sekolah itu,
aku menyapa rakan-rakan yang hadir merai persaraan ini
aku cuba meninggalkan jejak-jejak peristiwa
jejak-jejak nostalgia
jejak-jejak cerita
di SK Felda Jengka 13.

Hari ini,
aku bersama isteri dan anak istimewaku
menghitung hari mendatang bersama mimpi-mimpi baru,
bersama hati dan perasaan baru,
bersama kisah-kisah terkini dalam hidupku.

Hari esok,
aku belum tahu apa menanti
kerana aku hanya dikenali cikgu bukan guru lagi.

Khamis, 23 Mac 2023

BERSARA

Berbekal sekelumit ilmu aku bergelar guru
Aku mengukir cerita hidup di persada ini
Aku mengumpil impi anak didik
Aku berbicara harta bangsaku
Aku berhijrah saban ketika
Aku mengumpul lagu sepi
Kini aku mencari hari menanti
Aku akan bersara tak lama lagi.


Jumaat, 30 September 2022

KANTUNG USIAKU

Genap 56 tahun,
kugendung kantung usiaku
dari rahim ibu hingga mengenal dunia
dari A, B, C, alif, ba, ta dan pandai mengira
sesungguhnya kini aku hanya seorang guru tua.

Kantung usiaku,
terusku isi dengan cerita
suka dan duka
tangis dan tawa
senyum dan mesra
manja dan gurau senda
marah dan lembut hati seketika
dengan memori seorang tua.

Kantung usiaku,
terus kudukung
apakah esok seperti semalam
menoleh harapan dan impian
yang penuh kepalsuan dan kecelaruan
apakah dosa-dosa semalam
akan terawat dengan pahala yang kucuba himpunkan.

Kantung usiaku,
apakah masih utuh
tidak bocor dan tiris di mana-mana
agar usia ini dapat kuisi dengan melodi merdu
dapat kukelek lebih banyak selawat dan zikir munajat
dapat kupapah indahnya usia senja
berbakti kepada yang masih ada
berjasa kepada yang menghulur tangan.

Jika kantung usiaku sudah penghujungnya,
kuredha, usiaku sudah tua
resah serata badan
sesekali berasa sihat Rahmat Ilahi
dan izinkanlah untuk kumengunjungi Tanah Haram-Mu
memastikan kantung usiaku berisi lagi
sebelum kubawa mati.

NUKILAN :
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Khamis, 14 Oktober 2021

MENGEMIS RASA

Hambar dan tawar secebis rasa,
mengharung hari-hari tanpa cita rasa
walau aneka hidangan berperisa 
namun tiada berasa.

Kelat dan pahit bagai tiada beza,
manis dan medu tidak terasa
masin dan payau sukar dikata
apakah ini petandanya?

Mengemis rasa nikmat Tuhan,
biar juadah biasa-biasa 
namun ada rasa
ada selera
rasa lemak
rasa masam  
rasa pedas.

Nukilan Muhmmad Zahidil Zahid

Khamis, 30 September 2021

MENGIRA USIA

30 September,
menjelma dalam hariku
ditegur rakan 
disapa waris 
dirai isteri.

55 tahun usiaku,
dari era kampungan anak penoreh,
berlari berkejaran meniti batas sawah
ikan paya dan sayur kampung santapan rezeki
desaku nyaman serasa senang hati
pastinya aku anak kecil comel berisi.

Bah besar mengukir citra aku menapak Jengka,
rimbunan kelapa bali mengganti hutan belantara
mulalah aku mengenali dunia
meniti hari-hari bercerita kehidupan
seadanya aku anak peneroka 

Seingatku, 
ayah ibu memerah keringat
bertatihlah aku hingga berlari
ada tikanya nakal
ada tikanya senyum berseri
aku mengukir nama sendiri
di persada ilmu ini.

Harapan kugenggam,
cita-cita kujulang
aku kini seorang guru tua
yang mengenang nostalgia lama
tatkala anak didik bergaya menimbang jaya
aku masih guru biasa.

Sesedarku,
aku kini bukan lagi aku yang dulu,
usia menangga namun umurku sampai bila.

Nukilan :
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
55 Tahun dulu aku dilahirkan
di Kg. Sepinang, Segamat, Johor.

Ahad, 19 September 2021

MENGUMPUL BAYANG

Semenjak lahir hingga lebih separuh abad,
dari menghitung erti kelana di muka bumi
terkial mencatu keringat mengumpul pusaka
leka menghulur masa membina cerita
cuma gambaran indah tempelan foto di dinding maya.

Timbunan coretan arkeologi mengubah titik masa,
bertugu lipatan arkeb kisah hanya berlalu
biarkan Raja dan Perdana Menteri silih berganti
apakah hidup ini rangkuman fatamorgana
penuh watak-watak antagonis
dramatis, tragis dan sinis.

Di sebalik mimpi semalam berbalam di ingatan,
terceduk derita lalu mengikis tawa seketika
dicurah rasa kasih ceria terukir kelat
manis itu menipu diri akan adanya cita rasa 
kerana esok bukan lusa dan kelmarin bukan kini
sedang aku leka mengumpul bayang.

NUKILAN 
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
19 SEPTEMBER 2021 

Khamis, 27 Mei 2021

GERHANA



Bulan itu gerhana semalam,
maghrib di selubungi gelita seketika
insan kerdil menumpah doa ke hadrat Ilahi
moga dunia tidak bergelap dan sejahtera kembali.

Gerhana itu membawa cerita covid,
terus meninggi saban hari 
setelah bumi Palestin digecat senjata
berdamai dalam prasangka penuh waspada.

Gerhana itu mengheret rindu ibu,
pada pagi Syawal hari itu
tanpa peluk cium dan hiruk pikuk
anak cucu, sanak-saudara, jiran taulan.

Gerhana, 
jika kau datang lagi
hendaknya kami gembira sekali
tiada covid, 
Palestin aman,
ibu tersenyum girang menyambut anak pulang.
 
Nukilan : MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 10 November 2020

DIHEMBUS BAYU NOVEMBER

Diterjah bayu November,
mengheret cuti panjang
jiwaku terganggu sememangnya
kerana terkial-kial menyusun gadjet 
berguru anak didik mengajarku dari rumah.

Aku guru,
anak didikku seharusnya ada di bangku-bangku
sambil memegang kalam dan helaian lembaran kerja
sambil memerhatiku bersandiwara atau merungkai fakta 
sambil berbicara, meluah ilmu akhirat dan dunia
sambil berharap objektif menjadi nyata.

Terjahan bayu itu sungguh dahsyat,
membunuh harapan dan cita-cita
memaku segala upaya kudratku bersama
meminta pendekatan dan cara dimurnikan semula
mengajarku mengenal maya dan alam fana
sungguh sulit untuk bersenda dan menjeling mata
anak didikku entah di mana.

Aku guru,
aku dah mula rindu 
senyum tawa wajah ceria
tersengih anak didikku yang alfa dan terpinga-pinga
terserlah wibawa mereka yang sering meraih jaya.

Namun apakan daya,
bukan sekadar sebuah negara dilanda bencana
dunia turut derita dengan covit yang bermaharaja lela.

Apakah hembusan bayu Disember akan meredakan segala,
atau kita terus bermain silang kata
teka dan teka siapa yang kena
apa yang akan jadi pula.

Allah Maha Besar
Penguasa Segala
ampunilah segala dosa-dosa.

Nukilan 
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Ahad, 13 September 2020

JANGAN SENTUH

Sembilan belas mengajar erti sendiri
walau lahirmu di sini pada dua puluh
tapi sembilan belaslah yang memperkenalkan diri

Jangan sentuh mereka
jangan sentuh segala 
dengan tanganmu seadanya
dengan tanganmu semahunya
walau mukamu sendiri

Bukan bermakna sombong 
bukan beerti benci
bukannya tidak sudi
tapi
kita jaga kita
kita jaga sesama kita
agar esok akan datang lagi
agar esok ada kita kembali
walau hanya mampu bertegur sapa
walau hanya boleh senyum dan tawa

Maka hendaknya satu dunia mengetahui
jangan sentuh lagi.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
COVID-19

Sabtu, 21 Mac 2020

JAUHILAH

Musibah itu telah menular
jika harimau ada belang dan ngaumannya
jika ular ada desir dan bisanya
jika bangkai ada sisa dan baunya
jika jerebu ada asap dan kekaburannya
jika penjenayah ada senjata dan bengisannya
tapi kau
hanya khabar dan berita
hanya statistik lapor semasa
hanya cerita betapa deritanya
hanya pengidap tahu seksanya
hanya petugas hadapan bergadai nyawa
maka
kita berkurunglah di rumah
bersama keluarga tanpa ke mana-mana
jangan bersantai dan bercanda
jangan berkumpul dan beramah mesra
berbagai arahan telah diterima
berhenti bekerja duduk di rumah sahaja
sebelum polis dan tentera menguatkuasa
bukan jenaka untuk persenda
bersedia  ke hospital jika ada tanda-tanda
kerana
telah ada yang kecundang di negara kita
kau terjah tidak mengenal siapa
walau sekadar sentuhan di tombol pintu sahaja
Ya Allah yang Maha Kuasa
Lindungilah kami dari wabak ini yang sedang melanda.



Ahad, 2 Februari 2020

DIA MENANGIS LAGI

Mengalir air matanya membasahi pipi ayu gebu,
jernih sejernihnya
dengan iringan melodi sendu
meleret, merajuk dan sesekali mencebek
sedih dan haru.

Tangisan itu membasahkan kolar baju,
lengannya mengesat-ngesat tangisan itu
biarpun tak berhenti tapi esak-esak suaranya silih berganti
menangis dan menangis lagi.

Mengapa sampai berlagu tangisan itu,
merajuk,
dihempuk,
terhantuk,
atau pilu hati terluka
kecewa,
merasa,
lapar,
sengsara,
atau ditinggal pergi merindu sendiri.

Dia menangis lagi,
hingga tenggelam punca.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Rabu, 29 Januari 2020

LUAHKANLAH

Adat dan beradablah,
sesungguhnya lontaran kata berbisa
tajamnya menusuk jiwa
merobek hati menadah telinga
walau sipi yang terkena jelaga.

Berbuku perasaan membatu,
dendam kesumat bertahta murka
menunggu tempias meletus bara
biar berkecai tetap menyala.

Tunggu padam tidak akan ada,
simpanan dan tabungan bukan taruhan
genggaman terasa besar dan berat
bukan berkat tetapi langkah khianat
membakar unggun kecewa dan dosa
semakin marak menjulang derita.

Diluah mati emak,
ditelan mati bapak
diikut merana hati
dibiar terseksa diri
ditambat terkapar-kapar
dilepas terhambat-hambat
dicari mana ekor
dibelek mana kepala
kunyah, mamah bersepah.

Tersembur bicara dusta,
bernaung falsafah nista
bergema sumpah seranah
maka
patutkah aku luahkan.

Nukilan,
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Selasa, 28 Januari 2020

PERGILAH

Suara itu kian sayu
berbisik-bisik
berkata tanpa bahasa.

Mata itu makin kuyu
berkedip-kedip
memandang dengan layu.

Tangan itu sudah lesu
terketar-ketar
diangkat tanpa tenaga

Aku merenung dengan pilu
terkumat-kamit
membaca doa dan ayat Quran
sesekali mengalir air mata
mengenang memori lalu

Senyum meleret tersipu
aku rela pemergian itu
pergilah

NUKILAN
Muhammad Zahidil Zahid

Tenang di sana sahabatku.

Rabu, 27 November 2019

KELKATU

Kelkatu malam itu,
banyak yang mati
berjuang menerjah lampu
tapi lampu tidak mengalah
namun kelkatu tidak menyerah.

Kelkatu malam itu,
lahir dari keturunan bersayap
yang terus berjuang
dari azali sampai kini
mungkin sampai semua kelkatu mati.

Kelkatu malam itu,
bukan tidak tahu hidup ini singkat
kerana perjuang itu mesti diteruskan
walau tidak pernah mencapai matlamat.

Kelkatu malam itu,
bagaikan berpesta
mengibar sayap dan melucutkannya
merayap-rayap dicelak sayap-sayap yang gugur
di mana ada lampu di situ ada kelkatu.

Kelkatu malam itu,
khabarnya mencari koloni baru
untuk kelangsungan kitaran anai-anai
bukan menempah maut
tapi meneruskan generasi kelkatu.

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID

Isnin, 23 September 2019

KABUR

Sudah hampir sepurnama,
persadaku dirundung kelam
mentari pun merah
bintang agak sukar menyerlah

Sepekan yang lalu,
banyak sekolah ditutup
katanya mengancam penuntut yang masih kecil

Sepekan yang lalu juga,
aku mendengar usaha kerajaan
menjaga rakyat
membenihkan awan agar hujan turun
agar hujan turun membawa bersama sang kabur.

Nukilan Muhammad Zahidil Zahid

Khamis, 16 Mei 2019

RAKANKU DAH PENCEN

Rambut belum banyak uban,
mata masih terang
badan masih tegap
rupa masih muda
senyum masih lawa
anak-anak ada yang masih remaja
idea masih bernyala
tapi kenapa kalian dah bersara?

Terasa baru benar kita berjasa,
menabur bakti merata pelusuk negara
walau berbagai berita dan cerita tersebar
aku redha kalian berhenti bekerja.

Kini jadi YBlah kalian,
ada yang dah bergelar Datuk
namun YB hanya Yang Berpencen
dan Datuk yang menimang cucu ketika bersama.

Apapun aku masih mematuk papan kekunci,
masih menconteng pepapan kapur
masih menyemak buku-buku tulis
masih menanda skrip periksa
namun beza kini dan dulu begitu ketara
bukan berjalan tapi berlari mengejar
sambil digamit memori berlalu
tetiba waktu melangkah ke kelas walaupun di Tahun 1
sebagai aku seorang guru.

Nukilan,
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Sempena 16 Mei 2019,
Selamat Hari Guru.

Khamis, 2 Mei 2019

SIRIH

Pedar rasa itu telah menelan masa,
bujur mukamu terlupa ditutupi usia
urat bertemu tidak memberi erti sesiapa jua
tepak hanya penghias zaman
kacip pula malu bernama.

Kapur!
Gambir!
Pinang!
Cengkih!
Tembakau!
Di mana sirih?
Apa kalian leka menyendiri?

Siapa kata jangan mati adat?
Kau telah pergi sebelum ajal
Bujam Epok entah apa gunanya
Cempela dilupai setiap pemergian
Ketur hanya penyebab mengkelan
Gobek bukan perindu Si Tua.

Jangan dimimpi sirih penyeri,
Usah dicari sirih semangat
Sudah tiada sirih pengubat
Jangan dipinta sirih penawar
Walau sirih bertemu urat
Wahai sirih pembicara adat.

Nukilan
Muhammad Zahidil Zahid

Selasa, 18 Disember 2018

DIAKAH AKU


Kukutip sisa semalam
menitis air mata kasihan
lupa aku kini kesepian
tanpa teman dan kenangan

Kuselit cerita semalam
dalam lipatan sejadah di ampaian
dengan titisan dosa tak terlihat
aku panjatkan doa semoga sejahtera

Kuseret perbualan lalu
setahuku fitnah memang berbau
menggonggong minda celaru
moga terbenam dipasak buana

Aku kian keliru
bertongkat paruh berselepang baldu
berderet cacian memukul kalbu
apakah esok duniaku ceria

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
HKL 18/12/2018

Sabtu, 6 Oktober 2018

KUKUMPUL KERINGATKU

Usia menerpa
telah melangkau usiaku kini
beberapa hari yang lalu aku menyambutmu
aku tersenyum pada hari itu
aku kumpul segala kenangan
aku kumpul segala ingatan
aku kumpul segala impian.

Antara nyata dan maya
antara sedar dan lena
antara aku dan usia
kini aku sudah tua.

Nukilan
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID
Sempena 52 tahun

Khamis, 7 Jun 2018

KAU GUGUR

Bunga,
kuntummu pernah mengharum mekar
kuntummu pernah menyeri menghias laman
kuntummu pernah mengundang kumbang menyinggah
kuntummu pernah disunting nak dara sunti
kuntummu pernah hidup berjiwa besar
kuntummu pernah disanjung tinggi menjulang
kuntummu pernah bernama sang insan persona.

Bunga,
kau pernah gugur
tapi berkuntum kembali
mekar dan kian berseri
mengharum dan terus mewangi
kau terus dijaga dan dibaja
kau terus berjasa dan menguntum bangga
kau disebut-sebut dan hebah diserata dunia. 

Bunga,
tapi kini kau gugur
tiada siapa peduli
ada yang menghinamu
ada juga yang mengeji
ada pula yang menabur cerita-cerita buruk akan dirimu
kata mereka;
kau sampah bersepah setelah gugur
kau kotor hanya layak dipijak
kau tidak berguna langsung dan dibuang saja
kau tidak bernilai layak ditebang dan dicampak ke jurang
kata mereka lagi;
kau memang bunga kotor yang harus binasa
kerana jasamu tak seberapa
kerana kau sudah tidak berguna
kerana kau telah terlalu lama dipuja
kau kini bukan kuntum yang mereka suka.

Bunga,
hujan panas dan cuaca dunia bukan lawanmu
tetapi pahit getir dan duka lara kini beritamu
rupamu tidak seceria dan hebat dulu
parasmu telah sumbing terkoyak dan tersisa
harummu hanya pada pencinta sang bunga sahaja
bersama kuntum-kuntum yang turut layu mengira masa
tetapi mereka pembencimu tetap mengherdik
dan mengungkit setia kamu kepada mereka
kerana kata mereka kau keras kepala
kau tetap mahu bersama dengan segala kenangan
dan mengheret segenap peristiwa tatkala bahagia
tetapi mereka tanpa segan silu
dan tanpa hormat akan siapa kamu
terus membuka cerita dan bercerita
walau tanpa bukti dan palsu belaka
namun kamu hanya membisu tanpa kata-kata membela
kerana kini kau bukan lagi siapa-siapa seperti kau yang dulu.

Bunga,
aku ada mendengar pencintamu kembali bersuara
aku ada melihat di dada akhbar dan di kaca tv mereka berkata
dan sesekali aku terpandang wajahmu yang tenang tanpa curiga
berseri dan tetap bertenaga
menguntum senyum dan mekar mesra
tapi kini kembangmu terpapah dek harapan agar kau tak patah
agar kau tak rebah
agar kau terus dicinta dan dimahkotakan semula oleh semua
agar kau kembali segar dan bersih seperti sedia kala
biarpun ada pohon tua lain yang lebih bermaharaja lela. 

Nukilan :
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID